BAB 67

Romance Series 55690

Kak Cahaya yang duduk di sebelahnya bangkit daripada duduk, menuju ke dapur sambil membawakan teko yang telah kosong. Agaknya dia mahu membancuh seteko lagi kopi buat menyegar mata, supaya kami boleh bercerita panjang lagi.

“Macam-mana abang boleh berkahwin dengan kak Cahaya?” soalku setelah aku pasti yang Kak Cahaya sudah hilang di sebalik pintu dapur.

“Kebetulan kawan abang tu ada seorang anak perempuan,” Abang Yusri menjawab sambil tersenyum-senyum.

Aku turut tersenyum, mengerti siapakah yang dimaksudkannya itu.

“Mula-mula tu, ayah abang tak tahu tentang hal ini. Tetapi abang tidak pula menyembunyikan keislaman abang daripada pengetahuannya,” beritahu Abang Yusri.

“Seperti Saidina Umar Al-Khattab,” ulasku pula.

Saidina Umar Al-Khattab adalah sahabat Rasullullah s.a.w yang berani mengisytiharkan pengislamannya secara terang-terangan sedangkan ketika itu ramai penganut Islam menyembunyikan pengislaman mereka demi mengelakkan ancaman. Tindakannya itu diikuti ramai dan selepas itu, dakwah Islam yang dijalankan secara rahsia dijalankan secara terbuka.

“Ayah marah sampai tak mahu mengaku abang sebagai anaknya. Bahkan dia menghalau abang dan Kak Cahaya dari rumah semasa kami pulang ke sini pertama kalinya. Dia sangat malu, sehingga memencilkan diri di dalam rumah. Ayah juga tertekan, sehingga jatuh sakit. Disebabkan ini juga, Zach dipanggil balik,” perlahan Abang Yusri memberitahuku kisah dirinya. Ada kilau sayu pada matanya. Itulah satu-satunya ayahnya dan biarpun mereka tidak lagi seagama, Abang Yusri tetap menyayangi ayahnya itu.

Aku mula mengerti. Jadilah inilah masalah keluarga yang dikatakan Zach dahulu. Patutlah Uncle Watson kelihatan tidak menyenangi diriku. Dia kehilangan Benjamin sebagai Yusri. Benjamin yang diharapkannya akan menyambung aktiviti missionary yang dijalankannya akhirnya dikurniakan hidayah oleh Allah s.w.t. Dan hal itu pula menjadi punca utama dia menarik diri daripada penglibatan aktifnya di dalam usaha missionary. Aku mengerti, ayah Zach sukar menerima hakikat anak sendirinya telah bertukar anutan. Tindakan Abang Yusri menjadi satu tamparan hebat bagi diri dan juga usaha missionary yang dijalankannya.

Dan kini aku pasti yang Uncle Watson semakin takut kalau-kalau dia akan kehilangan Zachary sebagai Zulkarnain, nama yang aku simpan untuk pengislamannya kelak.

“Tapi abang tak berpindah dari sini?” soalku apabila perkara itu terlintas di fikiranku. Dia tersenyum, bertukar pandang dengan Kak Cahaya yang kembali menyertai kami.

“Abang ada misi tersendiri,” jawabnya.

“Apa dia?”

“Abang hendak mengislamkan keluarga abang dan penduduk kampung ini,” jawabnya.

Kagum aku mendengarnya. Dia yakin dengan agama Islam sehingga mahu berkongsi kebenaran Islam dengan semua penduduk kampungnya.

“Harap abang berjaya,” ujarku kepadanya.

“Doakanlah abang. Insya-Allah, satu hari nanti, bila Shitah kembali ke sini, penduduk kampung yang bermazhab Seventh Day Adventist ini sudah ada yang menjadi penganut Islam,” balasnya tersenyum.

Tersentuh hatiku mendengar keazamannya itu. Dia baharu setahun jagung menganut Islam tetapi sudah mempunyai keazaman yang sebegitu tinggi.

Tetapi Uncle Watson pasti akan menentang usahanya itu, kerana usaha Abang Yusri ini pastinya semakin mengaibkan maruah dirinya. Dan Zach pasti terperangkap di tengah-tengah pertentangan ini. Di kirinya ialah ayah yang telah membesarkannya selama ini, yang amat dikasihinya sepenuh hati. Di kanannya pula ialah abang yang amat disayanginya dan juga Islam yang dikenali dan dipelajarinya dalam diam. Di kanannya juga ada aku dan cinta kami. Tetapi aku tahu, tidak mungkin dia akan melakukan sesuatu yang akan melukakan hati orang-tuanya. Menganut Islam adalah antara perkara yang melukakan hati orang-tuanya.

Zach, apakah arahmu? Apakah pilihanmu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience