BAB 58

Romance Series 55690

Sehingga kini aku memerah fikiran sampai berpusing-pusing otak, semata-mata hendak mencari jalan dan alasan untuk mengelakkan diri daripada disandingkan dengan Haezade. Dan ketika inilah, aku menemui caranya.

Pergi ke Sabah.

Pergi kepada Zachary yang tersayang.

Tetapi bukan untuk dibelai manja. Juga bukan untuk penjelasan daripadanya berhubung dengan pengembalian buku-buku yang aku kirimkan kepadanya dahulu itu, tetapi untuk menyerahkan kembali buku-buku itu kepadanya. Kalau dia menolak, dia perlu memberitahu aku apakah sebabnya.

“Aku takut kalau-kalau Haezade menyukai kau,” terdengar Malia bersuara perlahan.

Aku yang sedang menyedut minuman Nescafe ais tersedak, lantas terbatuk-batuk kecil.

“Kenapa pula kau takut Haezade sukakan aku?” soalku kepadanya.

Malia terdiam, merenungku. Ada kilau resah pada matanya. Kan betul dugaan aku, dia mencintai Haezade.

“Kau cintakan dia,” ujarku, tersenyum.

Malia tetap terdiam, enggan mengesahkan tekaanku itu. Aku lantas menggelengkan kepala. Baru sedikit perhatian yang diberikan oleh Haezade kepadaku, dia sudah mula tidak senang duduk, sudah mula mencemburuiku. Tidak tahulah apa yang akan terjadi kepadanya sekiranya Haezade memberikan sepenuh perhatian kepadaku.

Haezade pula benar-benar terkejut apabila aku memberitahunya yang aku tidak mahu bersanding dengannya dan mencadangkan nama Malisa sebagai ganti diri.

“Kenapa?” soalnya keras.

Terkejut juga aku mendengar nada suaranya itu.

“Aku nak pergi ke Sabah,” beritahuku.

“Buat apa pergi ke sana?”

“Hal peribadi.”

“Nak pergi berjumpa kekasih?” tekanya, sinis.

“Ya,” anggukku, berterus-terang.

“Aku tak benarkan kau pergi,” ujarnya pula, menghalang.

Terkejut aku. Siapa dia untuk menghalang aku? Kalau aku menarik diri sekalipun, persembahan itu tidak akan tergugat. Di kala ini, aku sedang terbayangkan yang Malia tersenyum manis apabila dapat bersanding dengannya nanti. Kalau aku yang duduk di pelamin yang ditempah khas itu, masam mencuka wajahku nanti.

“Kan Malia ada untuk menggantikan tempat aku,” aku bersuara kepadanya.

“Aku mahukan kau, bukannya Malia,” balasnya.

Lain benar nada suaranya, seperti terlalu mengharap. Juga lain benar kata-katanya itu, seperti ada maksud yang tersirat.

“Aku tetap akan pergi. Tiket penerbangan sudah ditempah,” gelengku.

“Tundakan saja.”

“Tak boleh ditunda,” balasku keras.

“Pergi saja di lain-hari,” dia tetap berkeras.

Terpaku aku mendengarnya. Haezade jelas enggan bertolak-ansur denganku. Sebak dengan tiba-tiba melimpahi hati. Haezade tegas pada kemahuannya, lantas langsung tidak mempedulikan kemahuan orang lain. Egonya dia!

“Kalau kau tak nak menyertai persembahan tu, aku akan batalkannya. Biar annual dinner berlangsung tanpa persembahan kemuncaknya,” Haezade bersuara serius, seperti mengugut.

Terkedu aku mendengarnya. Terkejut berbaur marah kerana dia tetap bertegas tidak mahu diadakan sebarang perubahan. Tetapi aku juga panik apabila mendengarkan kata-katanya itu.

Haezade bukannya orang yang boleh dibuat main-main. Dia seseorang yang sentiasa mengotakan kata-kata yang dilafaznya. Kecoh jadinya nanti kalau dia betul-betul membatalkan persembahan itu. Terkelam-kabut semua orang nanti, kerana masa cukup suntuk untuk mengadakan persembahan lain sebagai ganti. Aku terbayangkan majlis makan-malam yang akan berlangsung tanpa persembahan kemuncaknya itu. Hilang kemeriahannya nanti, bahkan akan memalukan syarikat kerana perkara itu telah diuar-uarkan kepada tetamu jemputan.

Dengan tiba-tiba aku terasa seperti terperangkap. Kalau dahulu, tanggungjawab utama untuk menjayakan persembahan itu terletak pada Haezade, kini tanggungjawab itu teralih kepadaku.

Aku meraup muka, terasa seperti ingin menangis. Aku sudah membayar harga tiket penerbangan. Kalau aku tidak pergi, aku mungkin terpaksa mengeluarkan duit lagi untuk membeli tiket yang baru. Dan harga tiket bukannya seringgit dua. Tetapi kalau aku berkeras untuk pergi, syarikat tempat-kerjaku yang akan menanggung malu nanti. Lagipun Puan Aliza dan pengurusan atasan amat baik denganku. Aku tidak sampai hati hendak memalukan mereka pula.

Aku terhimpit.

“Macam mana? Masih hendak pergi?” Haezade menyoal. Di wajahnya tiada senyuman.

“Tak, aku akan turut-serta untuk menjayakan persembahan tu,” jawabku perlahan, mengalah. Kepentingan diriku terpaksa ditolak ke tepi.

Haezade kembali tersenyum, kemudiannya berlalu pergi tanpa berterima-kasih sedikit pun.

Aku meluru ke bilik air, menghamburkan air-mata sepuas hati. Kini, bukan setakat tentangan yang aku terima tetapi wujud juga halangan di antara aku dan Zach. Lebih-lebih lagi pada saat aku benar-benar ingin pergi mendapatkannya.

Halangan ini bagaikan satu petanda yang tersembunyi tetapi apa maknanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience