BAB 40

Romance Series 55700

“Ke Jalan TAR, I nak belikan buku rujukan baru untuk you… alamak!” aku lantas menepuk dahi. Dek terkelam-kabut hendak datang ke sini membuatkan aku terlupa hendak membawa buku-buku itu bersama.

“Kenapa?” dia kehairanan melihat gelagatku.

“I tertinggal buku-buku tu di rumah,” beritahuku kesal.

“Tak apa, nanti you poskan saja buku-buku tu kepada I,” balasnya pula.

“Pos?” Agak terkejut sekaligus berasa pelik memikirkan kenapa dia mahu aku mengepos buku-buku itu kepadanya. Bukankah kami sama-sama tinggal di Kuala Lumpur dan selalu berjumpa. Kenapa pula aku perlu mengepos kepadanya? Dia berkata-kata seolah-olah dia akan pergi jauh dari sisiku.

Aku merenung wajah Zach dengan tajam.

“Inilah halnya yang I nak bincangkan dengan you,” ujarnya perlahan.

“Hal apanya?”

“You ingat tak lagi yang I pernah beritahu you yang family I mahukan I pulang ke Sabah?” dia mengingatkan aku kepada khabar yang pernah disampaikannya kepadaku lama dahulu.

Aku mengangguk perlahan, masih ingat lagi akan hal itu. Selain itu, aku juga masih ingat lagi yang dia ada memberitahuku yang dia membuat permohonan untuk bertukar tempat kerja ke Sabah sana.

Dengan tiba-tiba jantungku berdegup laju.

“Permohonan I untuk bertukar tempat-kerja dah diluluskan. I akan melapor untuk bertugas di Sabah pada hujung bulan ni,” beritahunya perlahan.

“Seminggu dari sekarang?” balasku pula selepas membilang hari.

Dia mengangguk.

Aku tersandar ke kerusi yang diduduki. Memang aku tahu yang dia diperlukan oleh keluarganya yang sedang menghadapi masalah dan aku juga tahu yang dia mahu bertukar tempat-kerja supaya dekat dengan keluarganya itu. Tetapi aku tidak menyangka ia berlaku secepat ini. Zach ada memberitahu yang permohonan pertukaran agak mengambil masa untuk diproses. Tetapi kini, cepat pula permohonannya itu diluluskan. Aku sebenarnya masih tidak mahu dia hilang daripada pandangan mata.

Dengan tiba-tiba hatiku berombak resah.

“Kenapa diam saja ni?” soal Zach kepadaku.

“Tak ada apa-apa,” aku menggeleng, tidak mahu memberitahunya yang aku enggan melepaskannya pergi.

“You nampak macam susah hati,” ujarnya pula.

“Mestilah. I sedang terfikir apakah yang akan terjadi kepada hubungan kita ni,” marahku kepadanya.

Siapa yang tidak susah hati hendak melepaskan kekasihnya pergi jauh daripada pandangan mata? Seribu resah bermain di hati. Sejuta prasangka berperang di dalam fikiran. Aku takut setelah dia pulang ke sana, dia akan menguburkan cintanya di sini. Sudah bertahun aku meletakkan impian hidupku padanya dan aku tidak mahu impian itu terkubur di dalam jarak yang memisahkan.

“Hubungan kita akan kekal teguh. Hati I tak akan berubah,” marahnya kepadaku.

“Yalah tu,” aku mencebikkan bibir mendengarkan kata-katanya itu.

“You tak yakin dengan kesetiaan I?” soalnya pula. Tajam matanya memandangku, tanda dia kurang senang dengan kata-kataku tadi.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang akan terjadi dengan hubungan Mashitah dan Zach apabila berjauhan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience