BAB 72

Romance Series 55690

REDZA

ARMIZA mengadu rasa pada Sazali, meluahkan ketidaksenangan hatinya terhadap hubungan baikku dengan mana-mana kawan perempuanku, lebih-lebih lagi dengan Juita. Geram juga aku apabila aku mendapat tahu akan hal itu.

Kenapa dia memandai-mandai melantik rakan sebilikku ini sebagai perantara antara kami? Dan yang penting, kenapa dia masih tidak berpuas-hati dengan penjelasanku? Penjelasan yang bagaimana lagi yang boleh memuaskan hatinya? Dia mahu aku mengaku yang ada hubungan dengan Juitakah?

Perempuan, cemburunya yang sentiasa berbaur dengan prasangka bagaikan tidak berpenghujung.

“Kalau ada apa-apa masalah, cakap terus kepada abang. Tak payah mengadu kepada orang lain,” marahku kepadanya.

Dia merenungku tetapi tidak berkata apa-apa. Tetapi wajahnya kelihatan suram.

Sebentar dia memandangku, sebentar kemudian dia membuang pandang ke tempat lain. Tanda hatinya tidak tenteram. Bermakna hatinya tersinggung dengan teguranku tadi. Sepi menyapa ruang antara kami berdua. Yang terdengar hanya deburan ombak yang kerap memukul ke bibir pantai. Tetapi aku rasakan ombak yang resahnya lebih kuat memukul hati kecilnya.

“Ini masalah kita, bukan masalah Sazali,” tegasku kepadanya lagi.

Aku tidak mahu masalah yang hanya tertumpu kepada kami berdua berkembang melibatkan pelbagai pihak. Apabila melibatkan ramai orang, ia akan menyukarkan penyelesaian. Aku tidak mahu itu berlaku.

Dan apa yang dilakukannya itu bagaikan mencabar kewibawaanku. Mungkin orang lain akan beranggapan yang aku adalah seseorang yang tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah sendiri, sehingga memerlukan campur-tangan dan bantuan orang lain. Armiza tidak dapat melihat kesan tindakannya itu terhadap diriku.

Lebih daripada itu, kenapa dia sentiasa terasa tercabar dengan kewujudan Juita di sisiku?

“Juita hanya adik angkat abang,” aku menyebut satu-satu ayat itu dengan nada sedikit keras. Bukan mahu melukakan hatinya, tetapi aku mahu dia membuang semua curiganya itu.

Armiza mengeluh kecil. Dia kembali membuang pandang ke arah rakan-rakan lain yang berada di dalam dewan makan itu. Wajahnya masih lagi suram.

“Apa lagi yang Miza tak puas-hati?” soalku.

“Sesekali cubalah hati Miza, abang. Fahamilah tentang cemburu, sakit-hati, kecewa dan marah di hati Miza ni,” dia bersuara perlahan.

Bingung aku mendengarnya.

Aku tahu dia cemburu pada kemesraan aku dan Juita. Aku sedar yang dia sakit-hati apabila aku kadang-kadang terlalu memberi perhatian kepada gadis lain. Aku perasan yang dia kecewa apabila aku tetap mempertahankan hubungan aku dengan Juita.Dan akhirnya, dia marah.

Tetapi bagaimana dengan rasa hatiku pula? Dia tidak mempedulikan ketidaksenangan hatiku apabila perkara itu kerap diungkit. Sekecil-kecil masalah, apabila sentiasa disebut-sebut dan diungkit-ungkit semula, akan membesar seperti gunung jadinya nanti.

“Apa yang Miza mahu sebenarnya?” soalku kepadanya.

“Jangan berhubung atau rapat dengan Juita lagi.”

Sudah kuduga dia akan membuat permintaan sebegitu.

“Miza, tiada orang lain di dalam hati abang melainkan Miza seorang,” hanya itu yang aku katakan, tidak mahu berbicara panjang tentang persoalan remeh ini. Permintaannya yang dibuat hanya kerana berasaskan cemburu hatinya itu tidak akan aku layan.

“Jadi?” soalnya dengan nada bergetar.

“Jangan berburuk sangka terhadap abang dan Juita. Abang tak nak dengar apa-apa lagi tentang hal ni. Please, abang dah muak dah dengan rasa tak puas-hati dan cemburu Miza yang tak berkesudahan tu. Jangan mementingkan diri sendiri,” tegasku kepadanya.

Armiza terdiam, membuang pandang ke arah lautan yang terbentang. Ada riak kecewa pada wajahnya.

“Kalau itu yang abang mahukan,” terdengar dia bersuara perlahan, seperti mengalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience