BAB 106

Romance Series 55690

REDZA

CUACA malam ini agak dingin. Hujan baru sahaja berhenti. Aku mengenakan baju panas ke badan, lantas dapat mengurangkan rasa sejuk yang mencengkam. Shukri, yang bermurah-hati menghantar aku ke stesen bas Dungun ini sudah bertolak pulang ke Kelantan sebaik-sahaja dia menurunkan aku di tepi jalan.

Bas yang akan membawaku pulang ke Kuala Lumpur tiba di stesen bas lewat sepuluh minit dari masa yang tercatat di dalam tiket. Bas terakhir untuk malam ini. Aku membiarkan penumpang-penumpang yang lain naik terlebih dahulu. Sesudah itu, baru aku melangkah naik. Aku mendapat tempat duduk yang terkebelakang sekali. Tempat duduk di sebelah tempat dudukku tidak berpenumpang. Mungkin penumpangnya bukan dari Dungun ini tetapi dari bandar-bandar lain yang akan disinggahi oleh bas ini semasa di dalam perjalanannya ke Kuala Lumpur nanti.

Aku segera duduk, kemudiannya menurunkan langsir untuk mengelak cahaya lampu di luar yang terang menerjah masuk ke dalam. Biar suram tempat dudukku, agar mudah aku lelapkan mata.

Tetapi apabila aku rapatkan mata, bayangan wajah Armiza menerpa ke fikiran. Ceria dan berseri raut wajahnya dan lebar sekali senyumannya yang aku lihat pada siang tadi. Dia kelihatan cukup bahagia dan gembira. Dan ketika itu aku tersedar, dia telah menemui bahagia yang dicari-carinya selama ini. Bahagia yang aku sendiri tidak dapat berikan kepadanya. Lantas apa lagi pilihan yang ada padaku, melainkan redha sepenuhnya dengan kehilangan dirinya dan mendoakan agar dia sentosa sentiasa.

Ada seseorang melabuhkan duduk di sebelahku. Segera aku bukakan mata, menoleh ke sebelah untuk melihat siapakah dia. Penumpang di sebelahku itu turut menoleh dan raut wajahnya tampak terkejut.

Mashitah!

Kami duduk sebelah-menyebelah di dalam perjalanan pulang sepertimana di dalam perjalanan datang. Suatu kebetulan lagi. Tetapi suatu kebetulan hanya wujud sekali. Apabila ia wujud berkali-kali, ia bukan lagi satu kebetulan tetapi adalah satu peluang.

Seketika aku terfikir, adakah pertemuan yang wujud di antara aku dan dia bukan lagi satu kebetulan, tetapi sebenarnya adalah peluang untuk kami berdua; yakni peluang untuk membina kembali bahagia dan cinta yang sirna?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience