BAB 84

Romance Series 55690

MUDAH benar aku menemui Juita.

Selepas Syid berlalu pergi, aku segera menghubungi telefon tangan Juita. Mengetahui aku yang menghubunginya, Juita segera menjawab.

“Ita di mana sekarang ni?” segera aku bertanya.

“Tak ke mana-mana, masih ada di Dungun ni.”

Lega aku apabila mengetahui dia masih ada di daerah Dungun ini. Kalau dia sudah balik ke Jengka, susah untuk aku membawanya pulang ke kampus semula.

“Kenapa larikan diri macam ni?’ soalku kepadanya.

“Ita dah tak tahan dengan Syid tu. Tak henti-hentinya dia menganggu Ita,” adunya. Ada nada sebak pada penghujung bicaranya.

“Tapi takkan sampai melarikan diri macam ni?” balasku pula. Aku tidak pernah mengajarnya menjadi selemah ini.

“Abang juga yang mengajar Ita melarikan diri apabila situasi kian genting,” dia mempertahankan tindakan yang diambilnya itu.

“Abang bukannya mengajar Ita melarikan diri tetapi berundur untuk seketika waktu, dan kembali semula untuk menyelesaikan masalah,” tegasku kepadanya, memperbetulkan kembali nasihatku yang tersalah-tafsir olehnya.

Juita terdiam.

“Ita di mana sekarang ni?” aku bertanyakan tempat di mana dia menyembunyikan dirinya. Aku mahu pergi ke sana, mahu membawanya kembali. Dengan teragak-agak dia memberitahu di mana dia berada sekarang. Rupanya dia tinggal di sebuah rumah di sebuah kampung yang terletak tidak jauh daripada kawasan kampus.

Beberapa ketika kemudian, aku berada di rumah yang dimaksudkannya itu. Ia cuma sebuah rumah papan dengan binaan kasar tetapi kukuh. Sekilas pandang, aku tahu rumah itu dibina untuk tujuan disewa, bukannya rumah penduduk kampung.

Juita membuka pintu, menyuruh aku masuk ke dalam. Dia bersendirian, tanpa ada sesiapa pun di dalam rumah itu.

“Rumah sewa siapa ni?” soalku sambil memerhati sekitar ruang rumah itu. Ruang tamu dan ruang dapur bersambung tanpa sebarang pemisah. Ada dua buah bilik yang bersambung dengan ruang tamu itu.

“Rumah kawan,” jawab Juita perlahan.

Melihat kepada persekitaran rumah sewa itu yang tidak begitu kemas tersusun, aku tahu yang penghuni rumah ini adalah lelaki. Hati lantas menjadi kurang senang dengan pilihan yang diputuskan oleh Juita ini. Sekiranya dia mahu menyembunyikan diri sekalipun, dia seharusnya memilih rumah kawan perempuannya. Bukannya sewenang-wenangnya tinggal dengan kawan lelaki yang aku sendiri tidak kenal. Dia tomboy dan berlagak laku seperti lelaki tetapi tidak bermakna perkara itu membolehkannya tinggal bersama lelaki. Fitrahnya tetap seorang perempuan dan maknanya masih ada batas-batas yang perlu dijaganya. Tetapi aku tidak mempamerkan rasa kurang senang itu kepada Juita.

“Teruk sangat ke Ita bergaduh dengan Syid tu?” soalku sambil melabuhkan duduk di kerusi rotan.

“Abang tahu kan bagaimana buruknya Syid kalau dia mengamuk marah,” jawabnya sambil mencebikkan bibir.

Aku tersenyum tawar. Pasti Syid memaki-hamunnya dengan kata-kata kesat yang tidak sedap didengar. Kalau nasib tidak baik, tomboy itu akan mencarut liar.

“Tapi tak perlulah sampai melarikan diri macam ni sekali. Tambah lagi, esok Ita ada exam untuk final paper, takkan tak nak ambil exam tu,” aku mengingatkannya tentang peperiksaan terakhirnya itu.

Juita mengeluh perlahan tetapi tidak berkata apa-apa. Aku juga tidak berkata apa-apa lagi, sebaliknya memberikan dia ruang untuknya berfikir dan membuat keputusan sendiri. Sambil-sambil itu, aku kembali memandang sekitar rumah itu. Baru aku perasan, suasana rumah ini begitu suram sekali. Apa tidaknya, tingkap tertutup rapat. Pintu rumah pun tertutup rapat. Aku tiba-tiba terasa tidak sedap hati.

“Kenapa tak bukakan tingkap dan pintu ?”

“Ita tak nak orang luar nampak orang yang berada di dalam rumah ni. Ita tak nak orang yang kenal Ita tahu Ita berada di sini,” jawab Juita.

Aku merenung Juita. Terasa bodoh benar jawapan yang diberikannya itu. Kalau ya pun orang di luar tidak nampak siapa yang berada di dalam rumah, tidak bermakna mereka tidak nampak siapa yang memasuki rumah ini.

Naluriku menjadi cemas dengan tiba-tiba, tambah lagi apabila terdengar-dengar derap langkah yang pantas sedang menghala ke arah rumah ini. Pantas aku bangun dari duduk, membuka tingkap yang menghadap ke halaman lantas menjengukkan kepala ke luar. Mataku segera terpandang sekumpulan lelaki sedang berjalan di lorong kecil yang menghala ke arah rumah ini. Ramai betul yang datang itu dan serius benar wajah masing-masing.

Bala!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience