BAB 27

Romance Series 55690

Ya, kenapa aku perlu terasa hati dengan sikap Haezade itu?

Jika mahu diukur pada kemesraan kami, berapa banyak sangatlah detik manis yang wujud antara aku dengannya. Dia bukannya baik sangat pun dengan aku. Di pejabat, dia berlagak bagaikan boss. Di kem, dia bersikap seperti seorang pegawai atasan walaupun kami sama-sama berpangkat Leftenan Muda.

Detik mesra hanya wujud apabila dia datang menyakatku yang bersendirian. Dan sememangnya aku tidak menyenangi usikannya itu. Jadi, kenapa aku terasa kehilangan apabila tiba-tiba Malia pulang ke sisinya, lantas menyisihkan aku daripada tumpuan Haezade?

Aku keliru sendiri.

“Orang akan rasa kehilangan apabila hatinya telah berbunga sayang,” Zach bersuara, bagaikan menyedari adanya kekeliruan yang membalut diriku. Kekeliruan yang membuatkan aku tidak tahu bagaimanakah hendak aku jelaskan kekalutan perasaan yang aku alami ini.

“Tidak! Hati I hanya untuk you,” cepat-cepat aku menafikan kata-katanya itu.

Zach tersenyum dan aku rasakan senyumannya itu bagaikan menyindir diriku.

“I mungkin rasa kehilangan sebab… sebab selama ni, tiada orang lain yang memberikan perhatian kepada I di pejabat kecuali dia, walaupun perhatiannya tu cuma sebuah usikan,” tegasku. Aku tidak mahu Zach berprasangka yang bukan-bukan terhadapku, lantas mencalarkan kepercayaannya terhadap keutuhan perasaanku terhadapnya.

Aku mungkin terasa kehilangan sebegini kerana hanya Haezade seorang yang agak rapat denganku, walaupun kami rapat dengan cara yang tidak menyenangkan hatiku. Aku mungkin akan merindui usikan-usikan nakalnya selepas ini tetapi itu tidak bermakna aku telah jatuh hati dengannya.

“Ya ke?” Zach masih mahu mengujiku.

“Selagi cincin ini tersarung di jari I, selagi itu hati I tak akan berubah. I janji, sekiranya hati I beralih arah walau seinci, I akan lucutkan cincin ni dari jari I ni,” tegasku kepadanya, melafazkan janji setiaku untuknya, di hadapannya sendiri.

Zach tersenyum, tidak lagi menduga keteguhan hatiku.

Ya, cincin ini menjadi tanda setiaku terhadap Zach. Seinci hatiku berubah, cincin ini akan aku lucutkan dari jariku ini. Pemberian ini terlalu berharga, juga terlalu istimewa kerana menjadi bukti ketulusan dan kesungguhan hati seseorang. Dan sewajarnya pemberian itu mendapat tempat di hati seseorang y ang sama-sama tulus dan setia mencintai si pemberi.

Maka, sekiranya hatiku berubah walau seinci cuma, jariku ini tidak lagi layak untuk terus menyarung cincin nan indah ini. Aku tidak mahu menjadi seorang pendusta cinta.

Tetapi kini, lain jadinya.

Hatiku tidak beralih arah. Setiaku tidak goyah. Kasihku terhadapnya tidak luak walau secebis pun. Tetapi situasi telah berubah.

Cinta dan setia Zach bukan lagi milik aku, tetapi harus menjadi milik gadis manis yang bernama Daphne. Maka, secara tidak langsung, cincin ini tidak lagi layak untuk terus disarungkan di jariku.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah akan terus menyimpan cincin tersebut atau membuangnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience