BAB 99

Romance Series 55690

Peristiwa diserbu penduduk kampung membuatkan Armiza memandangku sebagai seseorang yang berdosa besar. Dia berprasangka, yang aku dan Juita sudah terperangkap di dalam godaan nafsu. Tanggapan serongnya dan prasangkanya itu dijadikan alasan untuk dia meminta perpisahan.

“Juita so madly in love with you,” terdengar Syid bersuara perlahan.

Aku merenung tomboy di hadapanku itu.

“Kan aku pernah beritahu kau yang kau adalah orang yang dicintainya,” Syid mengingatkanku.

“Tak, kau cuma kata aku adalah orang yang paling disayanginya,” gelengku pula.

“Samalah tu. Pokok-pangkalnya, lelaki yang bertakhta di hatinya ialah kau,” balas Syid.

Aku tersandar ke kerusi yang diduduki.

Juita mencintaiku? Benarkah? Bukankah selama ini dia mengetahui yang aku hanya menganggapnya sebagai seorang adik, tidak lebih daripada itu. Kenapa masih hendak menyimpan harapan?

Aku lantas teringat kembali yang dia mengaku yang aku adalah tunangnya ketika kami diserbu penduduk kampung dahulu. Teringat juga yang dia mahu aku bertanggungjawab terhadap kejadian yang berlaku itu.

Fikiranku terasa kelam dengan tiba-tiba.

“Kau ingat dia tu tak tahu berdikari, sehingga terpaksa bergantung kepada kau?” soal Syid sinis.

Aku merenungnya.

“Dia cuma hendak mengumpan perhatian kau saja. Aku cuma menolong dia, sebab dia rakan sebilik aku. Yalah, I just want to have some funs, sebelum aku tinggalkan kampus,” Syid bersuara lagi, membongkar rahsia yang aku tidak ketahui selama ini sekaligus mengesahkan prasangka Armiza yang Juita mahu menjadi orang ketiga di antara kami berdua.

Aku mengetap bibir.

“Aku tak sangka apa yang dilakukannya tu memberi kesan buruk kepada hubungan kau dengan Miza. Menyesal juga aku, sebab bersubahat dengan dia,” Syid bersuara perlahan.

“Dia merancang peristiwa serbuan tu?” aku menyoal Syid.

“Tak, katanya hal itu di luar perancangan,” geleng Syid.

Aku menghembus nafas lega. Sekurang-kurangnya Juita tidaklah sekeji mana.

“Yang sebenarnya, dia merancang hendak memanggil orang-orang daripada jabatan agama,” Syid bersuara lagi.

Aku terpegun mendengar. Hendak dikatakan Syid berbohong, aku lihat raut wajahnya begitu serius. Dengan tiba-tiba, tanggapan baikku terhadap Juita tadi lenyap ditiup angin.

Dadaku dengan tiba-tiba berombak kencang, menahan pelbagai perasaan yang berkecamuk di dalamnya.

Aku terasa seperti dikhianati!

Aku baik dengannya selama ini tetapi tidak sangka dia merancang untuk mengkhianati aku sebegitu. Kalau diserbu oleh jabatan agama, busuk namaku di seluruh daerah Dungun ini. Kalau perkara itu disiarkan dalam akhbar, busuk namaku itu tersebar ke serata pelusuk Malaysia. Bukan setakat namaku, nama orang-tua dan mereka yang berkaitan denganku juga akan turut sama-sama berbau busuk.

Gadis pelayan tadi datang dan meletakkan dua gelas teh O ais di hadapan kami. Aku segera membayar harga minuman.

“Kenapa baru sekarang kau hendak memberitahu aku?” soalku kepada Syid setelah gadis pelayan itu berlalu. Kalau Syid memberitahu perkara ini awal-awal dahulu, hubungan aku dan Armiza masih kekal terjalin. Aku yakin yang Armiza akan memaafkan aku dan tidak akan memutuskan pertunangan kami.

“Aku tak sangka apa yang dilakukan oleh Juita itu memberikan kesan buruk kepada pertunangan kau dan Miza. Aku sangka Miza dapat memaafkan kau, seperti yang sentiasa dilakukannya apabila kau melakukan sesuatu yang melukakan hatinya,” Syid bersuara kesal.

Aku tersenyum pahit mendengarnya.

“Lagipun, selepas kejadian tu, aku lihat hubungan kau dengan Armiza macam okay saja. Memang aku tahu yang dia bersedih dengan apa yang berlaku tu, tapi aku tak sangka sedih di dalam diamnya itu bertukar menjadi dendam dan benci. Aku tak tahu yang kau putus tunang dengannya, hinggalah aku dapat tahu yang dia akan berkahwin dengan Sazali.”

Aku merenung wajah kesal Syid tetapi tidak tahu hendak berkata apa-apa. Yang pasti, pengakuannya ini sudah terlewat benar. Lusa, Armiza akan menjadi milik Sazali.

Perlukah aku menghalang?

Tidak!

Tidak wajar aku menjadi penghalang kebahagiannya. Kalau aku berbuat sebegitu, banyak hati yang akan terluka. Lebih-lebih lagi hatinya, sedangkan aku tidak sanggup lagi hendak melukakan hatinya dan melihat dia bermuram-durja. Biarlah dia pergi memburu bahagia yang tidak mampu aku berikan kepadanya.

“Aku minta maaf di atas apa yang berlaku ni,” terdengar Syid bersuara.

Aku lantas menggelengkan kepala.

“Kau tak ada apa-apa salah untuk aku maafkan, Syidah.”

Syid kelihatan terkejut mendengar aku memanggilnya Syidah tetapi kemudiannya dia tersenyum manis. Dia kemudiannya meminta diri setelah menghabiskan minumannya.

Tinggallah aku sendiri, bersusah-payah mengawal rasa sedih yang tiba-tiba sahaja mencengkam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience