BAB 81

Romance Series 55690

KINI, Armiza begitu, aku begini.

Seorang membawa diri ke arah hulu, seorang lagi membawa diri ke arah hilir; sekalipun berjalan di haluan yang sama. Dalam erti kata lain, kami sedang membawa arah sendiri. Aku boleh berbuat apa sahaja yang aku suka dan Armiza mengotakan janjinya yang dia tidak ambil kisah. Dia juga bebas berbuat apa sahaja yang diingininya dan aku hanya memandang dari jauh. Dan antara yang dilakukannya itu ialah rapat dengan Sazali. Walaupun mereka rapat atas dasar rakan sekuliah tetapi aku tidak senang hati melihat kemesraan yang wujud antara mereka.

Sekalipun kedua-dua mereka hanya berjumpa ketika mengadakan perbincangan sesama kawan-kawan sekuliah yang lain, aku perasan adanya pertalian yang terbina antara mereka. Mereka mesra berbual dan ketawa bersama. Jika tidak berbual, mata masing-masing saling mencuri pandang.

Cemburu?

Semestinya.

Tetapi mengenangkan syarat yang kami persetujui bersama, aku pendamkan cemburu itu jauh ke dalam hati. Tetapi akhirnya, aku meluahkan rasa itu juga. Cemburu yang aku biarkan itu bak bara yang tak padam-padam apinya. Hatiku menjadi panas sentiasa. Dan untuk meredakannya, aku meminta penjelasan. Bukan daripada Armiza tetapi daripada Sazali.

“Aku tahu apakah status Armiza,” Sazali hanya bersuara sebegitu kepadaku.

“Kau tahu tetapi kau tetap rapat dengannya.”

“Rapat sebagai kawan.”

“Aku pun harap begitulah,” sindirku kepadanya.

“Kalau kau tak suka, aku minta maaf,” dia yang menyedari nada sinisku segera memohon maaf, tanda dia tidak mahu tercetusnya sengketa antara kami.

Aku terpegun melihat Sazali yang begitu mudah beralah. Kalau aku, pasti akan tercetus perang mulut yang memanaskan suasana apabila dikatakan cuba menjadi orang ketiga.

Dengan tiba-tiba aku menjadi malu sendiri. Sazali cukup tenang di dalam segala tindakannya dan tidak mementingkan diri. Agaknya, kerana itulah, Armiza menyenanginya. Bukankah Armiza berkali-kali menyuruh aku mencontohi sikap Sazali?

“Juita mencari engkau tadi,” beritahu Sazali sambil membuka buku notanya.

Aku yang sedang memasukkan baju yang aku pakai untuk perjumpaan dengan budak-budak PALAPES pada petang tadi ke dalam baldi menoleh pandang ke arahnya.

“Apa mahunya?”

“Nak berjumpa dengan engkaulah.”

“Untuk apa?”

“Manalah aku tahu,” Sazali mengangkat bahu.

“Ada dia cakap bila dia mahu berjumpa aku?”

“Malam nanti, dia tunggu di hadapan kolejnya,” beritahu Sazali. Aku menyematkan pesanan itu ke dalam ingatan.

Juita masih lagi menjadi sebahagian daripada keutamaanku. Apatah lagi apabila sekarang ini sikap Syid semakin keterlaluan dan menyusahkan dirinya. Minggu lalu, tomboy itu datang memarahiku kerana rapat dan baik dengan Juita. Kami berperang mulut dan nyaris aku mengangkat tangan ke muka Syid. Nasib baik aku dapat menahan sabar dan mengingatkan diri yang kudrat tomboy itu sebenarnya masih lagi di dalam fitrah perempuan yang tidak dapat setanding kudrat lelaki. Tetapi aku mahu menyelesaikan masalah Juita ini sebelum semester terakhirku ini berakhir.

Suram dan sembap sahaja wajah Juita ketika aku menemuinya selepas Isyak. Matanya memerah dan bengkak. Dia semestinya baru lepas menangis.

“Kenapa menangis ni?”

“Baru lepas gaduh dengan Syid,” beritahunya, sebak.

Aku sudah menduganya.

“Pedulikanlah dia. Tumpukan perhatian Ita pada study. Kan final exam semakin dekat,” aku menasihatinya sebegitu.

“Itu Ita tahu. Tapi Ita tak boleh tumpukan perhatian kepada study kalau gelagat Syid berterusan menyusahkan Ita,” balasnya.

“Pindahlah tinggal di bilik kawan yang lain buat sementara waktu,” aku mengusulkan cadangan itu kepadanya.

“Seganlah. Takut Ita mengganggu mereka pula.”

“Jelaskanlah hal sebenarnya kepada mereka.”

“Tengoklah,” dia bersuara lemah.

Aku pantas menepuk bahunya, tanda tidak mahu melihat dia bersedih seperti itu. Aku juga tidak mahu dia terbawa-bawa oleh masalah ini sehingga menjejaskan perhatian kepada pelajaran. Peperiksaan akhir semakin hampir dan aku mahu dia menumpukan perhatian kepada pelajaran supaya tidak tersangkut lantas terpaksa mengulang. Jangan jadi seperti aku.

“Abang dan Kak Miza macam-mana sekarang?” soalnya dengan tiba-tiba, mengalih tumpuan kepada hal peribadiku pula.

“Macam-mana lagi, macam biasalah,” jawabku selamba. Dia tidak tahu akan perjanjian antara aku dan Armiza. Mungkin kerana itu, dia hairan dengan sikap Armiza yang tidak lagi bermasam muka terhadapnya apabila Armiza bertembung dengan kami berdua di mana-mana.

“Tak gaduh-gaduh lagi?” soalnya lagi.

“Alhamdulillah, dah tak ada gaduh-gaduh dah,” anggukku.

Juita tersenyum lebar, tanda lega.

Memang aku dan Armiza tidak gaduh-gaduh lagi sekarang ini. Seperti yang aku katakan, kami sedang membawa haluan sendiri. Tetapi apabila aku fikirkan kembali perkara itu, aku terasa tidak sedap hati pula.

Membawa haluan sendiri bererti kami menjauhkan diri di antara satu sama lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience