BAB 66

Romance Series 55690

Aku mula mengerti akan situasi sebenar keluarga Zach ini. Inilah sebahagian daripada rahsia mereka tadi. Aku mengerti, tidak semua pengislaman seseorang itu dapat diterima dengan hati terbuka oleh terutama sekali kaum keluarga dan rakan-rakan yang mengenali, kerana seseorang itu tidak lagi menganut kepercayaan dan anutan yang sama dengan mereka sebelum ini.

“Mungkin uncle marah kerana abang tidak lagi seagama dengannya. Sedangkan sebagai ayah yang membesarkan anak-anaknya, tanggungjawab mendidik itu termasuklah memberikan pengetahuan dan memupuk kecintaan terhadap agama. Jadi, apabila abang convert, dia dilihat sebagai gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga agama anak-anaknya. Kerana itu dia marah sehingga memulau abang,” ujarku perlahan.

“Bukan itu saja, Shitah,” keluh Abang Yusri.

“Lagi apanya?”

“Zach tak pernah beritahu Shitah?” soal Abang Yusri kepadaku pula.

“Apanya?” aku kebingungan.

Abang Yusri dan Kak Cahaya saling berpandangan. Apa lagi yang dirahsiakan oleh Zach dari pengetahuanku? Hatiku berdebar dengan tiba-tiba.

“Ayah abang aktif di dalam aktiviti missionary. Pengislaman abang ni, sebenarnya telah memalukan dirinya, juga telah menjatuhkan maruahnya sebagai antara missioner yang agak berjaya. Yalah, selama ni dia menjalankan dakwah Kristian, banyak kejayaan yang dicapai tetapi anaknya sendiri yang keluar dari Kristian. Buruk namanya pada pandangan mata orang,” Abang Yusri bersuara perlahan.

Aku terkelu mendengar.

“Zach tak pernah beritahu Shitah tentang ayah kami?” soal Abang Yusri.

Aku menggeleng lemah. Abang Yusri tersenyum tawar.

“Sebab dia takut Shitah menolak dirinya disebabkan ayah kami adalah mubaligh,” ujar Abang Yusri lembut.

Aku membisu, membuang pandang ke arah lembah. Bukit-bukau kelihatan gah berdiri di penghujung pandangan mata. Malam pula cerah dengan sepuhan cahaya bulan yang berwarna perak. Indah sekali. Dan keindahan itu terpamer melalui kedamaian yang membalut alam.

Tetapi hatiku kini yang hilang kedamaian. Aku kini dibalut ketakutan dan kegelisahan setelah mengetahui siapakah ayah Zach yang sebenarnya. Patutlah Zach tidak gemar bercerita mengenai keluarganya kepadaku. Dia tidak mahu aku mengetahui sekaligus akan dijadikan sebagai alasan untuk menolak cinta yang dihulurkannya. Tetapi kini, aku terasa seperti tertipu.

Adakah Zach juga sebenarnya turut terlibat di dalam usaha missionary secara senyap-senyap dan aku adalah antara sasaran usahanya itu? Prasangka itu terlintas di fikiranku dengan tiba-tiba. Cerita mengenai Natrah bermain-main di dalam fikiranku. Aku tidak mahu terperangkap seperti Natrah.

“Tapi Shitah jangan risau. Zach tidak seperti yang Shitah sangkakan. Dia tidak terlibat di dalam aktiviti missionary seperti abang dahulu,” aku terdengar Abang Yusri bersuara.

Pantas aku kembali menoleh ke arahnya. Kata-katanya itu cukup mengejutkan aku.

“Abang…”

“Shitah tak sangkakan?” dia tersenyum memandangku.

Kak Cahaya juga turut tersenyum. Hanya aku yang terlopong.

“Abang dahulu terlibat di dalam usaha missionary, sebab tu tak siapa sangka abang boleh bertukar pegangan agamanya kepada Islam,” Abang Yusri bersuara perlahan.

“Tapi macam-mana…”

“Hidayah Allah s.w.t, Shitah,” tingkahnya.

Lantas dia bercerita panjang akan rasa kekosongan jiwa yang dialaminya selama ini. Katanya, seperti ada sesuatu yang hilang dari dalam dirinya. Dia cuba mendekatkan diri dengan agama dan mempertingkatkan usaha missionary sebagai langkah untuk mengatasi semua bebanan itu tetapi masih tidak berjaya. Usaha missionary mengkehendakinya membuat perbandingan agama. Dia membaca semua buku yang berkaitan dengan agama lain, termasuklah Islam. Dan agama Islam sedikit-sebanyak menjinakkan hatinya yang rusuh. Tetapi dia masih meragui ajaran Islam. Sehinggalah ketika di Nabawan, sewaktu sedang memudiki sungai, bot yang dinaikinya karam.

“Abang terkapai-kapai lemas, tak ada benda yang dapat dipaut untuk terus timbul dan tidak tenggelam,” Abang Yusri terhenti seketika, seperti cuba mengingati semula detik cemas yang hampir meragut nyawanya itu.

“Manusia, apabila berada di dalam detik-detik cemas itu, semua perkara akan bermain di ingatan. Abang teringatkan keluarga abang, juga terfikirkan segala usaha missionary abang yang masih belum berhasil ketika itu walaupun sekian lama abang berusaha. Abang juga teringatkan kekosongan jiwa abang. Ketika itu abang terfikir, adakah abang mati tanpa sempat untuk mengetahui apakah punca dan caranya untuk menghilangkan kekosongan jiwa abang itu,” dia menyambung ceritanya lagi, kemudiannya terhenti lagi.

“Kemudian?” soalku apabila lama dia mendiamkan diri.

“Nampak macam bodoh, tetapi abang berdoa kepada Allah s.w.t agar diberikan kesempatan untuk mengetahui apakah punca dan caranya untuk menghilangkan kekosongan jiwa abang itu. Selepas itu abang tak sedarkan diri. But life’s full with a miracle, Shitah. Abang selamat, terdampar di tebing sungai,” Abang Yusri bercerita kembali.

“Selepas tu, abang terus menganut Islam?” soalku, semakin berminat mendengarkan ceritanya.

“Tak juga. Masa itu, terfikir hendak pergi ke kelas agama tetapi takut orang salah sangka. Kan abang anggota missionary, takut kalau-kalau orang ingat abang ada maksud lain. Abang tinggalkan seketika aktiviti missionary, pergi ke Sandakan, memohon kerja di pusat pemulihan orang utan Sepilok. Semasa di sana, abang berkenalan dengan seorang guru sekolah yang mengajar di Kampung Sibugal. Kami berkawan rapat sekalipun jarak usia agak memisahkan. Orangnya alim, jadi kalau abang bertanya, tidak sukar untuk dia memberikan penjelasan kepada abang,” ceritanya.

“Abang belajar tentang Islam daripada kawan abang tu?” soalku lagi.

“Ya,” angguk Abang Yusri.

“Berapa lama?”

“Setahun. Selepas memeluk Islam, abang masih terus belajar dengannya walaupun abang menghadiri kelas-kelas agama,” jawabnya Abang Yusri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience