BAB 31

Romance Series 55690

Nyata, aku masih lagi seorang perempuan yang adakalanya lebih menurutkan perasaan berbanding waras fikiran.

Dan kerana itu, wajarlah ayah meragui keupayaanku untuk membimbing Zachary ke dalam Islam. Dia juga bimbang kalau-kalau satu ketika nanti, kekuatan akidahku diuji menerusi cinta unggulku terhadap Zach. Rupa-rupanya dia takut kalau-kalau nanti aku lebih rela mempertahankan cintaku daripada mempertahankan imanku. Kerana itu, ayah tegas menentang, juga keras menghalang.

Dahulu, aku cukup marah dan berkecil-hati dengan tindakannya itu. Tetapi kini, aku mengerti akan rasional tindakannya itu.

MASHITAH

“Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah hendak adakan mess nite sempena perpisahan pengerusinya nanti,” beritahu Noriah seusai latihan pada minggu ini.

Ketika itu, kami sedang berjalan menuju ke gerai makan yang terletak berdekatan kem. Haezade dan Malia menyertai kami. Tetapi seperti biasa mereka tidak mempedulikan aku dan Noriah, leka berbual sesama mereka sambil berjalan di belakang kami.

“Bila?” soalku, berminat.

“Bulan depan,” jawab Noriah.

“Boleh bawa pasangan tak?” soalku lagi, sekadar bergurau tetapi agak berharap juga. Kalau dibenarkan membawa pasangan, aku mahu membawa Zach. Aku mahu Zach mengenali kawan-kawan baruku dari rejimen askar wataniah ini.

“Boleh. Aku tak ada kekasih tetapi aku nak ajak adik lelakiku. Kalau majlis selesai pada lewat malam, sekurang-kurangnya aku ada teman yang dapat menemani aku pulang,” angguk Noriah.

“Baguslah,” balasku gembira.

“Kau nak bawa pasangan ke?” soal Noriah, tersenyum.

“Ya.”

“Siapa? Kekasih?” tebak Noriah.

Aku hanya tersenyum, tidak menjawab. Tetapi senyuman yang berbunga di bibirku itu dengan sendirinya telah memberikan jawapan yang nyata kepada Noriah.

“Siapa namanya?” soalnya.

“Zachary Watson, nama ringkasnya Zach,” beritahuku.

“Non Malay?” Malia yang tadinya tidak mempedulikan aku dan Noriah tiba-tiba sahaja mencelah.

“Ya,” anggukku.

“Mat salleh ke?” dia terus bertanya.

“Taklah. Dia keturunan Kadazan, berasal dari Ranau,” jawabku.

“Orang Sabah rupanya,” ujar Noriah.

Aku mengangguk, tersenyum lebar.

Kami berempat tiba di gerai makan yang menjadi tumpuan kami setiap kali selesai latihan itu. Setelah duduk, kami semua meminta makanan dan minuman masing-masing kepada pelayan gerai yang datang menghampiri. Malia, seperti biasa akan memesan makanan dan minuman sama dengan apa yang dipesan oleh Haezade atau membiarkan Haezade memesan untuknya.

Berdasarkan caranya itu, naluriku menyatakan yang Malia bukan sekadar menyayangi Haezade sebagai sahabatnya tetapi turut mencintainya juga. Cuma aku tidak pasti samada Haezade menyedarinya atau tidak. Kadang-kadang aku terfikir juga, mereka mungkin saling mencintai, cuma enggan mempamerkannya kepada semua orang lantas berpura-pura yang mereka sekadar berkawan baik.

“Sudah lama kenal?” Sementara menanti apa yang kami pesan tiba, Noriah bertanya dengan lebih lanjut akan hubunganku dengan Zach.

…bersambung

Bab akan datang:

Layanan Haezade terhadap Malia, adakah dia mempunyai perasaan kepada Malia atau sekadar kawan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience