BAB 60

Romance Series 55690

MASHITAH

SELAIN daripada menyarungkan sebentuk cincin ke jariku, Haezade juga menghulurkan sekeping tiket penerbangan Air Asia kepadaku. Hampir sahaja aku tidak percaya apabila melihat tiket penerbangan yang bertarikh lusa itu.

“Pergilah kepada Zach, tetapi ingatlah aku di sini yang mencintai kau,” dia kelihatan begitu romantis apabila berbicara sebegitu lembut denganku.

Terpana aku dibuatnya, tidak menduga lelaki yang egonya setinggi langit ini boleh menjadi sebegitu romantis. Aku pasti Malia semakin sakit-hati.

“Apa sebenarnya semua ni?” soalku gementar.

“Aku cintakan kau,” dia mengulangi kembali apa yang telah dilafazkannya tadi.

“Apa tu?” aku dengan tiba-tiba menjadi bodoh, masih hendak bertanya lagi. Aku masih tidak percaya dengan apa yang berlaku ini. Segalanya terjadi di dalam sekelip mata, membuatkan aku terpinga-pinga.

“I love you,” dia menuturkan kembali ungkapan hatinya, kali ini di dalam Bahasa Inggeris.

“Kenapa aku?” soalku, kian gementar. Kenapa dia mengungkapkan kata-kata azimat itu kepadaku yang selama ini dipandang sebelah mata? Jangan-jangan dia hendak mempermainkan aku, fikirku curiga.

“Mungkin sebab kau pandai memasak,” gelaknya.

Aku lantas teringatkan nasi lemak yang aku masak sendiri untuknya dahulu. Sedap sangat ke? Terkurang santan lagi adalah, sehingga nasi seperti tidak masak. Tetapi mungkin itu yang kena dengan seleranya. Betullah kata orang, laluan ke hati lelaki ialah melalui perutnya.

“Kenapa bukan Malia?” soalku lagi, melirik ke arah arca Malia yang terbias pada cermin di hadapanku. Wajahnya yang tadinya kelihatan marah kini terlakar raut hampa.

“Kan aku dah cakap, dia cuma kawan aku,” jawab Haezade.

“Aku dah ada kekasih. Jadi, aku tak boleh terima kau,” ujarku sambil melucutkan cincinnya dari jariku.

“Kau yakin yang dia adalah jodoh kau?” soalnya sinis.

“Kau yakin yang aku adalah jodoh kau?” balasku pula.

Haezade terdiam, merenungku tajam.

Dia suka mendesak semua orang, termasuklah aku supaya tunduk kepada kemahuannya, tetapi kali ini dia tidak boleh berbuat sebegitu. Dia tidak boleh mendesak aku menerima cintanya. Cinta harus lahir dari kerelaan menerima.

Dan patutlah selama ini dia mencemburui Zach dan keras menentang hubunganku dengan Zach. Rupa-rupanya dia cemburu dan terasa tergugat.

“Aku tahu cinta aku ini cinta kilat yang boleh dipertikaikan keluhurannya. Tetapi cinta kilat tidak semestinya cinta yang tiada makna dan harga,” ujarnya lembut. Dia bangun daripada duduknya. Lirik mataku menyorot pergerakan dirinya. Dia berdiri di sisiku seketika, merenung lembut.

“Kau pergilah ke Sabah, tetapi apabila kembali ke sini, aku mahukan jawapannya. Kalau kau setuju, aku akan menyuruh keluarga aku masuk meminang secepat mungkin,” ujarnya sebelum berlalu pergi.

Gila! Jeritku di dalam hati.

Dia meminta cinta pada orang yang salah. Tetapi cara dia berkata-kata itu seolah-olah menggambarkan pemergianku ke Sabah ini adalah untuk mengucapkan salam perpisahan buat Zach.

Hal itu membuatkan fikiranku menjadi tidak tenteram. Aku resah di pelaminan. Puan Aliza yang naik ke pentas untuk menepung tawar berbisik di telingaku, mengatakan ketara sangat wajahku yang kegelisahan pada pandangan semua orang di bawah sana.

Kena kahwin paksa ke, usiknya kepadaku.

Aku kian menjeruk rasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience