BAB 102

Romance Series 55690

Berderau darahku.

“Kau mabuk ke?”

“Mabuk cinta,” gelaknya kuat.

Jantungku terasa bagaikan mahu meletup.

“Ataupun kau dah gila?” sindirku, mahu menyembunyikan resah hatiku mendengarkan kata-katanya tadi.

“Ya, memang aku gila.”

Sewel!

“Aku gilakan kau,” gelaknya kian kuat.

Aku mula menjadi tidak senang duduk. Apa kata Malia kalau dia mendengar kata-kata bakal suaminya ini? Pasti hatinya terluka dan pastinya bukan kecil luka hatinya itu.

“Bila majlis akad nikah kau?” aku menyoal, mengalih perhatian dan perbualan Haezade kepada majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada esok hari. Mataku melirik ke arah hadiah untuknya yang sudah berbalut kemas. Hadiah untuk Zach sudah aku poskan ketika keluar membeli tiket pulang.

“Esok,” Haezade menjawab perlahan.

“Aku ingatkan malam ni. Hmm… sudah bersedia?” aku mengusiknya.

Terdengar dia menghembus nafas kasar. Ah! Dia pastinya sudah bersedia segala-galanya. Kan dia yang beria-ia hendak berkahwin secepat mungkin. Tak sabar-sabar!

“Aku tak nak bercakap tentang majlis perkahwinan aku,” terdengar dia bersuara perlahan.

“Habis, kau nak bercakap mengenai apa?”

“Soal kita.”

Kita? Lagi sekali darahku berderau.

“Aku tahu aku banyak menyakiti hati kau selama ni,” ujarnya.

Aku mendiamkan diri, mendengar sahaja apa yang hendak diperkatakannya.

“Tetapi tak bermakna aku membenci kau. Sebaliknya, aku sukakan kau,” dia bersuara lagi.

Aku menghela nafas, tidak tahu hendak berkata apa-apa. Haezade nampaknya hendak mengungkit perkara yang aku tidak ingin dengar.

“Kalau ada peluang untuk kita bersama, aku akan rebut peluang tu,” sambungnya. Menyirap darahku.

Aku tidak kisah kalau dia mengungkit kembali perasaannya terhadapku. Tetapi apabila dia berharap sebegini, aku rasakan yang dia sudah cukup keterlaluan. Perhatiannya seharusnya tertumpu kepada Malia, memandangkan esok adalah hari perkahwinannya. Bukannya berangan-angan untuk mendapatkan sesuatu yang mustahil.

“Please, jangan pentingkan diri sendiri,” ujarku tegas.

“Kau memang tak pernah hendak memberi peluang kepada aku dan diri kau sendiri?” dia bersuara kecewa.

“Kalau aku berikan kau peluang sekalipun, aku rasa ia sudah terlewat. Kan esok, kau bakal bergelar suami orang?” aku bersuara selamba. Tetapi bimbang juga hatiku, takut kalau-kalau dia bersuara balas mengatakan dia boleh mengambil dan menjadikan aku isteri keduanya.

“Aku boleh batalkan perkahwinan aku tu,” Haezade bersuara sebegitu.

Tergamam aku mendengarnya. Itu lebih buruk akibatnya daripada aku menjadi isteri keduanya. Menjadi isteri kedua mungkin hanya akan melukakan hati sesetengah orang. Tetapi kalau aku menjadi punca perkahwinan mereka terbatal, semua orang akan memandang serong kepadaku nanti. Mulut mereka pasti akan mengata dan silap haribulan mereka berdoa yang aku tidak akan berpeluang hidup bahagia. Malia pula bukan setakat akan membenci tetapi juga memusuhiku. Dan aku pasti Malia tidak akan berdiam diri sebegitu sahaja. Tidak aman hidupku nanti jadinya.

“Please, jangan jadi gila!” marahku.

“Kau dah buat aku jadi gila pun.”

“Kalau kau nak jadi gila, kau gilalah seorang. Jangan buatkan aku dan Malia jadi gila dengan sikap pentingkan diri kau sendiri,” tegasku.

Dia terdiam.

“Jumpa kau esok,” segera aku menamatkan perbualan, kemudiannya mematikan terus telefon. Aku takut Hezade menghubungi aku kembali. Aku tidak mahu berbicara soal hati dan perasaan dengannya.

Aku melangkah menuju ke balkoni, memandang ke arah lautan yang tampak tenang. Angin malam bertiup perlahan. Sambil berpeluk tubuh menahan kesejukan, aku rapatkan mata untuk mencari sebuah ketenangan. Tetapi wajah Zach dan Haezade silih berganti muncul di ruang ingatan, mengingatkan aku kepada rasa hatiku yang kian sayu dan hampa di tatkala ini. Sayu kerana aku kehilangan cintaku. Hampa kerana aku terpaksa melupakan segala harapan dan impian yang aku bina. Sungguh, semakin hampir dengan detik kehilangan yang akan terukir secara rasminya pada esok hari, hatiku semakin dicengkam gelora rasa. Pilihan yang ada padaku hanyalah redha dengan segala yang berlaku.

Aku menghela nafas panjang, membiarkan gelora rasa itu melemaskan aku ke dalam kesedihan yang menyakitkan jiwa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience