BAB 30

Romance Series 55690

Mashitah merenung tepat ke dalam mataku, dan kelihatan terkejut dengan huluran tanganku itu.

“Jom! Awak dah breakfast ke belum? Kalau belum, kita breakfast bersama-sama di kafe hotel,” ajakku kepadanya.

Dia kelihatan ragu-ragu tetapi akhirnya menyambut huluran tanganku dan bangun dari duduknya. Kami kemudiannya berjalan meninggalkan gigi pantai, membawa bersama akan jalinan hubungan yang kian terasa semakin erat ikatannya.

Aku menjadi malu sendiri dengan tingkah-lakuku pada pagi tadi. Kata Redza, tidak wajar aku menghukum cincin emas bermata delima merah ini hanya kerana hati semakin terluka apabila diusik kenangan. Dan kata Redza lagi, bukan sahaja tidak wajar aku menguburkan segala kenangan, bahkan mustahil untuk aku melakukannya kerana cintaku yang kecundang itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidupku pada masa lepas.

Masa yang berlalu akan menjadikan perjalanan hidupku itu sebagai sebuah sejarah di dalam lipatan waktu, manakala detik suka-duka yang menghias perjalanan hidupku itu pula akan menjadi sebuah kenangan yang tersimpan di dalam lipatan ingatan.

Maka, tidak kira semanis atau sepahit mana pun sejarah itu, ia akan kekal berada denganku. Ia akan sentiasa tersimpan di dalam ingatan, dan sesekali akan muncul di layar fikiran lantas mengocak ketenangan. Kalau hati masih goyah, diri akan menjadi hilang-arah. Dan itu yang berlaku kepadaku.

“You can’t run from the past. It’s always remain behind you,” nasihat Redza ketika kami bersarapan bersama-sama.

“Tetapi selagi saya tidak dapat melupakannya, saya akan takut menempuh hari esok,” keluhku kepadanya. Aku takut kalau-kalau aku gagal membentuk harapan dan cinta yang baru selagi aku masih menyesali takdir yang tidak menyebelahi impianku.

“Never fear for tomorrows, for God have been there. Dan itu bermakna, masih ada harapan dan cinta untuk awak. Awak hanya perlu mencarinya dan terus mencari,” tegasnya kepadaku, seperti dapat menyelami apa yang bermain di fikiranku.

Kata-kataku itu membuatkan aku diterpa rasa berdosa dengan tiba-tiba. Aku telah menyalahkan takdir di atas kegagalan cintaku, sedangkan apa yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi. Tindakanku itu secara tidak langsung menjadikan aku sebagai seseorang yang tidak redha dengan apa yang diaturkan oleh Allah s.w.t.

Nyatalah cintaku terhadap insan adalah melebihi cintaku terhadap Penciptaku. Sewajarnya aku bersyukur kerana aku masih belum kehilangan-Nya dan juga rahmat-Nya, sekalipun aku kehilangan lelaki yang aku cintai.

Jadi, berasaslah kebimbangan ayah dahulu. Pengetahuan dan pemahamanku tidak sedalam mana pun. Hatiku tidak seteguh mana pun. Aku, sekalipun seorang yang keras hati pada pandangan mata sesetengah orang, masih lagi memiliki kelembutan perasaan; yang boleh membuatkan hatiku goyah apabila diuji. Juga boleh membuatkan aku adakalanya hilang pertimbangan sekalipun aku cuba untuk bersikap serasional yang mungkin.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah mula mendapat kesedaran dan kekuatan daripada kata-kata Redza kepadanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience