BAB 4

Romance Series 55690

Aku tidak sanggup melihat milikku yang bertahun-tahun itu terlepas ke tangan gadis lain.

******

`Ingat lagi, kami sama-sama menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Entah kenapa, sebaik sahaja terpandang dia muncul di perut bas ekspres itu, hati amat berharap agar dia yang duduk di sebelah.

“Seat 4A dan 4B?” soalnya apabila tidak dapat mencari nombor kerusi. Nombor kerusi telah tercabut dan dia menjadi keliru yang mana satukah tempat duduknya.

“Ya,” anggukku, sambil tersenyum mesra kepadanya. Dia turut tersenyum, lantas melabuhkan duduk di sebelah.

“Nak duduk di tepi tingkap?” aku yang mahu beramah mesra dengannya sengaja menawarkan tempat duduk aku kepadanya.

“Tak apalah,” gelengnya, menolak. Matanya dilirikkan ke arah tingkap bas sambil tangannya melambai-lambai. Mata aku turut melorot ke arah tempat tujuh pandangan matanya. Terlihat seorang gadis yang sedang membalas lambaiannya itu.

“Saudara ke?” aku menyoal apabila dia tidak lagi sibuk melambaikan tangannya.

“Jiran sebelah rumah,” jawabnya sambil mengenakan baju panas ke badannya yang kurus.

“Oh! Awak memang orang KL lah ya? Saya ingatkan awak orang Terengganu,” aku terus cuba beramah mesra dengannya.

“Saya memang orang Terengganu, datang berjalan-jalan ke KL pada hujung minggu. Kebetulan kenalan di sini mengajak datang, jadi apa salahnya ke mari. Dapat juga melihat tempat orang. Awak pula, asal mana?” dia memberikan reaksi seperti yang aku diharapkan.

Yes! Hatiku bersorak gembira ketika itu.

“Saya memang anak jati KL,” beritahuku.

“So, buat apa awak hendak pergi ke Terengganu? Makan angin ke?” soalnya.

“Taklah, saya belajar di sana.”

“Awak belajar kat sana?” dia seperti tidak percayakan jawapanku tadi.

“Saya student UiTM,” beritahuku.

“Eh! Samalah dengan saya,” dia seperti terkejut mendengarkan jawapan aku. Bulat matanya memandangku.

“Tak sangka kan,” aku pula tergelak melihatkan reaksinya.

Tetapi aku sudah mengetahui yang dia adalah pelajar UiTM. Bukan berdasarkan baju panas yang dipakainya tetapi kerana aku kerap kali terserempak dengannya di kampus sebelum ini. Aku suka melihat caranya yang sering menundukkan pandangan apabila berjalan. Matanya tidak liar memandang, penglihatannya terkawal. Pastinya dia seorang gadis yang terasuh dengan seribu kelembutan. Tanggapan itu menimbulkan minat untuk aku mengenalinya dengan lebih lanjut lagi.

Dan aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan langkah untuk mendekati gadis yang diminati sejak dari tahun pertama itu, sehinggalah sedar tak sedar, aku berada di tahun akhir pengajian. Dan yang paling menyenangkan hatiku ialah selama bertahun ini juga dia bersendirian tanpa kekasih. Kerana itu, harapanku tidak pernah putus.

Dan sebaik sahaja terlihat kelibat dirinya di dalam perut bas ini, aku berharap sangat agar dia yang duduk di sebelah aku. Suatu kebetulan ini boleh aku tukarkan menjadi sebuah peluang.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah dia berjaya memulakan langkahnya untuk mendekati perempuan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience