BAB 50

Romance Series 55690

Berjela-jela penjelasan Zach.

Aku yang mendengar terasa berserabut fikiran. Bukannya tidak memahami tetapi terasa kian terpukul. Juga terasa kian kasihan kepada Natrah apabila memikirkan kalau itulah yang sebenarnya terjadi kepada dia. Aku yakin, sekalipun dia ada bukti, dia tidak sanggup mengheret lelaki itu ke muka pengadilan. Di mahkamah nanti, segala-galanya terpaksa diceritakan dan didedahkan luar-dalam. Dan siapa yang sanggup mengingati sebuah tragedi, apatah lagi hendak menceritakan aib diri secara terperinci.

Dan kalau lelaki itu dihukum oleh undang-undang pun, Natrah pula akan dihukum oleh masyarakat. Stigma masyarakat akan tetap meletakkan punca kesalahan itu kepada perempuan. Lihat sahaja sikap Mastura terhadap Natrah. Rasa hormat Mastura terhadap Natrah yang lebih tua daripadanya sudah luput.

Aku mengeluh perlahan.

“Kenapalah perkara buruk ni boleh berlaku kepadanya? Dia baik, dan terjaga tingkah-lakunya, bahkan cukup berhati-hati memilih kawan. Nak kata seksi dan suka menggoda, jauh sekali,” ujarku perlahan.

Dan sekalipun memang ada wanita yang suka menggoda dan digoda, pada akal fikiran yang waras, siapa yang rela dirogol; lantas terlempar ke dalam aib yang sukar dibasuh itu. Sekali terkena noda itu, sepanjang usia orang akan mengata walaupun diri sebenarnya tidak bersalah. Inikan pula Natrah yang sememangnya dipuji baik oleh semua orang. Perkara ini pasti akan menjadi trauma jiwanya selagi nadi masih berdenyut.

“Ini cuma andaian-andaian kita, Shitah. Apa yang sebenarnya berlaku, hanya Natrah dan lelaki yang lebih mengetahuinya,” Zach bersuara.

Aku menyetujui kata-katanya itu.

“Tetapi sebagai anggota keluarganya, you kenalah membantunya setakat yang boleh. Semangatnya perlu dipulihkan, kekuatan dirinya perlu dikembalikan. Yang penting, jangan sampai dia menyalahkan Tuhan untuk musibah yang menimpa dirinya ini,” ujar Zach lagi.

Terkejut juga aku mendengar bicaranya itu.

“Tak sangka!”

“Apanya?”

“You dah pandai bercakap tentang soal keimanan sekarang,” usikku.

Zach yang jauh di Sabah sana hanya tergelak. Manakala aku di Johor ini tersenyum senang. Nampaknya dia semakin memahami tentang agama Islam. Dan lorong kebahagiaan kian terbentang luas untuk kami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience