BAB 46

Romance Series 55690

“Sudahlah chubby, lesu pula muka tutu. Hilang seri pengantin kalau macam ni gayanya,” usikku kepadanya.

“Memang dah hilang pun,” terdengar Mastura bersuara sinis.

Terkejut juga aku mendengarkan kata-katanya itu. Natrah tertunduk, tidak bersuara balas. Selalunya dia tidak seperti ini. Kecoh dan riuh mulutnya apbila ada orang menyakat atau menyindir dirinya. Dan Mastura juga selalunya tidak seperti ini. Adikku itu pendiam orangnya, juga tidak gemar menyakiti sesiapa pun. Tetapi sekarang ini, kenapa tiba-tiba sahaja keadaan telah berubah? Apa yang sebenarnya telah berlaku? Adakah ada sengketa antara mereka berdua?

“Mas, kau pergi turun ke bawah. Tengok-tengokkan apa yang boleh dibantu,” suruhku kepada Mastura, tidak mahu Mastura mengeluarkan bicara yang menyakitkan hati Natrah lagi.

Mastura melirik ke arahku sekilas, kemudiannya beredar meninggalkan aku berdua dengan Natrah di bilik yang sederhana besar itu.

“Ara nak akak tolong buat apa?” aku menawarkan khidmatku kepada Natrah.

Bulat matanya memandangku. Apa? Dia sangka aku menyuruh Mastura pergi kerana mahu menyoal-siasatnya? Aku bukannya orang yang suka mencampuri urusan orang lain seperti Haezade. Aku menyuruh Mastura pergi kerana aku tidak mahu mendengar adikku itu terus-menerus bersuara, lantas menangguhkan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

“Ara nak ubah kedudukan perabot-perabot ni. Maklumlah perabot lama. Jadi, kalau nak bilik nampak seperti baharu, kena lap bersih-bersih dan ubah kedudukan perabot sajalah. Lepas tu taruh apa-apa hiasan atau pokok bunga. Emm… katil ni nak dirapatkan ke dinding sana. Meja solek ni hendak diletak bertentangan dengan pintu. Almari ni pula…”

“Opss! Akak tak peduli macam-mana Ara hendak aturkan semua perabot ni. Akak cuma nak tahu, apa yang nak dialihkan dahulu?” aku segera meningkah.

Natrah tersenyum geli.

“Sorrylah, kak. Kita alihkan meja solek ni dulu.”

Dan malam itu, aku dan Natrah bertungkus-lumus mengubah kedudukan perabot di dalam bilik itu. Sambil bekerja, kami berbual tentang kerjaku yang baharu itu, juga bercerita tentang gelagat rakan-rakan di tempat kerja. Natrah tertawa apabila mendengar ceritaku tentang gelagat Haezade.

Selesai mengalih kedudukan perabot, kami terduduk di lantai. Tidak banyak perabot yang perlu dialihkan sebenarnya tetapi kami terpaksa mengerahkan segala kudrat untuk mengerakkan perabot-perabot yang berat itu, terutamanya almari bajunya. Terasa mengah dan penat sekali apabila kami selesai melakukannya.

“Kerja banyak lagi, tapi badan dah terasa penat sangat,” ujarku sambil memandang sekitar bilik Natrah itu.

Langsir masih belum dipasang dan karpet masih belum divakum. Apabila melihat cermin meja solek yang kabur, aku bercadang hendak mengelapnya nanti. Selain itu, cadar baharu untuk katil pun masih belum dipasang lagi. Banyak kerja yang perlu diselesaikan tetapi aku yakin yang semuanya akan beres sebelum hari perkahwinan nanti.

Natrah cuma terangguk-angguk mendengarkan kata-kataku itu. Dia yang sememangnya lesu kian nampak lesu. Kasihan pula aku apabila melihat dia kepenatan sebegitu.

“Akak ambilkan air untuk Ara,” ujarku sambil bangun daripada duduk. Dia tidak berkata apa-apa.

Aku berlalu ke tingkat bawah, menuju ke ruang dapur, mengambil sebotol air sejuk dari dalam peti ais dan dua biji gelas. Apabila kembali ke bilik Natrah, aku lihat dia sedang menekan perut dengan dahi yang berkerut.

“Kenapa?” soalku, agak cemas.

“Perut Ara ni… tiba-tiba saja sakit,” beritahunya.

“Berbaringlah di katil dulu. Akak carikan ubat di bawah,” suruhku sambil meletakkan botol air dan gelas di atas meja solek, kemudiannya berpaling untuk turun ke tingkat bawah semula.

Tetapi apabila melihat Natrah begitu susah benar hendak bangun daripada duduknya, segera aku mendapatkannya, lantas memaut bahunya untuk membantu. Dengan bersusah-payah, barulah Natrah dapat bangkit daripada duduknya. Itupun dia tidak dapat berdiri tegak, seolah-olah sakit benar perutnya itu.

“Kenapa ni, Ara?” aku menjadi cemas apabila melihatnya sebegitu.

Natrah tidak menjawab. Tetapi ada sesuatu yang tertangkap pada pandangan mataku. Ada tompok merah pada katin batiknya, juga ada lelehan di kakinya.

Darah.

“Ara…” aku tergamam.

Natrah tidak bersuara apa-apa. Dahinya berkerut-kerut dan berpeluh-peluh. Dia seperti menahan sakit yang teramat.

“Uda!” Aku menjerit, panik.

MASHITAH

“Ara keguguran. Iyalah, baru dua bulan. Lepas tu, lasak membuat kerja berat. Agaknya itu yang keguguran tu,” Mastura memberitahuku ketika kami sama-sama duduk di pangkin di hadapan rumah, mengambil angin petang.

Natrah mengandung?

Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar daripada mulut Mastura. Betulkah apa yang Mastura beritahu itu? Kalau ya, kenapa sampai begini jadinya?

Malam tadi, kami sama-sama menghantar Natrah yang mengalami pendarahan ke hospital. Memandangkan malam sudah larut, aku dan Mastura pulang terlebih dahulu tanpa sempat menjenguk Natrah. Yang membuatkan aku agak hangat hati ialah apabila semua orang membisu, enggan memberitahu apa-apa apabila aku bertanya. Termasukah Mastura.

Dan baru petang ini, Mastura memberitahu aku yang Natrah keguguran. Terbeliak mataku memandang adikku yang berwajah selamba itu.

“Uda Misah datang tengahari tadi, beritahu ayah yang Ara keguguran,” Mastura memberitahu sumber khabar itu.

“Keguguran? Ara tu… mengandung?” soalku, memandang wajah Mastura.

“Iya,” angguk Mastura.

“Luar nikah?” aku menyoal lagi.

“Iya,” Mastura tetap mengangguk.

Aku terpana. Wajah ayu Natrah bermain di ingatan.

Natrah yang aku kenali adalah gadis yang baik dan mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Tetapi kenapa dia boleh jauh terlanjur? Siapakah lelaki yang tidak bertanggungjawab itu?

“Siapa?” aku menyoal Mastura. Aku yakin yang Mastura banyak menyimpan rahsia tentang apa yang berlaku. Tetapi adikku itu berwajah selamba, tidak mengendahkan soalanku itu. Geram juga aku dengan gelagatnya itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang bertanggungjawab mengandungkan Natrah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience