BAB 63

Romance Series 55690

Mataku liar memerhati persekitaran rumah separuh papan dan batu itu. Kemas dan bersih. Sekeping gambarnya yang diambil ketika konvokesyennya dahulu tergantung di dinding ruang tamu, bersebelahan dengan sebuah salib yang begitu besar. Hatiku agak kurang senang melihat salib sebesar itu.

“You datang ni semata-mata hendak melawat I atau you ada hal lain?” terdengar Zach menyoal.

Aku kembali memandangnya, menggeleng perlahan. Tanganku membuka zip beg pakaian yang terletak di hujung kaki. Bungkusan buku-buku agama yang aku kirimkan kepadanya dahulu tetapi kemudiannya dipulangkan dikeluarkan dari dalam beg itu.

“I datang untuk menyerahkan buku-buku agama ni kepada you semula, Zach,” ujarku sambil menghulurkan buku-buku itu kepadanya.

“Kan you kata nak poskan kepada I?” soalnya sambil mencapai bungkusan itu.

Tercengang aku mendengarnya. Maknanya, dia tidak tahu yang bungkusan ini telah sampai ke alamat rumahnya ini? Bermakna juga bukan dia yang memulangkannya kembali.

Zach membelek bungkusan itu. Berkerut dahinya apabila membaca catatan posmen pada bungkusan itu.

“Bukan I yang memulangkan bungkusan ni, Shitah. Bungkusan ini tiba sehari sebelum I balik ke kampung. Kalau I balik lebih awal, mungkin bungkusan ini sampai terus ke tangan I,” ujarnya.

Aku tersandar ke kusyen, merenungnya. Kejujurannya tidak aku pertikaikan. Tetapi sikap penerima bungkusan ini yang membuatkan aku agak terkilan. Siapa penerima bungkusan ini semasa ketiadaan Zach? Ibu-bapanya? Tetapi kenapa mereka enggan menerima dan menyimpan untuk diserahkan kepada Zach kemudiannya. Aku lihat Zach seperti termenung memikirkan sesuatu. Wajah tenangnya kelihatan sedikit suram. Membuatkan aku terasa sememangnya ada sesuatu yang disembunyikannya dari pengetahuanku.

Tetapi apa dia?

“Bila you nak pulang ke Semenanjung, Shitah?” soal Zach, dengan tiba-tiba sahaja cuba mengalih kisah pemulangan bungkusan itu kepada perkara lain.

Tersinggung juga aku dengan sikapnya itu. Jelas, dia seperti ingin menyembunyikan sesuatu. Jelas juga kepadaku yang dia tidak mahu hal pemulangan bungkusan itu terus diperkatakan.

“Tak sampai setengah jam I datang, you dah tanya bila I nak pulang,” sindirku kepadanya. Hangat hatiku dengan sikapnya yang seolah-olah mahu berahsia itu dan semakin bertambah hangat apabila dia seolah-olah tidak senang dengan kedatanganku ke mari.

“Bukan begitu, Shitah. I tak kisah kalau you nak tinggal di sini berhari-hari. Tapi I nak tahu di mana you menginap pada malam nanti?” soalnya lembut.

Aku tersenyap, merenung wajahnya. Baru aku sedar, aku tidak merancang dengan teliti kedatanganku ke Sabah ini. Soal penginapan tidak terlintas langsung di dalam fikiranku. Dan kini, aku mula cemas memikirkan di mana aku hendak tidur malam nanti.

Aku boleh berpatah balik ke pekan Ranau, tidur di hotel atau rumah tumpangan yang mungkin terdapat di sana. Tetapi jarak perjalanan ke sana dari kampung Zach ini agak jauh. Aku atau dia yang akan penat badan nanti kalau kami mahu berulang-alik di antara kedua-dua tempat ini. Aku sendiri sudah terasa penatnya apabila menempuh perjalanan yang jauh tadi. Tetapi takkan aku hendak bermalam di rumahnya pula.

“Beginilah, apa kata you bermalam di rumah abang I? Rumahnya di hujung kampung ni saja,” Zach akhirnya bersuara, memberikan cadangan sebegitu.

“Kenapa pula you suruh I tinggal di abang you?” soalku. Apa bezanya antara rumahnya dengan rumah abangnya itu?

“Dia Islam. Tentu you lebih selesa kalau menginap di rumahnya, tak perlu nak risau tentang makan-minum kerana pastinya sudah dijamin halal,” jawabnya selamba.

Aku terkejut. Abang kesayangannya yang bernama Benjamin itu telah memeluk Islam?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience