BAB 80

Romance Series 55690

REDZA

ARMIZA meminta putus tunang.

Terkejut aku. Aku tidak menduga yang dia seberani dan senekad itu. Nyatalah dia sudah hilang sabar denganku. Tetapi teruk sangatkah sikapku? Entah. Aku tiada masa untuk memikirkannya. Yang perlu aku fikirkan ketika ini ialah bagaimana hendak mengambil hatinya kembali.

Dia acuh tak acuh sahaja ketika aku menghubunginya untuk memohon maaf. Apabila bertemu, dia lebih suka membatukan diri, membuatkan aku terasa seperti bercakap dengan tunggul kayu. Dia seperti mahu membina jurang antara dirinya dan diriku.

Tetapi aku tidak akan membenarkan itu berlaku.

Petang itu, aku membawanya ke pinggiran pantai, tempat kami selalu mengambil angin petang. Mana tahu, tempat ini akan dapat membangkitkan kembali nostalgia manis percintaan kami. Mana tahu, dengan cara ini hatinya akan lembut sedikit lantas sudi mempertimbangkan kembali kata-katanya itu.

“Abang minta maaf,” aku merendahkan diri, memohon maaf kepadanya. Aku rela mengenepikan egoku, demi tidak mahu kehilangan dirinya. Aku sanggup mencium kakinya, asalkan dia tidak membuang cintaku begitu sahaja.

Tetapi dia hanya membatukan diri, merenung ke laut lepas, sedangkan aku mahu dia bersuara dan mengatakan yang dia telah memaafkan aku. Selagi dia tidak memaafkan aku, bermakna dia belum melupakan permintaannya untuk putus tunang.

“Dengar tak apa yang abang cakapkan ni?” soalku kepadanya sambil menarik tangannya.

Dia cepat-cepat merentap tangannya tetapi aku kuat memegang. Biar dia marah. Mahu tidak mahu, dia terpaksa berhenti melangkah.

“Abang minta maaf okay?” aku mengulangi kata-kataku tadi.

“Apa gunanya meminta maaf kalau sikap abang terus-menerus menyakiti hati Miza? Abang rasa semua yang abang buat benar belaka, sampai tak boleh ditegur. Apa yang benar bagi abang, belum tentu benar pada pandangan orang lain,” dia bersuara sambil menarik tangannya daripada genggaman tanganku.

“Abang akan cuba berubah,” ujarku perlahan. Aku benar-benar sanggup melakukan apa sahaja, asalkan dia kekal di sisiku.

Armiza mengeluh perlahan, kemudiannya menarik nafas panjang. Dia seperti masih ragu-ragu dengan kata-kataku.

“Percayalah, abang akan cuba berubah,” aku cuba menyakininya.

“Abang sentiasa kata yang abang hendak berubah. Tetapi berapa lama abang berubah? Sekejap saja. Berubah tanpa ada rasa insaf tidak ada apa-apa makna dan kerana itu tidak bertahan lama,” dia bersuara akhirnya.

Kami bertemu pandang. Suram wajahnya. Aku menanti bicaranya. Tetapi dia berpaling memandang ke arah lautan biru yang terpendam. Aku perasan dahinya berkerut seribu, seperti berfikir dan mempertimbangkan sesuatu.

Apa yang difikirkannya? Dia masih nekad mahu memutuskan pertunangan kamikah? Aku menanti bicara Armiza tetapi dia terus membisu dan membisu untuk sekian waktu.

“Apa yang Miza mahu abang lakukan asalkan kita tidak putus tunang?” Akhirnya aku yang bersuara, memecahkan kesepian senja.

Dia kembali berpaling memandangku.

Lama dia menatap wajahku tetapi tidak bersuara sepatah kata pun. Entah apa yang difikirkannya. Tetapi aku berharap agar dia menarik balik kata-katanya dahulu. Letaklah segala syarat, aku pasti akan akur kerana aku tidak mahu kehilangan dirinya.

“Apa yang Miza mahukan?” aku mengulangi soalanku tadi.

“Kita cuba berlaku adil terhadap satu sama lain. Apa yang abang buat, Miza tak akan menghalang. Dan apa yang Miza buat pula, abang juga tak boleh halang. Itu syarat kemaafan Miza,” dia bersuara perlahan.

Aku merenungnya, tidak percaya mendengarkan kata-katanya itu. Dia rela memaafkan aku tetapi kemaafannya bersyarat. Hubungan kami kini kian disandarkan pada syarat demi syarat demi memastikannya berkekalan dan berterusan.

Dahulu, dia mengizinkan aku terus berkawan dengan Juita dengan syarat aku menjaga batas-batas pergaulan. Kemudiannya dia memberikan persetujuan pertunangan dengan syarat tempoh-masa yang cukup panjang. Dan kini, dia memberikan kemaafan dan keizinan bagi kebebasan diriku dengan syarat dia juga bebas berbuat apa sahaja tanpa sekarang sekatan dan bantahan.

Esok-lusa, entah apa lagi syarat yang akan diberikannya.

Tetapi kerana tidak mahu kehilangan dirinya, aku rela untuk akur kepada syarat yang ditetapkannya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience