BAB 91

Romance Series 55690

REDZA

DAN emak memang cukup mengerti yang aku terluka sekalipun anaknya ini cuba bersikap tenang di hadapannya.

“Tak cuba bawa berbincang lagi?” soalnya perlahan.

Ketika itu, ayah sudah masuk tidur. Aku memberitahu kisah Armiza meminta putus tunang kepada emak dan meminta emak memaklumkan kepada ayah nanti. Mujur emak tidak mengungkit apa-apa, walaupun dia ada peluang untuk membalas tindakan aku yang berkeras hendak bertunang dengan Armiza dahulu.

“Ini bukan kali pertama dia meminta putus tunang, mak,” jawabku perlahan.

“Dah tetap hati?”

“Dia yang dah tetap hati. Kalau Along, Along masih mahu mempertahankan ikatan kami. Tapi iyalah, mak, orang dah tak suka, tak kan kita masih hendak menayang diri,” aku bersuara perlahan. Hatiku terasa sebak dengan tiba-tiba.

“Along sedih?”

“Along rasa macam dah nak menangis dah ni,” aku jujur mengakui perasaan aku kepada emak.

Emak pantas mengurut bahuku, cuba menenangkan sebak dadaku. Tetapi itulah, apabila aku ingin sekali menitiskan air-mata demi mengurangkan pedih dan hampa yang ada di hatiku ini, air-mataku ini tetap enggan turun. Hal itulah membuatkan luka di hati terasa bagaikan melarat besar.

“Bunga bukan sekuntum, Along,” pujuk emak lembut.

Aku tahu. Masalahnya, yang sekuntum itulah yang paling memikat hatiku. Yang sekuntum itulah yang paling aku mahukan.

“Mak beritahu ayah ya?” pintaku kepadanya. Aku tidak sanggup berhadapan dengan ayah dan memberitahunya apa yang telah berlaku. Teruk aku ditempelaknya nanti, mengenangkan dia yang paling keras membantah hasratku mahu bertunang dengan Armiza dahulu.

Emak menganggukkan kepala kemudiannya menarik aku ke dalam pelukannya. Hangat pelukannya membuatkan sedih hatiku kian menjadi-jadi. Dan akhirnya air-mataku mengalir keluar. Walau hanya setitis-dua, tetapi aku terasa lega sangat-sangat.

“Insya-Allah, nanti Along akan menemui seseorang yang lebih baik daripada orang yang Along kehilangan ni,” aku terdengar emak bersuara lembut.

Benarkah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience