BAB 11

Romance Series 55690

Sepulangnya daripada latihan hujung minggu itu, aku segera menghubunginya, mengadu akan masalahku itu.

“Tapi I tak senang hati dengan sikapnya terhadap I,” keluhku pula. Teringat aku kepada Haezade yang bersikap acuh tak acuh apabila aku cuba menjalinkan kemesraan dengannya.

“Ala! Lama-lama nanti, you dan dia pasti akan dapat berkawan rapat. Berilah masa untuk diri you dan juga dirinya untuk saling mengenali antara satu sama lain,” pujuk Zach lembut, cuba meredakan resah hatiku.

“Entahlah,” balasku lewa.

“Tetapi you kena banyak bersabar dengannya. Sambil-sambil tu, cubalah lakukan sesuatu agar hatinya terpujuk,” saran Zach.

“I dah cuba dah,” keluhku. Itu yang membuatkan aku agak ralat. Aku telah sedaya-upaya memaniskan wajah dan melembutkan lidah untuk berbual mesra dengannya sepanjang berada di kem, tetapi Haezade tetap meletakkan batas sempadan antara kami berdua.

“You ni cepat sangat mengalah. Teruskanlah mencuba, pujuk hatinya dengan sesuatu yang dia suka,” balas Zach, sambil memberikan panduan untuk aku mencubanya.

Bagus juga nasihatnya itu. Tetapi apa yang disukai oleh Haezade?

Berpusing-pusing otak aku mencari jawapannya, sehingga terlupa kepada perut yang belum berisi dan seragam loreng yang belum tertanggal. Menjelang larut malam, aku mendapat ilham. Dan esoknya, Haezade terkejut besar apabila aku meletakkan nasi lemak bersama sambal sotong dan kopi panas di atas mejanya.

Aku sendiri yang menyediakannya pada awal-awal pagi.

******

Malam ini, tergerak hatiku hendak menjejakkan kaki ke kampus UiTM cawangan Dungun kembali. Aku mahu melihat kembali tempat di mana aku mengutip permata-permata ilmu, juga tempat di mana aku menyimpul harapan cinta.

Tetapi siapa yang dapat menduga, bahkan aku sendiri masih tidak percaya bahawa harapan itu akan terungkai di pertengahan usaha. Maka jadilah aku seorang anak kampus yang tumpas kepada gelora rasa.

Ingat lagi, kami sama-sama berpayung meredah hujan yang lebat. Pedulikanlah mata pelajar lain dan pensyarah yang memerhati dengan rasa kurang senang. Sekaki payung yang sederhana besar itu muat-muat untuk kami berdua sahaja. Sesekali aku tertolak dirinya ke dalam hujan. Sesekali diri aku sendiri yang tertolak ke dalam lopak air. Akhirnya, aku memastikan dia yang mendapat tempat di bawah payung itu. Pedulilah kalau sebahagian daripada badan aku lencun ditimpa hujan.

Dia tertawa riang apabila sesekali angin yang menderu membawakan tempias air ke wajah ayunya.

“Muka Miza basah tu,” tegurku.

“Biarlah,” balasnya selamba.

Tetapi aku tidak mahu melihat titis air itu mencemari wajah bersih putihnya. Spontan tanganku menyapu titis-titis air itu. Dia seperti terkejut dengan tindakanku itu.

“Janganlah,” marahnya sambil menepis tanganku.

Aku cuma tersengih lebar, menyedari salahku. Sememangnya dia tidak sama dengan gadis-gadis lain.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah Miza dalam hidup Redza?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience