BAB 51

Romance Series 55690

MASHITAH

HUJAN di tengahari.

Aku yang sedang tersandar di dalam perut bas terpegun melihat titis-titis kasar hujan yang tertitik pada cermin tingkap di sebelahku. Aku tidak menjangka yang hujan akan turun memandangkan cuaca tadinya cukup cerah dan panas.

Sesuatu yang di luar jangkaan atau perancangan, fikirku apabila teringatkan makna yang terselindung di sebalik peribahasa Melayu ‘hujan di tengahari’. Sesuai benar peribahasa itu dengan apa yang sedang menimpa diriku ketika ini. Jalan kebahagiaan yang aku rasakan terbentang luas buat aku dan Zach tiba-tiba sahaja dicambahi dengan onak nibung yang menyakitkan.

Semalam, aku pergi menjenguk Natrah. Cutiku sudah sampai ke penghujung dan aku mahu menjenguk untuk melihat keadaan dirinya sebelum aku pulang ke Kuala Lumpur. Di ibu-kota nanti, hambatan kerja yang banyak akan membuatkan aku terpaksa mengurangkan tumpuan terhadap dirinya.

Dan tanpa diduga, aku bersua dengan Zulkifli, bakal suami Natrah yang kebetulan berkunjung datang ke rumah Uda Misah bersama orang-tuanya. Uda Misah memberitahu yang Zulkifli adalah kenalan keluarga mereka. Dan selama ini, aku sangkakan Zulkifli yang menjadi ‘pak sanggup’ itu adalah seorang lelaki yang biasa-biasa sahaja. Tetapi apabila bersua dengannya buat pertama kali, tanggapanku itu salah sama sekali. Terpegun aku apabila Uda Misah memberitahu yang pemuda berwajah lembut dan mudah tersenyum itu adalah lulusan Universiti Yarmouk di Jordan dan kini sedang bertugas sebagai guru agama di sebuah sekolah di Senggarang. Ustazlah maknanya itu.

“Saya tak faham kenapa ustaz rela melakukan semua ini,” ujarku kepadanya ketika kami berbual seketika.

“Sebab saya rasa dah jadi tanggungjawab saya untuk membantunya,” jawab Zulkifli lembut.

“Tak semua orang sanggup menerima bekas orang lain. Kalau ada yang sanggup sekalipun, orang yang sanggup tu selalunya lelaki yang entah apa-apa. Dan sekalipun keadaan telah berubah, yang memungkinkan perkahwinan ini tidak diteruskan, ustaz masih tetap mahu meneruskannya. Susah hendak ditemui ketulusan hati yang sebegini,” balasku pula.

Zulkifli hanya tersenyum lebar, tidak mengulas kembali kata-kataku itu. Dan Natrah seharusnya bersyukur dengan anugerah ini. Tidak semua orang mendapat ‘pak sanggup’ yang benar-benar sanggup.

Aku tidak berada lama-lama di rumah Natrah. Barang-barangku belum lagi dikemaskan dan aku tidak mahu terkelam-kabut mengemas pada sebelah malam nanti. Kalau aku mengemas di dalam keadaan kelam-kabut, adalah dua-tiga barang yang akan tercicir nanti.

Apabila melangkah masuk ke dalam rumah, terlihat ayah dan emak yang sedang duduk di ruang tamu. Wajah emak tenang tetapi wajah ayah tampak tegang. Terasa seperti aura di ruang tamu itu berbahang panas. Dan aku menjadi resah dengan tiba-tiba apabila terpandang sebuah bungkusan di atas meja yang terletak di hadapan ayah, bungkusan buku-buku agama yang aku poskan kepada Zach tempoh hari. Tetapi kenapa ia dipulangkan?

Aku yang tidak berani mengambil bungkusan itu, terus sahaja melintasi orang-tuaku untuk naik ke bilik yang terletak di tingkat atas.

“Shitah, duduk dulu.”

Langkahku dimatikan dengan arahan ayah yang bernada tegas. Aku berpaling, memandang wajahnya. Terasa pelik dan terkejut juga sebenarnya apabila aku mendengar kata-katanya itu. Adakah ayah mahu memperkatakan sesuatu kepadaku? Hairan! Aku tidak rapat dengan ayah. Sekiranya dia ada hal hendak dicakapkan kepadaku, dia akan menyampaikannya kepada emak. Dan emaklah yang akan menjadi mulutnya bagi setiap perkara yang hendak disampaikannya itu. Tetapi kali ini, dia mahu bercakap terus kepadaku. Dan itu yang membuatkan hatiku menjadi kurang senang. Caranya itu seolah-olah aku telah melakukan suatu kesalahan yang amat besar.

Pun begitu, aku akur dengan arahannya itu. Perlahan-lahan aku melabuhkan duduk di hadapan ayah.

“Siapa Zachary Watson?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience