BAB 47

Romance Series 55690

“Syamsir?” tebakku.

“Bukan,” geleng Mastura.

“Habis tu, siapa?” aku bingung. Jadi, bukannya Syamsir seperti yang aku fikirkan. Lalu, siapakah lelaki yang memalitkan aib kepada keluarga Uda Misah?

Mastura mengeluh perlahan, memandang ke arah lorong kecil yang menghubungkan rumah kami dengan rumah Uda Misah. Aku turut memandang ke arah lorong itu.

Entah apa perasaan Uda Misah dan Uda Bakar apabila berhadapan dengan perkara sebegini. Busuk nama mereka di seluruh kampung. Selama ini, keluarga mereka cukup dihormati oleh semua orang sebagai sebuah keluarga yang berjaya mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya. Tetapi hanya disebabkan oleh Natrah seorang, segala penghormatan itu hilang sekelip mata. Aku pasti, Uda Misah dan Uda Bakar tidak akan dapat mengangkat kepala dengan sesiapa lagi. Bukan kecil aib yang diterima ini dan aib itu pula akan terpikul sepanjang masa. Dengan tiba-tiba, aku berasa kasihan dengan Uda Misah dan Uda Bakar. Mereka tidak pernah membuat onar terhadap orang lain tetapi kenapa ada orang berbuat onar terhadap mereka.

Dalam pada itu, aku terkenangkan Natrah. Jadi, inilah sebabnya kenapa dia hendak berkahwin dengan tergesa-gesa. Bukan kerana ingin mengelakkan diri daripada dihantar bertugas ke Sabah atau Sarawak tetapi kerana ingin menutup aib yang sudah berdenyut di dalam rahim.

“Takkan kau tak tahu apa-apa tentang hal Ara tu?” aku kembali menyoal Mastura.

“Akak ni… kenapa sibuk hendak mengambil tahu hal orang?” marah Mastura kepadaku.

Aku tersengih tetapi hati agak geram juga dengan keengganannya untuk memberitahu dengan lebih lanjut akan hal Natrah kepadaku. Emak dan ayah juga enggan bercerita. Jadi, kepada siapa lagi hendak aku bertanya?

Natrah? Mahukah dia bercerita tentang dosa yang dilakukannya itu? Berbinar-binar kepala aku memikirkan bagaimanakah caranya untuk aku mengetahui hal sebenarnya. Aku tidak mahu bertanya kepada anggota keluarga Uda Misah, takut kalau-kalau akan melukakan hati mereka. Silap haribulan, aku ditempik mereka nanti. Hendak ditanya kepada orang kampung? Tidak pasal-pasal nanti, aku digelakkan mereka pula. Aib keluarga sendiri ditanya pada mereka yang tiada sebarang hubungan kekeluargaan atau hubungan darah dengan keluargaku.

Habis, kepada siapa hendak ditanya?

Petang itu, Uda Misah datang ke rumah, menemui emak dan ayah. Aku mengambil kesempatan memasang telinga mendengar perbualan mereka dari dapur.

“Macam mana?” aku terdengar suara ayah bertanya.

“Ara dah dibawa balik ke rumah. Menangis saja dia.”

“Hati dan fikirannya tengah tak tenteram tu,” terdengar pula suara emak.

“Bertimpa-timpa dugaan yang menimpa dirinya.”

“Semua itu ujian daripada Allah untuk menguji hamba-Nya,” ayah bersuara lembut, menenangkan resah Uda Misah.

“Itulah… selama ini saya takut kalau diuji dengan kemiskinan, penyakit… tetapi apabila diuji pada maruah, baru tahu betapa azabnya rasa hati,” Uda Misah bersuara perlahan.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang menjadi punca mengaibkan maruah Natrah dan keluarganya sebegitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience