BAB 87

Romance Series 55690

AKU menghabiskan cuti di rumah sementara menanti masa untuk mengikuti latihan pentauliahan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kalau aku tidak membantu ayah di kedai makannya, aku membantu ibu menguruskan adik-adik yang masih bersekolah.

Dalam pada itu, aku berusaha untuk memujuk Armiza yang masih lagi melancarkan perang dingin terhadapku. Tetapi apabila aku menghubunginya, dia seperti enggan bercakap, sebaliknya lebih banyak mendengar. Dan kalau bercakap pun, dia hanya berkata sepatah-dua kata sahaja. Kalau sekali-dua dia berkelakuan sebegitu, aku masih dapat menerima. Tetapi apabila berkali-kali dia bersikap begitu, aku terasa hati juga. Dan hati mula tertanya-tanya, adakah Armiza kini membenci?

Juita juga ada menghubungiku, meminta maaf di atas apa yang berlaku itu. Katanya lagi, orang-tuanya sudah mengetahui apa yang berlaku tempohari.

“So?”

“Mereka… mereka,” dia kelihatan teragak-agak hendak memberitahu.

“Mereka nak apa?”

Dia terdiam.

“Mereka nak abang bertanggungjawab terhadap kejadian itu?” tebakku.

Juita tetap terdiam. Betullah tekaanku.

“Tak ada apa-apa yang berlaku antara kita, Ita. Jadi, tak ada apa-apa tanggungjawab yang perlu abang pikul di dalam hal ni,” ujarku kepadanya.

“Macam-mana dengan nama baik Ita?” nada suara Juita kedengaran keras.

“Nama baik Ita? Macam-mana dengan nama baik abang pula?” aku lantas menyergahnya, tidak lagi peduli jika dia tersinggung hati mendengarnya.

Dia terdiam, mungkin tergamam kerana selama ini aku tidak pernah berkasar bahasa dan suara terhadapnya.

“Kita tak ada perkara yang hendak dibincangkan lagi, Ita. Jangan telefon abang lagi,” aku bersuara perlahan kepadanya, lantas meletakkan gagang dan berharap inilah bicaraku yang terakhir dengan Juita.

Sememangnya aku sakit hati dengannya. Ketika kejadian diserbu penduduk kampung dahulu itu, dia hanya diam seribu bahasa. Sedangkan aku terkial-kial sendirian memberikan penjelasan. Apabila dia membuka mulut akhirnya, dia mengaku yang kami adalah pasangan tunang. Terkejut aku mendengar kata-katanya itu. Apabila ditanya penduduk kampung, aku keras menafikan. Dan mujur juga penduduk kampung mahu mempercayai kata-kataku. Mungkin kerana penampilan Juita yang seperti tomboy membuatkan mereka mempercayai.

Hal itu membuatkan aku terfikir sesuatu; adakah Juita sebenarnya hendak memerangkap aku? Tetapi kenapa dia hendak berbuat sebegitu? Dengan tiba-tiba aku teringatkan kata-kata Syid iaitu aku adalah orang yang paling disayangi oleh Juita. Sebesar mana rasa sayangnya terhadap aku? Adakah rasa sayang di hatinya itu sebenarnya adalah cinta?

Walau apa-apa pun, betullah kata Armiza dahulu. Kebaikan aku mungkin akan kembali memakan diri sekiranya cara berbudi itu tidak kena caranya atau tidak kena pada orangnya. Aku telah berbudi pada orang yang salah.

Tetapi terlambatkah untuk aku menyesali silapku itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience