BAB 79

Romance Series 55700

Segera aku menyambar tangannya. Wajah Juita masam mencuka, lantas cuba menarik tangannya kembali. Tetapi aku menggenggam tangannya kemas, takut kalau-kalau dia melayangkan penumbuknya ke mukaku lagi.

Ketika itulah, terdengar suara Armiza berdehem. Terkejut juga kami. Bahkan aku yang lebih terkejut, tidak menyangka yang dia dengan tiba-tiba akan muncul di kedai makan di hadapan stesen bas kecil Dungun ini. Tadi, sebelum aku dan Juita keluar ke bandar Dungun ini, aku ada mengajaknya datang bersama. Tetapi dia enggan, katanya ada tugasan yang perlu disiapkan segera. Alih-alih, dia kini terpacak di hadapan aku dan Juita.

Armiza tersenyum tetapi tatapan matanya tajam sekali.

“Datang seorang ke?” soalku kepadanya.

Tangan Juita aku lepaskan dan dia kini sedang tertunduk ke meja. Segan agaknya apabila Armiza terlihat gelagatnya tadi.

“Datang dengan Sazali, cari bahan untuk pembentangan paper project kumpulan kami nanti. Tapi dia pergi ke bank sekejap, Miza singgah di sini untuk belikan minuman. Tak sangka akan berjumpa abang dan Ita di sini,” ujar Armiza.

“Kami ada perkara hendak dibincangkan,” beritahuku kepadanya.

“Ya ke? Jauhnya mencari tempat berbincang,” dia bersuara selamba.

Jelas dia menyindir aku. Jelas yang dia sakit-hati.

“Duduklah minum bersama kami,” Juita bermanis muka, mempelawanya untuk duduk bersama kami.

“Terima-kasih sajalah. Sazali sudah menunggu tu. Pergi dahulu,” dia menolak pelawaan Juita, lantas beredar pergi. Sempat aku perhatikan yang wajah manisnya bertukar keruh ketika dia melintasiku.

Aku memerhati dia melangkah mendapatkan Sazali yang sedang menantinya di luar kedai makan. Terpinga-pinga Sazali apabila Armiza dengan pantas dan kasar menyambar tangannya, mengheretnya pergi dari situ.

Terbakar hatiku melihat tunanganku memegang tangan lelaki lain.

“Tak apalah, abang. Kalau kak Miza cemburu abang hendak menolong Ita, tak payahlah abang bersusah-payah menolong. Ita takut kalau-kalau abang gaduh besar dengannya nanti,” terdengar Juita bersuara perlahan.

Aku kembali menoleh ke arahnya. Wajah Juita kelihatan pudar.

“Tak apa, nanti abang jelaskan kepada dia apakah hal sebenarnya. Selalunya dia mengerti,” ujarku kepadanya.

Juita tidak berkata apa-apa lagi, hanya menunduk memandang meja. Aku tahu dia terasa bersalah. Tetapi dia tidak bersalah sepenuhnya. Armiza yang cemburu melulu. Sudahlah begitu, dia bagaikan sengaja hendak menyakiti hatiku.

Kalau beginilah sikapnya, hubungan kami pastinya akan sentiasa diselubungi prasangka. Dan dia akan menjadi seseorang yang sentiasa mencurigai keikhlasan dan kesetiaanku.

Kemanisan cinta kami pun akan beransur menjadi tawar nanti.

SEPERTI yang aku duga, Armiza acuh tak acuh sahaja lakunya ketika aku menemuinya dan menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku antara aku dan Juita. Dia seperti tunggul kayu, tidak memberikan sebarang reaksi kepada bicaraku. Tetapi bibirnya mencebik sinis apabila penjelasanku tiba pada bahagian cerita yang dirasakannya mengarut.

Masalahnya, aku tidak mengarut.

“Jangan salah-sangka pada abang, jangan berburuk sangka pada Ita,” ujarku kepadanya apabila melihat reaksinya sebegitu. Aku tidak mahu meninggikan suara kepadanya. Kami berada di sebuah kedai makan di tepi pantai. Ramai orang ada di dalam kedai makan itu dan antara mereka ialah rakan sekampus kami. Aku tidak mahu mengundang perhatian mereka terhadap kami.

“Yalah tu, abang saja yang betul, yang tak pernah buat silap,” balasnya dengan nada jengkel.

Aku merenungnya, terasa geram mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutnya.

“Kadang-kadang abang rimas dengan syak-wasangka dan cemburu Miza,”aku meluahkan rasa tidak senang-hatiku dengan sikapnya yang dirasakan keterlaluan itu.

Dia merenungku tajam. Lama sekali dan akhirnya mengeluh perlahan. Tetapi tiada sebarang bicara yang keluar daripada bibirnya. Rimas pula aku melihat gelagatnya itu. Dia seperti masih tidak berpuas-hati, tetapi enggan meluahkan apa yang terbuku di hatinya itu.

“Ita ada masalah, dan abang cuma nak tolong saja,” ujarku kepadanya.

“Tetapi kenapa abang nak masuk campur di dalam masalah orang lain? Kenapa tak biarkan dia menyelesaikannya sendiri? Selagi Syid tak datang menyerang abang, kenapa abang nak menyibukkan diri?” dia mempertikaikan usahaku untuk membantu Juita.

“Itu tanggungjawab namanya. Apabila ada orang datang meminta pertolongan, hendak tak hendak kita mesti menolong kerana mereka meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita menolong mereka,” jelasku pula.

“Besar sangat ke masalahnya tu sampai perlukan bantuan abang? Kenapa dia tak boleh selesaikannya sendiri? Dan abang pula, cuba nak tunjukkan kepada semua orang yang abang tu baik sangat,” tingkahnya pantas.

Menyirap darahku.

“Atau dia sebenarnya sedang cuba untuk lebih rapat dengan abang, lantas cuba mengumpan perhatian abang dengan sebuah sebuah masalah yang direka-rekanya sendiri,” sambung Armiza lagi.

“Jangan menuduh sembarangan!” bentakku kepadanya, keras dan kasar.

Inilah kali pertamanya aku berkasar dengannya. Tetapi prasangkanya itu keterlaluan benar. Aku kenal hati-budi Juita, dan Juita tidak seburuk seperti yang disangkakannya itu.

Aku yakin yang Juita benar-benar bermasalah. Bahkan sehari dua ini, aku lihat Syid bermasam-muka denganku, terutamanya apabila terserempak aku sedang bersama-sama Juita. Kerana itu, aku yakin yang dia bermasalah dan memerlukan pertolonganku walaupun masalahnya itu sebenarnya tidak sebesar mana.

Armiza seperti terkejut mendengarkan sergahanku lantas mendiamkan diri. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Nyatalah kata-kata kerasku tadi telah mengguris luka hatinya. Melihat dia mula berduka, aku mula menjadi serba-salah. Bukan niatku hendak menyakiti hatinya. Tetapi dia yang bagaikan mencabar kesabaranku.

“Sorry,” aku bersuara perlahan.

“Nampaknya macam Miza ni pula orang ketiga di dalam hidup abang. Orang lain, akan lebih mengutamakan orang yang disayanginya. Tetapi abang…” dia berhenti seketika, menghela nafas.

Aku menjadi tidak sedap hati mendengarkan kata-katanya itu. Bunyinya seperti yang dia benar-benar merajuk.

“Bukannya abang tak tahu apakah perkara yang Miza tak suka tapi abang tetap tidak mengendahkannya. Abang tak ada rasa hormat pada perasaan Miza. Kalau macam ni gayanya, kita putus tunang sajalah. Kita bawa haluan sendiri. Buatlah apa saja yang abang suka, sebab Miza tak akan menghalang lagi. Hati Miza pun tak akan sentiasa sakit lagi. Agaknya itu yang terbaik untuk kita yang terlalu jauh berbeza ni.”

Aku tergamam mendengarnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience