BAB 35

Romance Series 55690

“Itu saja?” suara Zach seperti kecewa mendengarkan kata-kataku itu.

Aku mengerti akan kekecewaannya itu.

“Mungkin sebab hubungan antara dunia Islam dan Kristian yang sedang bergolak pada masa kini mempengaruhi fikirannya menjadi curiga kepada golongan beragama Kristian seperti you,” ujarku selamba.

Tetapi adakah kalau Zach beragama Buddha atau menganut animisme, Haezade akan dapat menerima hubungan kami? Pening kepala aku memikirkannya. Tetapi aku yakin, sekalipun Zach bukan penganut Kristian, Haezade tetap akan menentang hubungan kami berdua. Punca utama tentangannya ialah kerana perbezaan bangsa, bukan disebabkan perbezaan agama semata-mata.

“Agaknya, dia juga curiga kalau-kalau I ni sedang menjalankan usaha kristianisasi, hendak menarik you kepada Kristian. Sebab tu dia prejudis dengan I,” terdengar Zach bersuara sebegitu.

Terkejut juga aku mendengarnya. Bunyinya seperti dia sedang berjauh-hati. Tetapi apabila aku memandangnya, terlihat bibirnya tersenyum lebar, tanda yang dia hanya bergurau.

Namun, hal itu menimbulkan keresahan hatiku. Sekiranya Haezade ada bertanggapan seperti itu, bermakna dia akan semakin prejudis terhadap kejujuran Zach. Sikap prejudisnya itu pasti akan mengundang masalah sekiranya mereka bertemu kelak. Aku takut kalau-kalau dia akan bersikap biadap terhadap Zach.

Ternyata apa yang aku bimbangkan itu benar-benar berlaku. Haezade akhirnya bersua-muka dengan Zach semasa majlis mess nite yang diadakan di Hotel Midah.

Cuma Haezade masih dapat mengawal dirinya, tidak begitu memperlihatkan rasa kurang senangnya terhadap Zach. Tetapi aku dapat rasakan ketegangan hatinya itu apabila melihat kepada cara dia menggenggam erat tangan Zach ketika berjabat tangan. Keras dan kuat sekali goncangan tangannya dan pandangan matanya yang tajam menentang pandangan mata Zach seakan-akan mencabar.

Tetapi Zach cukup tenang apabila diprovok sebegitu. Dia hanya tersenyum mesra, memperkenalkan dirinya sambil memberitahu serba-sedikit tentang latar-belakangnya kepada Haezade. Lega aku melihat cara Zach menangani sikap keras Haezade itu.

Kebetulan aku dan Zach ditempatkan semeja bahkan tempat duduk kami berdua bertentangan dengan tempat duduk Haezade. Tetapi aku dan Zach tidak mempedulikannya, sebaliknya berbual mesra sesama kami. Awal-awal lagi kami sudah sepakat hendak membakar hati Haezade dengan lagak mesra yang diada-adakan. Dan sepanjang majlis berlangsung, aku perasan Haezade sering memandang ke arah kami berdua, langsung tidak mempedulikan Malia yang duduk di sebelahnya.

“Kacak orangnya,” bisik Zach ketika kami menikmati persembahan nyanyian oleh penyanyi daripada Badan Kesenian Tentera Darat.

“Haezade ke?”

“Yalah, siapa lagi,” angguk Zach.

Aku melirik ke arah Haezade sekilas. Matanya masih tajam memandang ke arah kami. Aku rasa kalaulah dia ada lapan mata, semua mata-matanya itu akan terarah kepada kami berdua sahaja, tidak beralih ke tempat lain.

“Biasa saja I tengok,” ujarku kepada Zach.

Dia tergelak kecil, lantas menarik hidungku. Oh! Aku pasti hati Haezade menggelegak benci melihat gelagat kami berdua.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa pula yang difikirkan Haezade melihat gelagat Zach dan Mashitah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience