BAB 53

Romance Series 55690

Ayah mengeluh perlahan, melirik ke arah emak, tanda dia mahu emak membantunya ketika berhujah denganku. Emak pula membuang pandang ke luar tingkap, tanda dia enggan bersuara apa-apa. Emak hanya mahu menjadi pemerhati bebas.

“Sejauh-mana dia serius dengan Shitah?” ayah juga yang perlu berunding denganku.

“Kami merancang hendak berkahwin,” beritahuku.

“Dia hendak memeluk Islam?”

“Kalau tak memeluk Islam, bagaimana kami hendak berkahwin?” balasku pula.

“Dia bersungguh-sungguh?” soal ayah lagi.

Aku mengangguk. Tetapi mataku melirik ke arah bungkusan buku-buku agama yang terletak di atas meja di antara aku dan ayah. Kenapa dipulangkan?

Aku mahu mengambil bungkusan itu, hendak melihat catatan posmen bagi mengetahui sebab bungkusan itu dipulangkan. Tetapi bukan sekarang, ketika aku sedang berbicara dengan ayah.

“Walau dia bersungguh sekalipun, ayah tetap tak suka,” ujar ayah, tetap menyuarakan tentangannya.

“Hanya kerana dia beragama Kristian?” soalku, hampa. Selama ini aku mengharapkan restu ayah apabila dia mengetahui tentang cintaku dan Zach.

“Shitah yakin yang Shitah boleh membimbingnya dengan sebaik-baiknya?” soal ayah.

“Ya,” jawabku, yakin dan tegas.

“Apabila berkahwin, Shitah yang perlu menjaganya. Bukan setakat makan-minum atau kebajikan dirinya semata-mata, tetapi juga agama dan akidahnya memandangkan dia adalah saudara baru.”

Aku terdiam.

“Baik, jawab soalan ayah ni, apa hukum mendedahkan rambut yang menjadi sebahagian daripada aurat wanita?” soal ayah kepadaku, bertujuan hendak menguji pengetahuanku. Caranya sama seperti cara Haezade dan kerana itu aku dapat menduga apakah yang akan diperkatakannya nanti.

“Kenapa tak jawab?” tekan ayah.

Aku tetap membisu. Menjawab soalan itu samalah seperti menempelak diri sendiri.

“Kerana itu ayah tak boleh terima hubungan Shitah dengan dia. Bagaimana Shitah hendak membimbingnya kalau diri Shitah sendiri tak terbimbing,” ujar ayah apabila lama aku mendiamkan diri.

Menyirap darahku mendengarkan kata-katanya itu. Hanya kerana aku tidak bertudung seperti adik-beradikku yang lain, maka ayah mengatakan yang diriku tidak terbimbing, sekaligus tidak layak membimbing Zach? Ayah tidak adil apabila menilai aku sebegitu!

“Shitah!” Ayah terkejut apabila tiba-tiba sahaja aku bingkas bangun daripada dudukku, menyambar bungkusan yang terletak di atas meja dan meluru naik ke tingkat atas.

Aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Hatiku tersiat pedih dengan tentangan yang aku terima daripada ayah. Di dalam bilik, aku menghempaskan badan ke tilam; kemudiannya menarik nafas panjang-panjang untuk menurunkan suhu panas di hatiku. Hanya kerana Zach beragama Kristian dan aku ini tidak sealim mana, ayah menentang hubungan kami. Ini tidak adil bagi kami berdua.

Mengingati Zach membuatkan aku kembali menegakkan badan, lantas menyambar bungkusan yang dicampak di atas katil tadi. Bungkusan itu aku belek, mencari-cari catatan posmen untuk melihat sebab kenapa ia dipulangkan semula. Seketika, aku menemuinya.

‘Enggan menerima’

Aku terpana.

Kenapa?

Gementar hatiku. Resah perasaanku. Segera aku menghubungi Zach tetapi hampa kerana talian telefonnya kini berada di luar kawasan liputan perkhidmatan. Baru aku teringat, Zach sudah pulang ke Ranau pada dua-tiga hari yang lalu.

Aku menghela nafas, merenung bungkusan buku-buku itu. Kenapa Zach mengembalikan bungkusan ini? Mungkin bukan Zach yang mengembalikannya tetapi orang yang menerima bungkusan ini yang mengembalikannya kepadaku. Tetapi yang mana satu telahanku yang betul? Aku menjadi berserabut otak memikirkannya.

Mastura menjengah ke bilikku ketika aku sibuk berkemas pada sebelah malamnya. Aku tidak mempedulikan kehadirannya.

“Akak tak nak makan?” soalnya sambil duduk di birai katil.

“Akak kenyang,” jawabku walaupun sebenarnya aku tidak makan apa-apa lagi sejak daripada tengahari tadi. Perut terasa sebu dek resah yang menghimpit diri apabila memikirkan bungkusan yang dikembalikan itu.

Bukan setakat bungkusan itu sahaja, tentangan ayah terhadap hubungan aku dan Zach juga membuatkan aku dihimpit resah. Aku tahu, sekarang ini ayah menentang dengan lembut tetapi lama-lama nanti dia akan memperhebatkan tentangannya. Tetapi aku pelik, kenapa ayah menentang? Hanya kerana Zach beragama Kristian? Itu bukan alasan yang kukuh atau munasabah. Zach akan memeluk Islam. Mungkin ayah bimbang Zach hanya memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin, bukannya kerana ikhlas mengakui kebenaran Islam. Tetapi aku sentiasa berdoa agar dia memeluk Islam setelah menyakini kebenaran Islam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience