BAB 62

Romance Series 55700

MASHITAH

ZACH terkejut besar apabila melihat aku berdiri di hadapan pintu rumahnya.

“Macam mana you boleh sampai ke sini?” soalnya sambil menarik tanganku masuk ke dalam rumahnya.

“Hendak seribu daya, Zach,” jawabku selamba sambil melabuhkan duduk di kerusi, meletakkan beg yang aku galas ke lantai. Dia pula duduk di hadapanku.

Tengahari semalam, sebaik sahaja selesai mendaftar masuk ke hotel penginapan, aku bergegas mencari pengangkutan untuk membawaku datang ke daerah Ranau ini. Dan tengahari ini, aku tiba di kampungnya yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Ranau. Dan kini, aku berada di hadapannya. Segala rindu yang membelit tangkai hatiku terlerai sebaik sahaja menatap wajah kurusnya.

“Your family pergi ke mana?” soalku apabila menyedari hanya aku dan dia yang berada di dalam rumah itu.

“Ke Kampung Sokid, ada majlis perasmian majlis pecah tanah pembinaan pusat komuniti. Tinggallah I seorang, menjaga rumah. Tapi tak sangka betul, ada sebab rupanya kenapa I berat hati hendak ikut pergi tadi. Rupa-rupanya, ada orang jauh hendak datang. Tapi kenapa datang tak beritahu terlebih dahulu, Shitah?” dia bersuara dengan panjang lebar.

“You tak suka?”

“Bukan, cuma malu hendak menerima you sebagai tetamu yang di rumah I yang tak seberapa ni. Maklumlah, rumah kampung,” jawabnya.

“I pun orang kampung juga, Zach,” aku mengingatkannya.

Zach tersenyum mendengarnya.

“Lagipun, macam-mana I nak beritahu you, kalau perkhidmatan talian telefon you berada di luar kawasan liputan perkhidmatan. Sudahlah tu, you bukannya nak hubungi I pun. I amat rindukan you,” aku meluahkan rasa hatiku kepadanya.

Aku mahu dia tahu yang aku rindukannya, lantas sedar betapa terseksanya hatiku yang merinduinya. Baru seminggu-dua dia meninggalkan aku, aku sudah terlalu merinduinya. Belum lagi dia terpaksa meninggalkan aku untuk berbulan-bulan lamanya atau aku ditakdirkan kehilangan dirinya. Rindu padanya akan membakar diriku nanti.

“I rindukan you juga,” angguknya.

“Kalau rindu, hubungilah I. Ini tidak, cuma sekali itulah you hubungi I. Lepas tu, you dah tak hubungi I,” aku meluahkan rajuk hati dengan apa yang berlaku itu.

Ada banyak perkara yang berlaku kepadaku, yang mungkin boleh memberikan impak kepada hubungan kami tetapi dia seperti sedikit pun tidak mengendahkan diriku. Rinduku terbiar tanpa cuba dipadamkannya, resahku terdampar tanpa dihiraukannya. Dan kini, aku menuntut penjelasan darinya agar rindu dan resah tidak lagi menyusahkan hati dan fikiranku.

“I ada banyak urusan, Shitah. Nak kena uruskan tempat kerja yang baru, nak kena jaga ayah I yang sakit, baru minggu inilah I agak lapang sikit,” jawabnya perlahan.

Sibuk sangatkah dia sehingga tiada masa untuk menghubungiku selalu? Hatiku mempersoalkan jawapannya itu. Tetapi apabila melihat wajah kurusnya yang kelihatan suram, terasa seperti ada sesuatu yang disembunyikannya daripada pengetahuanku.

Masalah? Barangkali. Tetapi kalau ya, apakah dia? Dia ada masalah dengan tempat kerjanya yang baharu? Atau masalah keluarganya semakin melarat menjadi besar tanpa dapat diselesaikan?

Aku tidak mahu bertanya dan dia pula tidak mahu bercerita. Sudahnya, aku membiarkan sahaja hatiku berbalut dengan seribu tanggapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience