BAB 98

Romance Series 55700

REDZA

AKU ke bandar, membeli tiket bas pulang ke Kuala Lumpur. Ketika hendak beredar pergi dari kaunter jualan itu, aku bertembung dengan Syid. Aku terkejut. Dia juga kelihatan terkejut. Kami sama-sama terkelu lidah hendak menyapa. Seketika kemudian, dia menegur mesra.

“Lama tak jumpa,” ujarnya tersenyum.

Aku tidak tahu bagaimana hendak bersuara balas, hanya tersenyum dan mengangguk.

“Kau buat apa di sini?” soalnya.

“Ada undangan perkahwinan,” beritahuku.

“Siapa?” tomboy yang seorang ini menyibuklah pula hendak mengambil-tahu.

“Sazali,” aku menjawab terpaksa.

“Dengan Miza?” soal Syid lagi.

“Kau tak terima undangan mereka?” aku tidak menjawab soalannya itu, sebaliknya menyoalnya kembali.

“Tak tapi ada rakan sefakulti yang memberitahu dan mengajak aku. Tapi aku tak boleh pergi. Cuti aku pun setakat hari ni saja,” jawab Syid.

“Habis tu, kau buat apa datang ke sini? Ingatkan kau nak menghadiri majlis mereka tu.”

“Aku datang jenguk adik aku kat kampus tu. Eh jom! Kau belanja aku minum kat kedai tu. Sambil-sambil tu, kita boleh bercerita panjang,” Syid pula dengan selambanya menarik tanganku menuju ke sebuah kedai yang terletak di belakang kaunter jualan.

Sepatutnya dia yang membelanja aku kerana dia yang mengajak. Tetapi aku hanya menurut sahaja kemahuannya itu. Pelik juga, dahulu aku cukup tidak berkenan dengan Syid, lantas tidak suka untuk berbaik-baik dengannya. Tetapi kini, aku boleh pula duduk semeja untuk berbual mesra dengannya.

“Kau tak frust ke bila putus tunang dengan Miza?” soalnya apabila kami duduk di meja yang berhadapan dengan kaunter bayaran.

Budak ni… hendak merasa penangan aku ke? Adakah patut dia menyoal sebegini?

Tetapi aku hanya mengangkat bahu, kemudiannya menggamit gadis pelayan kedai makan. Kami sama-sama meminta teh O ais.

“Bukan apa, aku tengok kau cool saja, sanggup pula pergi menghadiri majlis perkahwinan mereka,” ujar Syid sebaik-sahaja gadis pelayan tadi beredar.

“Kau hanya ternampak tenang di permukaan tetapi kau tak nampak gelora di sini,” balasku sambil tanganku menunjuk ke arah dada.

“Sorry,” Syid bersuara kesal.

Aku merenungnya, tidak menyangka yang dia akan selembut itu. Syid yang aku kenali bukanlah seseorang yang suka menjaga hati orang lain. Dia tidak pernah rasa bersalah sekiranya apa yang dilakukannya mencalar hati orang.

“Apasal kau renung aku macam tu sekali?” sergahnya kepadaku.

Aku terkejut, lantas menggelengkan kepala.

“Apa yang tak kena dengan aku?” dengusnya marah sambil menundukkan kepala. Membelek dirinya mencari kalau-kalau ada sesuatu yang kelihatan jelek pada dirinya yang mengundang pandangan tajam mataku.

“Apasal kau baik sangat sekarang ni?” aku menyoalnya, menyembunyikan senyuman.

“Aku memang baik,” balasnya selamba.

“Kalau kau baik, kau tak akan mengganggu Juita sehingga menimbulkan rasa takutnya terhadap engkau. Kalau kau baik, kau tentu sedar yang kau tak sepatutnya menganggap Juita tu sebagai…” aku tidak tergamak hendak menyebut laku buruknya itu.

“Oh itu…” Syid tersenyum-senyum. Dia sedikit pun tidak mengambil-hati dengan kata-kataku tadi.

Aku merenungnya tajam. Berdasarkan reaksinya itu, aku rasakan seperti ada sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuanku? Tetapi apa?

“Kau masih berhubung dengan Juita?” soal Syid.

Aku menggelengkan kepala. Selepas aku putus tunang dengan Armiza, aku tidak lagi mengambil-tahu akan khabar dirinya.

“Mesti dia merana apabila kau tak menghubunginya lagi,” keluh Syid.

Aku hanya mengangkat bahu. Duka dan luka di hati Juita tidak sama dengan duka dan luka di hati aku. Dia tidak semerana aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience