BAB 96

Romance Series 55700

REDZA

MATAKU memandang sekeping kad berwarna kuning gading yang hurufnya ditinta menggunakan warna perak. Cantik sekali. Sesekali terhidu harum lembut baru daripada kad itu. Lembut baunya cukup menyentuh kalbu, lantas membangkitkan rindu.

Ingat lagi, ayah melangkah masuk ke dalam bilikku tatkala aku sedang menunaikan solat Isyak. Ketika selesai solat, aku mendapati dia sedang menatap gambar-gambar Armiza yang masih terlekat pada dinding bilik.

“Ada apa, ayah?” soalku kepadanya.

Ayah yang sedang leka menatap gambar segera berpaling kepadaku. Mataku terpandang sekeping sampul di tangannya. Untuk akukah? Tetapi daripada siapa? Melihat kepada bentuk sampul itu, aku tahu yang isinya adalah sekeping kad.

Dengan tiba-tiba, degup jantungku berlari dengan kencang.

“Ada apa, ayah?” aku mengulangi soalanku, cuba mengawal resah hati.

“Tak boleh lupakan dia lagi?” ayah pula yang menyoalku, sambil memuncungkan bibir ke arah gambar-gambar Armiza. Aku tersenyum kelat, tidak menjawab.

Sudah hampir setahun aku dan Armiza putus tunang. Aku sendiri sudah bergelar graduan dan kini telah bekerja di sebuah hotel. Tetapi ingatan terhadap Armiza masih belum luput ditelan masa. Aku sentiasa mengingatinya bahkan masih merinduinya. Kerana itu, gambar-gambar Armiza yang aku lekatkan pada dinding bilik ketika mula-mula putus tunang dahulu aku biarkan tidak terusik.

“Baru putus cinta, dah frust tertonggeng-tonggeng,” selamba ayah mengutukku.

Tetapi aku tahu dia bukannya betul-betul mengutuk tetapi sekadar menegur. Aku tahu, sedikit-sebanyak dia risau melihat tingkah-laku aku yang baginya bagaikan orang tidak betul.

“Ini bukannya putus cinta, ayah. Tapi putus tunang,” balasku pula.

Ayah menggelengkan kepala, mendekatiku yang duduk di birai katil. Sampul di tangannya diletakkan ke atas meja.

“Ada undangan walimah untuk Along,” ujarnya perlahan.

Aku tidak berkata apa-apa, melirik ke arah sampul berwarna kuning gading itu. Tertera nama Sazali dan Armiza pada penjuru kiri di sebelah atas sampul itu. Undangan majlis perkahwinan mereka rupanya.

Sukar aku mempercayai yang Sazali adalah lelaki pilihan Armiza. Aku tahu Armiza mahukan seorang lelaki yang baginya baik tingkah-laku dan baik agamanya tetapi aku tidak menduga yang pilihannya itu ialah Sazali, bekas rakan sebilik dan pernah aku nobatkannya sebagai kawan baikku.

“Aku bukan merampas. Dia yang memberikan hatinya kepadaku. Lagipun, antara kau dan dia sudah tak ada apa-apa ikatan lagi,” dia membela diri ketika aku menuduhnya sebegitu, sejurus selepas aku menerima undangan perkahwinan mereka.

“Kenapa dia?” sergahku. Nasib baik kami berbicara di talian telefon. Kalaulah kami bersemuka, ringan tanganku melayang ke mukanya.

“Kalau bukan aku sekalipun, dia tetap akan memilih orang lain dan tak akan kembali kepada kau,” balas Sazali.

Terdiam aku mendengar kata-katanya. Nyata, benci benar Armiza kepadaku sehingga tidak mahu memberikan ruang untukku kembali kepadanya.

Aku sebenarnya tidak kisah siapakah bakal pengganti diriku yang menjadi pilihan Armiza. Tetapi apabila dia memilih Sazali, dia seperti menyindir diriku yang baginya tidak sebaik mana ini.

Wajah Sazali yang lembut dan tenang bermain di fikiran. Aku akui yang dia sememangnya seorang pemuda yang baik. Dia tahu yang aku tidak suka ditegur tetapi dia tetap menegur jika dia merasakan apa yang aku lakukan itu adalah salah, terutamanya mengenai hubungan rapat aku dengan Juita dan juga dengan rakan-rakan perempuan yang lain. Dia juga rajin mengejutkan aku untuk bangun sembahyang Subuh atau mengingatkan aku masuknya waktu solat.

Dia juga seorang pemuda yang tenang dan penyabar orangnya. Ingat lagi, bagaimana aku menumbuk mukanya apabila aku terserempak dia sedang berjalan dengan Armiza di tepi pantai. Kejadian itu berlaku seminggu sebelum peperiksaan terakhir, juga sebelum kejadian aku diserbu penduduk kampung kerana berdua-duaan dengan Juita di sebuah rumah. Biarpun dia jatuh terlentang ke tanah dengan bibir yang berdarah, dia langsung tidak membalas kekasaranku itu. Sebaliknya dia meminta maaf kepadaku kerana membawa keluar tunangku itu.

Sememangnya jauh benar perbezaan antara dia dan aku, umpama langit dan bumi. Aku akui, kelebihan Sazali adalah kekuranganku. Dan kelebihan itu pula merupakan ciri-ciri idaman Armiza.

Aku tahu hubungan mereka erat sekalipun mereka sentiasa menafikan atau berlagak tidak mesra ketika berada di hadapan mataku. Sazali adalah tempat Armiza meluahkan rasa kecewanya dengan sikapku yang baginya cukup mementingkan diri sendiri. Sikap Sazali yang baik dan mengambil-berat akan dirinya secara tidak langsung membuatkan Armiza terasa terlindung. Sudahnya, hati Armiza mula berbelah-bahagi. Dan apabila dia menetapkan fikirannya, aku yang tersingkir. Jadilah aku seorang pencinta yang malang.

Aku mencapai warkah undangan itu, membukanya perlahan. Sekilas bau harum yang ringan kembali singgah di deria bau. Lembut dan menusuk kalbu. Lantas rasa ngilu yang terhimpun di hati kembali merenyut pedih. Perit sekali aku rasakan ketika ini. Dan bertambah perit apabila melihat tarikh yang tertera pada kad undangan itu. Beberapa hari lagi, mereka akan bersatu sebagai suami-isteri. Aku pula melopong dan menggigit jari sahaja melihat orang yang aku cintai menjadi milik orang lain.

Warkah undangan itu aku campakkan ke atas meja di sebelah katil. Lantas aku berbaring menentang siling. Suka atau tidak, aku terpaksa menerima hakikat yang Armiza akan menjadi milik Sazali.

Dan sewajarnya aku berterima-kasih kepada Sazali yang tidak melupakan aku, lantas mengundang aku ke majlis perkahwinan mereka. Armiza langsung tidak mengundang. Bukan sengaja dia melupakan tetapi aku tahu dia takut kalau-kalau aku membuat onar di majlis perkahwinannya itu, seperti aku janjikan kepadanya dahulu.

Dia takut aku datang mengebom majlis perkahwinannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience