BAB 2

Romance Series 55690

Tetapi apabila bayu laut bertiup keras, bayang dirinya lantas menghilang. Tawanya turut terpadam. Yang tinggal hanyalah aku yang termangu-mangu mencari ke mana menghilangnya dia dan kemudiannya tersedar yang ada di tepi pantai ini hanyalah aku, yang sedang merinduinya.

Tetapi rindukah dia kepadaku?

Aku sebenarnya tidak mengharapkan ada rindu daripadanya untukku, kerana aku tahu perasaannya terhadap aku telah lama dibuangnya ke laut lepas. Cukuplah sekadar dia mengingati aku sebagai seorang pemuda yang mengajarnya erti cinta.

Tetapi aku pasti, mengingati sebaris nama aku pun dia tidak mahu.

Aku sampai juga ke Sura Hujung, yang terletak di Dungun, salah sebuah daerah di negeri Terengganu yang indah ini. Bas bertolak pada lewat malam tadi, dan aku tiba di sini menjelang subuh. Tiada siapa yang menjemput aku di stesen bas kecil Dungun, membuatkan aku memberanikan diri menggunakan perkhidmatan kereta sapu untuk membawa aku ke Hotel UiTM.

Jika malamnya, aku kagum melihat beberapa buah loji minyak yang terdapat di sepanjang jalan; pada sebelah siangnya pula aku lebih takjub lagi apabila menyaksikan pantai yang putih bersih dengan air-laut yang biru-kehijauan. Sayang sekali aku tidak berpeluang melihat detik kemunculan mentari pagi di garis horizon laut. Kata orang, cantik sekali pemandangan mentari yang sedang bangkit atau terbenam di ufuk. Insya-Allah, sebelum aku pulang, aku mahu menyaksikan kebesaran alam yang menjadi manifestasi kekuasaan Allah s.w.t.

Melihat air laut yang berombak tenang dengan pasir yang putih bersih, timbul keinginan untuk pergi berenang. Tetapi apabila gadis penyambut tetamu Hotel UiTM memberitahu bahawa pernah ada kejadian lemas di situ, keinginan hati menjadi pudar. Aku bukannya cekap berenang sangat pun. Bimbang juga kalau-kalau aku lemas nanti. Kalau terjadi sebegitu, Zachary mahupun Haezade pasti menyangka aku membunuh diri.

Sudahnya aku memutuskan untuk berjalan-jalan di pinggir pantai sahaja. Jauh di tengah laut sana, beberapa buah perahu nelayan yang sedang mencari rezeki di perut lautan jelas kelihatan teroleng-oleng dilambung ombak. Melihat kecantikan laut yang berombak tenang, hati menjadi terhibur. Lupa sebentar kepada Zachary mahupun Haezade. Juga terlupa seketika kepada luka yang sedang berdarah di hati.

Puas menghirup angin laut dan apabila mentari kian meninggi sehingga berbahang hangat, aku kembali ke kamar penginapan. Ketika membuka pintu bilik, terdengar bunyi bingit deringan telefon bimbit. Sengaja aku tinggalkan telefon itu di bilik tadi kerana tidak mahu diganggu oleh sesiapa ketika mengambil angin di tepi pantai. Terburu-buru aku mengeluarkannya dari dalam laci, tetapi deringannya berhenti sebelum sempat dijawab panggilan itu.

Ada lima panggilan yang tidak terjawab, semuanya daripada Zachary atau lebih mesra dengan panggilan Zach.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah begitu banyak panggilan daripada Zachary? Mungkinkah ada berita penting ingin disampaikan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience