BAB 7

Romance Series 55690

Barangkali dia tidak menduga aku segagah ini, masih mampu melihat orang yang dicintai duduk bersanding di pelaminan dengan lelaki lain.

Aku kekal dengan sikap selambaku, tidak mempamerkan sebarang riak sedih. Tetapi hati aku ini sedang berdarah. Darah merah itu pula likat membukat, sehingga hampir berubah menjadi hitam.

Aku, dengan segala kekuatan yang ada sedang berusaha untuk meredakan luka itu agar tidak berubah menjadi sebuah dendam.

“Awak pula, kenapa datang ke sini?” soalku kepadanya ketika kami sama-sama melangkah ke arah jalan raya. Di belakang kami, mentari sedang terbenam. Warna jingga berbaur merah mula menconteng dada langit dan hamparan laut, tanda senja kian menghampiri.

“Sama macam Tuan juga,” jawabnya.

Aku dapat mengesan nada sayu pada suaranya itu.

“Siapa yang berkahwin?” aku terus bertanya walaupun kelihatan seperti sibuk hendak mengambil-tahu.

“Kawan lelaki saya,” jawabnya sambil tersenyum pahit.

“Kawan lelaki atau bekas kekasih?” usikku.

“Bekas kekasih,” dia menjawab dengan nada berat.

“Orang mana?”

“Orang Sabah, tetapi dia pun akan berkahwin pada hari Ahad minggu hadapan. Tapi saya tak macam Tuan, yang berani memenuhi undangan perkahwinannya,” beritahunya perlahan.

Terpegun aku mendengarnya. Nampaknya kami berkongsi bentuk luka yang sama.

******

Malam, aku terperap di dalam bilik penginapan. Daerah ini rupanya menjadi daerah yang agak sepi pada waktu malam. Aku tidak nampak adanya sebarang aktiviti yang diadakan oleh pihak hotel bagi menghidupkan malam di sini buat para pengunjungnya. Mungkin kerana hotel ini didirikan bukannya untuk tujuan komersial, sebaliknya sebagai satu tempat latihan dan pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus perhotelan dan catering di kampus Universiti Teknologi MARA cawangan Dungun ini. Mungkin ada aktiviti, tetapi diadakan jauh dari Hotel UiTM ini. Tetapi aku tiada sebarang pengangkutan atau kenalan di sini yang dapat diajak untuk berjalan-jalan melihat aktiviti daerah ini pada waktu malam.

Dan untuk mengisi waktu sementara menanti mata terasa mengantuk, aku menonton TV. Tetapi walaupun mataku tertumpu pada skrin TV dan rancangan yang sedang disiarkan cukup menarik sekali, hati dan fikiranku tidak tertumpu kepada drama yang sedang aku tonton itu. Wajah seseorang sedang terbayang-bayang di ingatanku.

Bagai ternampak-nampak bibirnya yang nipis, matanya yang bundar dan dahinya yang cukup luas. Rambut hitamnya pula selalu tersikat rapi.

Haezade Hambali.

Ingat lagi bagaimana pada pagi itu aku bertembung dengannya di dalam lif. Sombong! Getus hatiku apabila dia langsung tidak bersuara-balas ketika aku mengucapkan terima kasih kerana sanggup menunggu apabila terlihat aku berlari-lari anak ke arah lif tadi.

Kami sama-sama menghala ke tingkat yang sama. Dia melangkah keluar terlebih dahulu, terus berjalan pergi tanpa mempedulikan aku.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah Haezade Hambali??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience