BAB 61

Romance Series 55690

Selesai persembahan, aku bergegas menuju ke bilik persalinan, mahu menukar pakaian dan cepat-cepat pulang ke rumah untuk mengemas pakaian bagi dibawa pergi ke Sabah. Tidak sabar rasanya hendak pergi ke sana, mendapatkan Zach yang dirindui. Malia datang mendekati ketika aku sedang sibuk membersihkan mekap yang tebal pada wajah. Aku sudah dapat mengagak apakah perkara yang hendak dikatakannya.

“Sukalah kau,” ujarnya dengan raut wajah yang masam.

“Apanya?” aku pura-pura tidak mengerti.

“Haezade sukakan kau.”

“Tapi aku tak sukakan dia,” balasku, mengingatkannya kepada apa yang aku katakan kepadanya dahulu.

“Kalau kau tak sukakan dia, kenapa kau tidak terus menolak cintanya tadi? “ soal Malia, mempersoalkan ketidak-tegasan aku menolak cinta yang dihulurkan oleh Haezade tadi.

Tersentak aku mendengar soalannya itu. Ketidak-tegasan aku kini dilihat oleh Malia sebagai bukti aku menyukai Haezade.

“Bukan macam tu,” aku menafikan kata-katanya itu. Aku bukannya bermaksud hendak menerima cinta Haezade. Cuma fikiranku tadi berserabut, membuatkan aku kebingungan lantas tidak tahu apa yang hendak dibuat atau dikatakan tadi.

“Mulut berkata tidak, tetapi hati berkata hendak,” sinis Malia bersuara.

Tersiat hatiku mendengarnya.

“Lia, sebenarnya…”

“Please, Shitah! Jangan hendak berdolak-dalik lagi. Konon kau seorang perempuan yang berprinsip dan tegas, rupa-rupanya tidak. Kau tidak sekeras mana pun, kecundang pada permintaan Haezade supaya mempertimbangkan cinta dan lamarannya, sedangkan seorang perempuan yang berprinsip akan berkata tidak kira apa jua pujuk rayu yang menggodanya,” tingkah Malia keras, tidak memberi peluang untukku menjelaskan hal sebenarnya.

Aku terpaku. Hati pula kian tersiat mendengar kata-katanya itu.

Tetapi apa yang dikatakannya itu ada benarnya juga. Aku seharusnya tegas menolak cinta Haezade tadi. Tidak perlu lagi bertanya kenapa dia memilihku sebagai calon suri hatinya, bukannya Malia. Soalanku itu telah memberinya peluang untuk mendesak aku mempertimbangkan cintanya. Dan kini Malia melihatku sebagai seorang perempuan yang goyah pendirian. Pastinya dia, bahkan Haezade juga bertanggapan yang cintaku terhadap Zach goyah kini. Aku kini menyesali kesilapanku.

“Aku bosan tengok sandiwara kau, Shitah. Konon setia pada yang satu, tetapi masih ada hati hendak memburu lelaki lain. Tamak!”

Pedih benar hatiku ketika ini.

“Depan kekasih, bukan main baik. Belakang kekasih, cinta telah entah ke mana perginya,” Malia terus menghiris hatiku dengan kata-kata tajamnya.

“Aku mencintai Zach, bukannya Haezade, Lia,” ujarku, sebak.

“Yalah tu,” cebiknya.

Aku pada matanya kini adalah seorang perempuan yang tidak tahu apakah makna cinta dan setia. Dengan kata lain, baginya aku adalah perempuan yang tidak berperasaan, lantas menjadi seseorang yang suka mempermainkan orang lain.

“Lia, aku perempuan yang ada hati dan perasaan…”

“Hati? Perasaan? Apa erti hati dan perasaan buat kau, Shitah? Kalau kau tak boleh hormati hati dan perasaan perempuan lain, bermakna kau tak ada hati dan perasaan langsung,” Malia bersuara sinis. Tetapi nada suaranya bergetar, tanda ada marah dan sakit-hati di dalam diri.

Tetapi hatiku yang lebih bergetar, tanda ada pilu yang bergelombang di dalam sukma.

Aku tiada hati, tiada perasaan?

Kalau begitu, apa ertinya hampa di jiwa apabila kekasih hati sejak bertahun di bangku sekolah tiba-tiba sahaja beralih kasih semasa di tahun pertama pengajian universiti menemui gadis lain yang kononnya lebih baik daripada aku. Aku yang masih belajar di di kampung ketika itu hanya mampu menangis sedih.

Apa juga ertinya sakit-hatiku apabila seorang lelaki memungkiri janji untuk membina hidup bersama, membuatkan aku menanti sehingga ke senja akan kehadiran rombongan meminangnya pada hari yang dijanjikan. Akhirnya aku tahu, ada orang ketiga antara kami yang membuatkan hatinya berbelah-bahagi.

Dan kerana itu aku kehilangan kepercayaan terhadap lelaki sebangsa, lantas aku tekad menerima kasih yang Zachary hulurkan. Dia lebih tulus menyayangi. Dia juga yang lebih mengerti akan luka di hatiku. Bahkan dia yang bersusah-payah merawat luka itu.

Dan kini, Malia berkata-kata seolah-olah aku adalah perempuan yang tidak mengenal erti merana apabila kekasih hati dirampas orang lain.

“Haezade milik kau,” perlahan aku bersuara, menahan sendu jauh di dalam diri. Maka, tanpa perlu pergi dan kembali dari Sabah, jawapan balas untuk Haezade telah aku putuskan.

“Cik ada masalah ke?” suara lunak pramugari yang menegur lantas menyedarkan aku kembali ke realiti. Aku bukan lagi berada di dalam bilik persalinan yang menjadi tempat perbalahanku dengan Malia, tetapi di dalam pesawat yang sedang membelah langit biru.

Jariku meraba pipi. Basah. Tanpa sedar aku menangis apabila terkenangkan kata-kata Malia yang menghiris hati.

“Cik ada masalah ke?” soal pramugari yang manis itu lagi.

Cepat-cepat aku menggelengkan kepala, lantas menghadiahkan sebuah senyuman buatnya sebagai bukti yang aku tidak menghadapi apa-apa masalah. Gadis itu turut tersenyum, kemudiannya meninggalkan aku.

Aku menghela nafas panjang, kembali mengawal perasaan sendiri. Gembiralah Malia, kerana di hadapan dirinya dan Haezade sendiri, aku menolak cinta pemuda itu. Hatiku ini hanyalah untuk pemuda yang bernama Zachary itu.

Ketika aku menjenguk ke tingkap di sisi, terlihat gumpalan awan putih di langit biru. Aku tidak pasti sudah berapa lama aku berada di dalam pesawat ini, tetapi tidak lama lagi aku akan menjejakkan kaki ke bumi Sabah.

Zach, aku datang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience