BAB 38

Romance Series 55690

Lantas sangkaku, dia memahami apa yang diterangkan di dalam buku. Tetapi kata-kata Haezade membuka mataku terhadap kemungkinan yang Zach sebenarnya tidak memahami apa-apa, bahkan mungkin sedang terkeliru.

“Katakan dia terbaca tentang aurat, dia mungkin akan bertanya kenapa kau mendedahkan rambut yang menjadi aurat kau sedangkan seorang Muslimah diwajibkan menutup setiap helai urat rambutnya daripada pandangan mereka yang bukan muhrimnya. Apa yang kau nak jawab kalau dia bertanya sebegitu?” Haezade menyoal dengan panjang lebar.

Aku kian terpukul mendengarkan kata-katanya itu. Tanganku spontan meraba rambut panjangku yang disanggul kemas di belakang kepala.

“Apa yang kau nak jawab kalau dia bertanya macam tu?” sergahnya kepadaku.

Aku membatukan diri, tidak tahu bagaimana hendak menjawab.

“Takkan kau nak jawab yang kau hanya mengikut separuh daripada ajaran Islam dan meninggalkan separuh yang lain,” sinis Haezade bersuara.

“Cukup!” aku bersuara keras, menengking.

“Kau berani tengking aku?!” Haezade menyergah balas. Bulat matanya memandangku.

Aku menelan liur, menyedari keterlanjuran sikapku tadi.

Semarah mana pun hatiku, aku tidak boleh meninggikan suara kepada seniorku. Tetapi dia juga yang bersalah kerana menghangatkan keadaan. Dan bukan niat hati hendak berlaku biadap dengannya tetapi kata-katanya itu sudah terlalu dalam menusuk hatiku.

“Kau tengking aku?!” sergahnya lagi.

Aku membatukan diri, tertunduk memandang meja. Kecut juga perut apabila disergahnya.

“Balik ke kem nanti, aku nak tengok kau berlari pusing padang kawad kat depan mess tu sebanyak tujuh kali tanpa berhenti,” Haezade bersuara dengan nada serius, menjatuhkan hukuman di atas kelancangan mulutku tadi.

Huh! Aku rela!

“You laksanakan tak hukuman dia tu?” soal Zach apabila aku ceritakan hal itu kepadanya.

“Tak,” jawabku.

“Kenapa you tak buat?” soal Zach lagi, tergelak-gelak.

“Sebab I tak nak buat,” balasku selamba.

“Dia tak marah?”

“Nasib I agak baik. Sampai di kem, tiba-tiba sahaja Mejar Shukri hendak berbincang sesuatu dengannya. I apa lagi, cepat-cepat cabut dari kem,” beritahuku.

Tawa Zach kian meleret apabila mendengar ceritaku itu.

Aku sedar yang Haezade marah dengan keingkaranku itu. Apabila kami berjumpa di pejabat pada esok harinya, dia melancarkan mogok bisu terhadapku kembali. Enggan bercakap, juga enggan tersenyum. Malia turut menyertai mogoknya itu. Tetapi gelagat mereka berdua itu tidak aku hiraukan sangat. Kakitangan syarikat yang lain hanya menggeleng kepala melihat gelagat kami.

Pun begitu, apa yang dikatakan oleh Haezade ketika di lapang sasar tempoh hari terlekat ke dalam benakku juga. Aku terpaksa akui yang dia telah mendedahkan kekurangan diriku yang tidak aku sedari selama ini.

Pengetahuan agamaku tidak sedalam mana rupanya, lantas membuatkan aku terkial-kial hendak menjawab soalannya. Itu baru Haezade yang bertanya untuk menduga pengetahuan, belum lagi Zach yang menyoal dan meminta penjelasan.

…bersambung

Bab akan datang:

Bagaimana Mashitah ingin mengharungi hidup bersama Zach jika dia sendiri tidak mampu menjawab soalan Haezade?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience