BAB 93

Romance Series 55690

Semalam, aku ada menghubungi rumahnya, hanya untuk bertanya khabar. Emaknya memberitahu yang dia telah keluar bersama seorang lelaki. Kata emaknya lagi, tidak lama lagi rombongan keluarga si lelaki akan datang masuk meminang. Nyatalah Armiza kian jauh dari sisi. Nyatalah dia telah menemui cinta yang baginya adalah cinta sejati.

“Along benar-benar terasa kehilangan,” aku bersuara perlahan, menahan sayu yang kembali menggoncang hati. Wajah Armiza bermain di ingatan. Senyumannya yang semanis madu terbayang-bayang.

“Armiza adalah cinta Along yang teragung,” ujarku lagi.

“Apa yang berlaku di dalam hidup kita adalah merupakan ketentuan Allah s.w.t. Dia yang Maha Bijaksana, yang mengaturkan segala urusan di langit dan di bumi. Kita tak tahu apa yang telah diaturkan-Nya ke atas diri kita, tetapi Allah s.w.t. tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Dia hanya menguji tetapi itulah, kadang-kadang kita tertewas dengan ujian-Nya. Lantas kita tidak redha dengan apa yang berlaku,” emak bersuara dengan panjang lebar.

Aku terdiam mendengar.

“Setiap apa yang berlaku ini ada hikmahnya yang tersendiri. Mungkin Dia hendak mengingatkan Along yang keagungan cinta kepada manusia tidak seharusnya melangkaui keagungan cinta terhadap Pencipta kita. Dia lebih mencintai kita berbanding makhluk-makhluknya yang lain. Seburuk-buruk dan sejahat-sejahat kita, Dia masih mahu menerima taubat kita. Sebaik-baik manusia, mahukah mereka memaafkan kita? Maka, wajarlah kita kembalikan cinta yang teragung itu kepada-Nya,” emak terus bersuara, terus menasihati.

Aku terpukul mendengarkan kata-kata emak itu.

Mata emak kembali mengitari sekitar bilikku yang berselerak. Lama matanya singgah pada gambar-gambar Armiza yang aku tampalkan pada dinding. Kemudiannya dia, kembali memandangku sambil tersenyum lembut.

“Bukan begini caranya hendak merawat luka hati,” ujarnya.

“Kalau tak begini, bagaimana?”

“Ingatlah kepada Allah s.w.t.. Dia banyak mengajar kita bagaimana cara hendak melapangkan hati apabila ditimpa sesuatu musibah. Banyakkan sembahyang, zikir, mengaji…” jawab emak. Redup matanya memandangku.

Aku terdiam, tidak tahu bagaimana hendak membangkang. Emak kemudiannya bangun dari duduknya.

“Cuma tinggal hendak buat atau tidak sahaja,” dia bersuara sebegitu sebelum dia berlalu pergi dari bilik suramku.

Aku terpaku mendengar.

AKU pandang sejadah yang terlipat kemas di rak pakaianku. Sejadah itu ayah yang belikan di Jalan Masjid India untuk aku bawa dan gunakan di kampus. Tetapi ketika di kampus, aku leka dengan Juita dan Armiza sehingga terlupa waktu-waktu yang telah diwajibkan untuk aku menggunakan sejadah itu.

Armiza sering mengingatkanku tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim tetapi aku antara ambil peduli dan tidak. Juita? Dia boleh dikategorikan sebagai sama sahaja denganku. Agaknya kerana itu, Armiza kerap menyindir mengatakan yang kami berdua sememangnya lebih serasi bersama.

Tetapi Dia yang bersifat Maha Penyayang tidak terus membiarkan aku menjadi alpa. Dia mengambil kembali cinta seorang gadis yang dianugerahkan-Nya kepadaku demi mengingatkanku kepada-Nya kembali. Aku sepatutnya lebih takut untuk kehilangan kemanisan cinta ketika menghadap-Nya di dalam sujudku, daripada takut untuk kehilangan kemanisan cinta yang didambakan pada seorang manusia.

Aku bentang sejadah itu, kemudiannya memijak hujungnya dengan perlahan-lahan. Aku kukuhkan tegak, sebagaimana aku kukuhkan keyakinanku terhadap-Nya. Dengan suara yang perlahan tetapi jelas, aku lafazkan takbir sekaligus mengakui kebesaran-Nya yang aku lupakan selama ini.

Malam ini, aku kembalikan cintaku yang teragung itu kepada yang Hak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience