BAB 89

Romance Series 55690

AKU cuba menghubungi telefon tangan Armiza tetapi telefonnya itu sentiasa tertutup. Tidak sedap rasa hatiku selagi aku belum dapat menghubunginya, lantas bertanya khabar dirinya. Juga bertanya kenapa dia datang ke Kuala Lumpur tanpa memberitahu aku terlebih dahulu.

Bakal emak mertuaku memberitahu yang Armiza datang bercuti ke rumah kawan baiknya di Kuala Lumpur. Katanya lagi, Armiza juga memberitahunya yang dia hendak pergi ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan suatu urusan penting.

Urusan penting? Aku berasa tidak sedap hati mendengarnya.

“Tak tahu pula apakah urusan pentingnya tu. Berahsia sangat dia,” beritahu bakal emak mertuaku ketika aku bertanya lebih lanjut.

Dan bakal emak mertuaku itu menambahkan rasa tidak sedap hatiku apabila dia enggan memberitahu di mana anaknya itu menginap. Armiza sudah berpesan sebegitu, katanya ketika aku cuba mendesak.

Kerana itu, aku semakin tidak sedap hati apabila aku gagal menghubungi Armiza. Ketika aku curi-curi pulang ke rumah, emak memberitahu yang Armiza langsung tidak menelefon. Kawan-kawan di sekretariat PALAPES UiTM juga memberitahu tiada sesiapa pun datang mencari aku. Maknanya, Armiza datang ke Kuala Lumpur bukannya untuk menemui aku.

Sampai hati dia!

Pada malam terakhir pentauliahan, ketika semua kadet bersiap sedia untuk hari pentauliahan mereka pada esok pagi, seorang kawanku datang mencari aku yang ketika itu sedang berada di bilik sekretariat.

“Ada orang hendak berjumpa kau. Dia tunggu kau di pintu pagar kolej,” beritahunya.

“Sekarang?”

“Ya.”

“Siapa?”

Kawanku enggan menjawab, sebaliknya tersenyum lebar. Melihat kepada besarnya senyuman yang bermain di bibirnya itu, aku dapat mengagak siapakah insan yang mahu menemui aku itu.

Pastinya Armiza.

Dan sememangnya Armiza.

Dia memakai blaus longgar warna biru awan yang dipadankan dengan seluar jeans putih dan bertudung corak bunga-bunga kecil warna biru laut. Lapang hatiku melihat dia yang sekian lama bersikap menjauhkan diri akhirnya muncul di hadapan mata. Dia terlebih dahulu menghulurkan salamnya apabila terlihat kelibatku.

“Datang dengan siapa?” soalku sambil memandang ke wajah yang aku rindui setiap masa itu.

“Dengan kawan.”

“Yang abang lihat semasa di stesen bas Putra dulu tu?” aku meneka.

Dia menganggukkan kepala.

“Miza tinggal di rumah dia sepanjang Miza berada di sini?” soalku lagi.

Dia tetap menganggukkan kepala. Aku menghela nafas lega. Rasa resah yang menyelubungi diri sepanjang minggu beransur-ansur hilang dari hati.

“Kenapa datang ke sini? Jalan-jalan makan angin?” soalku lagi. Aku tidak mahu terburu-buru hendak bertanya apakah urusan pentingnya di sini seperti yang dikatakan oleh emaknya dahulu.

“Ya.”

Dia masih tidak semesra dahulu. Nyata, dia masih lagi melancarkan perang dinginnya terhadapku. Kalau begitu, apa tujuannya datang menemui aku di Bangi ini?

Hatiku berdebar dengan tiba-tiba.

Armiza menarik nafas panjang. Ada resah di dalam dirinya berdasarkan gerakan anak-matanya. Dia seperti mahu memperkatakan sesuatu tetapi teragak-agak hendak menuturkannya.

“Kenapa Miza datang menemui abang secara mengejut ni?” aku sengaja membuka ruang dan peluang untuknya berkata-kata dan meluahkan apa yang ada di dalam hatinya.

Dia seperti terkejut dan kemudiannya kelihatan bertambah gelisah.

“Miza nak katakan sesuatu?”

Dia mengangguk perlahan.

“Cakaplah.”

“Miza takut abang marah,” dia masih lagi teragak-agak hendak berkata-kata.

“Abang tak akan marah,” janjiku kepadanya.

Dia kembali menghela nafas, memandang tepat-tepat ke wajahku. Aku mengawal debar dan resah yang mula membara di dalam diri.

“Miza nak apa sebenarnya?”

“Miza nak putuskan pertunangan kita,” dia bersuara perlahan.

Aku tidak begitu mendengar dengan jelas apakah yang diperkatakannya itu.

“Ulang sekali lagi.”

“Kita putus tunang,” dia bersuara ringkas tetapi kali ini cukup jelas kedengaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience