BAB 83

Romance Series 55690

REDZA

JUITA melarikan diri.

Terkejut aku apabila diberitahu oleh Syid yang Juita menghilangkan diri entah ke mana. Aku baru sahaja pulang dari dewan peperiksaan. Belum sempat meraikan tamatnya peperiksaan, aku dikejutkan dengan khabar ini.

“Kenapa dia buat macam ni?” aku menyoal Syid.

Wajah tomboy itu tampak resah. Seresah mana pun dia, resah lagi hatiku.

“Entahlah, aku pun tak tahu,” Syid menjungkit bahu.

Mataku mencerlung tajam kepadanya. Aku tidak percaya langsung dengan jawapan yang diberikannya itu. Melihat Syid yang tidak senang duduk sambil tergaru-garu kepalanya, aku semakin yakin ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka berdua.

“Kau ganggu dia lagi?” tuduhku kepadanya, langsung tidak bertapis lagi.

Syid tersengih-sengih. Betullah tu!

“Apa yang kau dah buat?” soalku keras.

“Kami bergaduh.”

Aku dah agak dah!

“Apa yang kau gaduhkan dengan dia?” soalku lagi.

“Pasal engkaulah.”

“Apasal aku pula?”

“Yalah. Kau tu ada hati masih nak rapat-rapat dengan bini aku walaupun dah bertunang!” sergah Syid kepadaku. Jari-jarinya spontan menunjal-nunjal dadaku.

Aku terasa seperti hendak tergelak mendengarnya. Sudahlah tiada gaya seperti lelaki, ada hati mengaku ada bini. Tetapi terasa geram juga apabila dia bersikap sebegitu terhadap aku di khalayak ramai. Ramai rakan-rakan seasramaku tertoleh-toleh memandang kami.

“Yang kau pergi marahkan dia buat apa? Kalau kau kata aku bersalah, datang bersemuka dengan aku sajalah. Kalau hendak sangat menjadi lelaki, biar betul-betul nampak jantannya,” ujarku kepada Syid sambil jariku menunjal dahinya dengan keras.

Syid terdorong ke belakang selangkah-dua. Sangkaku kisah kedua-dua tomboy ini sudah pun berakhir tetapi rupa-rupanya masih berpanjangan. Syid masih lagi mahu mengganggu Juita.

“Kalau aku bersemuka dengan kau, lebam muka aku nanti. Kau tu bukannya spesis yang boleh dibawa berunding,” balas Syid pula.

Aku menyembunyikan senyuman. Takut juga dia dengan aku rupanya. Tetapi kasihan dengan Juita yang menjadi sasaran amukannya hanya kerana cemburunya yang tidak berhujung-pangkal. Kini, apabila Juita menghilangkan diri, dia juga yang menggelabah tidak tentu arah. Tetapi hati aku berasa risau juga dengan khabar yang disampaikan oleh Syid itu.

“Sudah dua hari dia tak pulang ke biliknya. Aku risau, sebab esok dia ada final paper,” beritahu Syid kepadaku.

Berat juga masalah ini. Juita seperti hendak menggadai pelajarannya dengan cara ini.

“Kau tak cuba hubungi dan minta maaf dengannya?” soalku, dengan nada yang lembut sedikit.

“Dia tak jawab langsung panggilan telefon aku dan kawan-kawan kami yang lain,” jawab Syid.

“Jadi?”

“Kaulah pula yang cuba menghubungi dan mencari di mana dia berada. Aku rasa dia masih ada di sekitar Dungun ni, tetapi tak tahu di mana sebenarnya dia berada,” ujar Syid.

Bagus benar! Dia yang mencetuskan masalah, aku yang kena menyelesaikannya.

“Kenapa aku?” Aku tidak terburu-buru hendak menerima bebanan masalah orang lain. Syid yang memulakan, biarlah dia sendiri juga yang menyelesaikannya. Aku tidak mahu masuk campur kerana aku tidak terlibat di dalam perbalahan antara kedua-dua mereka. Menjadi orang ketiga di dalam situasi genting hanya akan kian memburukkan keadaan.

“Kau yang paling disayangi berbanding orang lain. Jadi, kau yang lebih sesuai untuk memujuknya kembali,” Syid bersuara selamba.

Tajam mataku memandang Syid. Tidak sedap hatiku mendengar kata-katanya yang aku ini adalah orang yang paling disayangi oleh Juita.

Syid berlalu pergi, meningggalkan sebuah tanggungjawab untuk aku pikul. Berbelah bahagi juga rasa hatiku untuk mencari Juita bagi dibawa pulang. Aku tahu rajuknya sukar dipujuk. Tetapi mengenangkan esok adalah hari peperiksaan terakhirnya, aku perlu berusaha untuk mencarinya. Dia juga perlu dinasihati agar tidak terlalu mengikut kata hati.

Biar tanggungjawab ini menjadi bakti terakhir aku di kampus ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience