BAB 37

Romance Series 55690

Selama ini Zach hanya menyentuh tangan atau menarik hidungku sahaja, tidak lebih dari itu. Haezade pula bertanggapan yang pergaulan kami sudah jauh terbabas.

Keterlaluan benar!

“Kau jangan nak beranggapan buruk terhadap kami berdua!” ujarku keras, menahan perasaan yang tersinggung. Mujur juga hanya kami berdua yang berada di bawah khemah kecil itu. Kalau ada pegawai sukarela yang lain bersama kami, pasti kata-kata Haezade itu mengundang tanggapan serong mereka terhadap diriku.

Mata Haezade merenungku tajam.

“Aku katakan yang betul sahaja,” dia bersuara balas.

“Kami belum terlanjur lagilah!” marahku pula.

“Aku tak kata kau dan dia sudah terlanjur. Aku cuma nak ingatkan kau supaya menjaga batas pergaulan antara kau dan dia. Bengap betullah kau ni!” sergah Haezade.

Bengap?

Haezade kata aku bengap? Bulat mataku memandang wajahnya. Sekalipun aku tersalah menafsir tegurannya tadi, tidak sepatutnya dia mengatakan aku ini bengap. Ah! Kalau aku bengap, dia mesti bangang!

“Terima-kasih banyak-banyak untuk peringatan kau tu,” ujarku dengan hati yang mula hangat terbakar.

“Aku tak habis bercakap lagi ni,” balasnya pula.

“Aku tak perlukan nasihat atau tunjuk-ajar daripada kau,” tegasku pula. Biar aku bengap sekalipun, aku tidak memerlukan sebarang tunjuk-ajar darinya, apatah lagi menjadikannya pakar rujuk bagi hubungan aku dan Zach. Aku masih tahu batas-batas diriku dan aku yakin yang aku tidak akan terbabas.

“Kau ingat kau tu dah pandai sangat? Sudah boleh membimbing si Zachary Watson tu tanpa bantuan sesiapa?!” suaranya agak meninggi, membuatkan rakan-rakan daripada bawah khemah besar sana tertoleh-toleh memandang ke arah kami.

Mata Haezade kian tajam memandangku. Kecut rasa hati menerima tatapan matanya itu. Segera aku larikan pandangan ke tempat lain.

“Kau rasa kau mampu untuk membimbingnya dengan sebaik-baiknya nanti?” soal Haezade lagi.

“Insya-Allah,” sahutku.

“Kalau dia penganut animisme yang bersandarkan kepada kepercayaan terhadap makhluk halus dan roh, mungkin tak ada banyak masalah hendak membimbingnya kepada Islam. Kita hanya perlu menyakinkannya Allah s.w.t. adalah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan tiada Tuhan lain lagi melainkan Dia. Tetapi Zach adalah penganut Kristian, susah sikit hendak membimbingnya,” Haezade bersuara.

“Kenapa pula susah?”

“Kerana dia sudah ada asas agama dan di dalam Kristian juga terdapat kepercayaan terhadap malaikat, kitab atau nabi. Maka, bukan senang hendak membuktikan kebenaran agama Islam kerana daripada banyak sudut, dia akan membandingkannya dengan Kristian,” jawab Haezade.

Terdiam aku mendengarkan kata-katanya itu.

Tetapi kata-katanya itu sedikit sebanyak menerjah ke dalam kesedaran diriku. Teringat aku kepada Zach yang hanya mempelajari tentang Islam daripada buku-buku yang aku belikan untuknya. Dan seingatku, dia tidak pernah bertanya apa-apa kepadaku.

…bersambung

Bab akan datang:

Sejauh mana pemahaman Zach terhadap Islam hanya dengan mempelajarinya melalui buku-buku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience