BAB 103

Romance Series 55690

REDZA

DI dalam kad undangan perkahwinan, dicatatkan waktu jamuan makan ialah dari jam 12.00 tengahari sehingga 6.00 petang. Aku tiba tepat-tepat pada jam 2.00 petang. Ketika sampai, orang ramai sudah pun memenuhi perkarangan rumah papan separuh batu itu.

Ini bukan pertama kalinya aku datang ke rumah Sazali kerana semasa belajar dahulu aku kerap juga mengikut Sazali pulang ke rumahnya ini. Aku lihat ada sedikit perubahan pada rumah kampung yang sederhana besar ini. Ada tambahan dibuat pada anjung rumah. Cat rumah juga sudah bertukar. Dahulu cat rumahnya berwarna hijau, kini aku lihat dinding rumahnya berwarna kuning air. Bahkan aku masih dapat menghidu bau cat yang masih belum cukup kering. Mungkin dicat semula sempena majlis perkahwinan yang akan diadakan ini.

Ada dua kanopi besar yang didirikan di halaman rumah. Ada bau harum rempah masakan yang menusuk hidung. Ada gelak tawa yang kedengaran dari setiap penjuru, yang menjadi belati tajam yang menghiris hatiku. Semua orang bergembira, hanya aku seorang yang sedang menahan kepedihan yang memeritkan jiwa. Seketika, aku menjadi ragu-ragu untuk terus berada di majlis ini.

"Nak makan atau hendak masuk berjumpa mereka dulu?" Shukri, rakanku yang datang dari Kelantan bertanya.

Dia yang menjemputku di Dungun Beach Resort Club pada awal tengahari tadi dan kami sama-sama pergi ke rumah Sazali. Rasa ragu-raguku beransur hilang. Aku ingatkan diri yang aku datang ke Dungun ini dengan doa agar orang yang cintai itu bahagia dan gembira dengan lelaki pilihannya. Andai dia bahagia dan gembira, aku menumpang suka.

"Makan dululah," jawabku sambil berjalan menuju ke arah sebuah kanopi. Aku tidak bersarapan pagi tadi dan kini perut terasa cukup lapar.

"Kau tak sanggup nak tengok Sazali dan Miza bersanding ke?" usik Shukri. Dia jiran bilik aku dan Sazali semasa di asrama dahulu. Sedikit sebanyak dia mengetahui kisah aku dan Armiza.

"Kau nak makan buku lima aku?" balasku pula.

Shukri tersengih-sengih, tidak bersuara apa-apa lagi.

Tetapi memang aku akui yang aku tidak sanggup melihat orang yang aku cintai bersanding bersama lelaki lain. Hendak datang ke majlis perkahwinan mereka ini pun aku tidak sanggup sebenarnya. Tetapi kerana hendak menunjukkan kepada semua orang yang aku tidak semerana mana, aku gagahkan diri untuk menghadirinya.

Selain daripada itu, aku hendak tunjukkan kepada semua orang yang aku tidak berdendam dengan Sazali dan Armiza di atas apa perkara yang berlaku. Pendek kata, tiada jodoh, hendak buat macam-mana lagi. Redha sahajalah walaupun hati terasa cukup perit sekali.

Ada beberapa rakan sekampus yang turut menghadiri majlis perkahwinan itu. Mahu tidak mahu, aku terpaksa ramah menegur mereka. Takut dikatakan sombong pula nanti. Perasan juga, tajam benar pandangan mereka memandangku. Mungkin mereka tidak menyangka yang aku sanggup datang meraikan perkahwinan bekas tunangku.

Tiba-tiba Shukri mencuit bahuku, memuncungkan bibirnya, ke arah suatu sudut di laman. Mata menyorot ke arah tempat yang ditunjuknya. Terlihat seorang gadis berbaju kurung merah yang sedang leka berbual dengan seorang perempuan tua.

Juita!

Terkejut aku. Dan menyedari dirinya diperhatikan, Juita segera berpaling. Kami bertemu pandang. Dia kelihatan tergamam, manakala aku terlopong. Sama sekali aku tidak menyangka yang aku akan bertemu dengannya kembali setelah sekian lama melarikan diri daripadanya.

Tetapi apa yang dia buat di sini? Apa kaitan dirinya dengan majlis perkahwinan Sazali dan Armiza ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience