BAB 56

Romance Series 55690

MASHITAH

AKU masih tidak dapat menghubungi Zach. Membuatkan resah hati semakin menjadi-jadi, apatah lagi apabila terpandang bungkusan buku agama yang tersimpan di dalam laci meja. Zach pula, sehingga kini masih tidak menghubungiku.

Lupakah dia kepadaku?

Prasangka itu terlintas di dalam hati tetapi cepat-cepat aku menepisnya. Tidak mungkin dia melupakan aku sebegini cepat. Tetapi, kalau dia tidak lupa kepadaku, apakah yang menghalangnya daripada menghubungiku?

Aku kebingungan apabila dihimpit prasangka yang bertalu-talu, yang mengasak fikiranku sehingga menjadi hampir buntu.

“Kau nak call siapa tu?” Haezade dengan tiba-tiba sahaja muncul di tepi meja, lantas bertanyakan siapakah yang sedang aku hubungi.

Penyibuk! Aku jengkel mendengarkan pertanyaannya. Macamlah aku menyalah-gunakan telefon pejabat, walhal aku menghubungi Zach menggunakan telefon bimbitku sendiri.

“Dari tadi aku tengok kau asyik pegang telefon kau tu, tapi langsung tidak terlihat kau berbual. Kenapa? Mesin yang menjawab panggilan kau ke?” soalnya, seperti bersimpati tetapi aku lihat ada senyuman di penjuru bibirnya.

Aku tidak mengendahkannya, kembali merenung ke arah skrin komputer. Bagaikan terlihat bayang wajah Zach di situ. Rindu terhadapnya membuatkan bayang wajahnya muncul di mana-mana, lantas membuatkan hati kian dibelit resah.

“Kau tak nak tahu tentang mesyuarat yang lepas?” soal Haezade kepadaku.

Mesyuarat? Aku melirik ke arahnya. Mesyuarat apa?

“Mesyuarat jawatankuasa persembahan untuk annual dinner nanti tu,” Haezade mengingatkan aku.

Aku lantas teringatkan majlis makan malam yang akan diadakan tidak lama lagi dan aku telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa persembahan. Bukannya aku hendak sangat pun menjadi ahli jawatankuasa itu tetapi dia yang memaksa.

“Persembahan apa yang hendak diadakan?” soalku lewa, sekadar hendak mengambil-tahu.

“Banyak cadangan yang dikemukakan tempoh hari, tetapi semua orang sepakat memilih cadangan aku. Bahkan Puan Aliza mahu menjadikannya sebagai persembahan kemuncak untuk annual dinner tu,”beritahunya, bangga.

“Apanya?”

“Kita akan mengadakan persembahan istiadat perkahwinan Melayu. Kita akan pamerkan adat-adat seperti merisik, meminang dan sebagainya. Acara kemuncaknya ialah upacara persandingan, di mana semua tetamu jemputan khas akan dijemput untuk merenjis pengantin,” beritahunya.

Bulat mataku memandangnya. Biar betul! Dah tak ada idea lain lagi ke? Konon canggih sangatlah ideanya ini.

“Apa pendapat kau?” soalnya kepadaku.

“Gila!” ujarku, berani.

“Apa yang gilanya?”

“Keseluruhan idea kau itulah.”

“Okay apa rancangan aku tu, menarik dan tak pernah dibuat orang,” dia mempertahankan ideanya.

Aku merenungnya. Apa yang menariknya? Mengarut benar idea sebegitu. Kerana itulah tidak pernah dibuat orang.

“Semua orang bersetuju, tiada apa-apa bantahan pun ketika aku mengemukakan cadangan ini,” ujarnya lagi.

Sebab semua orang malas hendak berbantah dengan engkau, ejek hatiku pula. Haezade yang aku turut kenali adalah seseorang yang berpegang teguh kepada kemahuan dirinya. Sekiranya dia mahukan sesuatu, dia akan berusaha sehingga dia berjaya mendapatkannya.

Tetapi yang menimbulkan kemusykilan aku ialah kenapa dia membentangkan cadangannya ini kepadaku? Aku tahu yang aku tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa persembahan tetapi bukankah dia boleh memberikan minit mesyuarat untuk aku baca dan fahami sendiri butiran tentang persembahan.

“Kau tak nak tanya siapakah yang akan menjadi pengantin untuk majlis itu?” Haezade menyoal,

Aku merenungnya. Dan hati kian curiga. Semacam saja soalannya itu. Apatah lagi apabila melihat senyuman yang tersembunyi di hujung bibirnya.

“Kau nak tahu tak?” soalnya lagi.

“Aku tak nak tahu.”

“Tetapi penting untuk kau tahu siapa pengantin kita tu,” tekannya.

“Baiklah, siapa?” soalku, terpaksa. Hati berdoa agar cepat-cepat dia beredar pergi. Aku malas hendak melayannya lebih-lebih. Entah apa kata Malia nanti.

“Pengantin lelakinya ialah aku,” jawabnya bangga.

Aku mencebikkan bibir. Sudahku duga, mesti dia mencalonkan namanya dan menawarkan diri. Kalau dia menjadi pengantin lelaki, pengantin perempuannya pastilah Malia.

“Kau tak nak tanya siapakah pengantin perempuannya?” soalnya lagi.

“Malia,” jawabku pasti. Sambil itu, mataku mengerling ke arah Malia yang sedang merenung kami dari tempat duduknya. Beku dan tegang wajah sekali wajah ayunya. Kenapa dia kelihatan cemburu?

“Salah!” geleng Haezade.

“Habis tu, siapa?” soalku dengan debar yang tiba-tiba bagaikan mahu memecah dada. Jangan dia buat gila dengan mencadangkan namaku!

“Mashitah Idris.”

Aku terasa seperti mahu pitam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience