BAB 23

Romance Series 55690

Pilihan saluran siaran yang ada hanyalah TV1, TV2 dan TV3. Tidak seperti di Hotel UiTM yang ada menyediakan siaran Astro kepada para penginap mereka. Sudahnya, aku menutup TV dan terbaring merenung siling.

Wajah Armiza bagaikan terbentuk-bentuk pada siling putih itu. Terlihat senyumannya yang manis, lantas menggamit rindu di hati. Rinduku terhadapnya tidak pernah surut. Sungguh! Aku sentiasa merinduinya setiap masa, setiap ketika. Aku rindukan milikku yang terlepas daripada genggamanku. Dan rindu itu mendorong aku mencapai telefon bimbitku, menekan-nekan nombor telefon rumah Armiza.

“Hello!” suara riang seorang kanak-kanak menyapa pendengaranku. Pasti anak-buah dan sanak-saudaranya yang berserakan segenap penjuru negara sudah berkumpul di rumahnya, mahu membantu membuat persiapan majlis perkahwinan yang akan berlangsung sehari-dua lagi.

“Usu Armiza ada?” soalku perlahan. Aku tahu gelaran Armiza di kalangan anak buahnya.

“Ada. Tunggu ya.”

Aku terdengar gagang telefon diletakkan dan terdengar juga suara kanak-kanak tadi lantang Usunya itu. Seketika, terdengar suara seorang perempuan menyahut. Jantungku dengan tiba-tiba berdegup laju. Perasaanku dengan tiba-tiba sahaja diusik badai, lantas bergelora hebat. Armiza!

“Hello?” lembut suaranya menyapa.

“Hai!” aku yang kekok hanya mampu membalas panggilannya sebegitu.

“Siapa ni?” dia pula menyoal.

Berderau darahku. Dia tidak dapat mengecam suaraku lagi. Cepat sangat dia melupakan aku. Rasa pedih dengan tiba-tiba kembali berpaut di tangkai hati, bahkan kali ini lebih perit lagi lantas menjadikan aku semakin kaku dan kelu.

“Siapa ni?” dia mengulangi soalannya.

“Tak apalah,” cepat-cepat aku memutuskan talian. Biarlah Armiza tertanya-tanya siapakah lelaki yang menghubunginya itu. Dia tidak perlu tahu siapakah perindu malang yang menghubunginya itu.

Dan aku juga tidak mahu dia mengetahui yang aku teramat rindukannya pada saat ini.

MASHITAH

MALAM cukup dingin, dek gerimis yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Aku berbaring di tilam empuk, sambil mata terlekat pada skrin TV. Tiada sebarang cerita yang menarik pada malam ini. Tetapi aku tetap membiarkan TV terpasang dan menonton sebuah filem Inggeris bagi mengisi masa sementara menanti rasa mengantuk tiba.

Ketika leka menonton, telefon bimbitku bergetar, tanda ada mesej diterima masuk. Terburu-buru aku menyambar telefon yang terletak di atas meja di tepi katil, menekan-nekan butang dan membaca mesej yang diterima. Daripada Zach rupanya.

‘Sweet dream, honey.’

Rasa sayu segera mengepung hati kecilku apabila melihat mesej itu. Nyata kasihnya tidak luak sekalipun jurang perpisahan terentang di antara kami.

Aku tidak membalas mesejnya itu. Buat apa, hanya akan membuatkan hati kami berdua semakin diterjah rasa hampa. Lagipun, kenapa terus hendak bermadah sayang apabila nyata kami semakin terpisah jauh.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah akan memilih untuk menjurangkan hubungan yang terjalin dengan Zachary?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience