BAB 26

Romance Series 55700

Macamlah kelakar sangat lawaknya itu. Tetapi hatiku kembali tenang mendengarkan kata-kata dan tawanya itu. Nyata dia hanya bergurau.

Cepat-cepat aku menarik tanganku daripada tangannya, rimas dipegang dan ditelek sebegitu. Mujur juga aku menarik tanganku kerana dengan tiba-tiba aku mendapati seorang gadis muncul dari balik pintu masuk pejabat, melangkah pantas ke arah kami.

Malia.

Aku masih dapat mengenali siapakah gadis anggun itu sekalipun kulitnya kelihatan agak gelap sedikit kesan terbakar oleh cahaya matahari. Terlihat beberapa staff syarikat produksi menegurnya mesra. Apabila aku melirik ke sisiku ini, aku dapati wajah Haezade tampak begitu gembira sekali. Maklumlah, rakan kesayangannya kini sudah kembali.

“Hai!” sapa Malia kepada Haezade, sedikitpun tidak pandang menoleh atau menyapaku.

“You datang menjenguk I ke? Kan you kata akan masuk kerja pada lusa,” soal Haezade kepada Malia. Seluruh perhatiannya kini seratus-peratus tertumpu kepada gadis itu. Gembira sekali nada suaranya itu.

“Taklah. I mula masuk kerja hari ni,” geleng Malia.

Aku perasan, dia melirik sekilas ke arahku. Tetapi masih tidak menegur. Aku kembali menghadap skrin komputer, kembali menyiapkan kerja yang tertangguh.

Nyata kehadiran Malia membuatkan Haezade tidak lagi mempedulikan aku. Mereka kini duduk di meja Haezade, jauh dariku dan riuh bercerita tentang perkembangan diri masing-masing. Haezade langsung tidak memperkenalkan aku kepada Malia. Dan Malia, sedikit pun tidak bertanyakah siapakah diriku walaupun sedar yang aku adalah muka baharu yang dilihatnya untuk pertama kali.

Sombong! Getus hatiku, memberikan tanggapan pertama sebegitu terhadap Malia. Sepadan benar dia dengan Haezade…

Zach hanya tersenyum apabila aku ceritakan hal itu kepadanya.

“Biarkanlah mereka,” dia hanya berkata sebegitu apabila aku usai bercerita.

“Tapi I tak sangka yang Haezade dengan tiba-tiba sahaja berubah laku, langsung tidak mempedulikan I,” keluhku kesal. Sikap seperti itulah yang aku cukup benci apabila bersahabat dengan sesiapa. Apabila ada kawan lain yang kononnya lebih sehati sejiwa, kawan yang lain dipinggirkan.

Haezade kerap memperlakukan aku sebegitu, baik ketika semasa berada di pejabat mahupun ketika berada di kem semasa diadakan latihan. Apabila tiada teman lain, dia akan rapat denganku. Tetapi apabila ada kawan-kawan lain yang kononnya kawan baiknya, dia segera meninggalkan aku sendirian. Sudahnya, aku terasa seperti diketepikan oleh semua orang kerana semua orang adalah kawan baiknya.

“Benci I dengan kelakuannya tu!” marahku.

“Apahalnya you nak marah sangat dengan sikapnya tu? Dia bukannya seseorang yang rapat dengan you, bahkan selalu menyakiti hati you. Kenapa dengan tiba-tiba saja you rasa kehilangan, sedangkan dia bukannya jujur sangat hendak berkawan dengan you?” soal Zach. Selamba sahaja dia bersuara sebegitu tetapi bicaranya itu menyengat kesedaranku.

…bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah Mashitah cemburu dengan hubungan Haezade dan Malia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience