Rate

Bab 33: Menjejaki Perjalanan Walinong Sari

Mystery & Detective Completed 26471

Khaleeda termenung panjang memikirkan penemuan mengenai catatan Inderapura melalui teks-teks kuno dalam salah satu manuskrip yang sedang dikaji oleh Dr. Suryadi. Walau pun teks ini secara berkias menjelaskan perihal rahsia Gunung Tahan dan kerajaan di puncak gunung tersebut, perkara ini agak membingungkan kerana sukar dijelaskan oleh kajian saintifik pada masa kini.

“Ada pun mbak Khaleeda, dalam teks ini di katakan Pintu Dunia itu ibaratnya seperti wormhole sepertinya cerita fiksi sains,” jelas Dr. Suryadi.

“Mana teksnya?”

“Di sini, mbak. Cuba mbak teliti maksudnya.” Dr. Suryadi mengambil salinan teks manuskrip dan diserahkan ke tangan Khaleeda. Khaleeda kemudian membacanya.

Adapun dunia ini bersambung jalur,
Di kaki Tahan, Chini, Kederong, Ledang, negeri tanahnya banyak orang-orang Jawa, ne geri orang-orang sepet matanya, negeri orang-orang berambut emas, orang-orang tinggi hidung mereka dan besar matanya, berkulit hitam dan putih, kuning dan merah, atas dan bawah angin arah mereka datang,
Semuanya, bersama orang-orang Melayu saling berutus di Pintu Dunia,
Barang sepurnama, menjadi sehari,
Barang serantai jadi sejengkal,
Arakian, mudahlah untuk saling bersapa, bertanya khabar saudara dan taulan.

“Mbak ngerti maksud teks itu? Sepertinya, ada saranan menunjukkan gunung dan kawasan-kawasan tertentu menjadi seperti pusat transitnya Pintu Dunia.” Dr. Suryadi menjelaskan.

“Kalau begitu, semestinya ada suatu persamaan antara satu dengan yang lain, bukan? Seperti stesen keretapi, atau LRT- mesti ada rupa bentuk atau landasan yang menghubungkan.” Khaleeda cuba merungkai persoalan yang bermain di mindanya.

“Benar, mbak. Kalau kapal terbang- tentu ada airportnya, kan? Rupa bentuk airport mesti punya landasan yang seragam bentuknya, ada kawalan menaranya.” Khaleeda hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Persamaan yang saya temui, mungkin sedikit mengejutkan,” Dr. Suryadi mula berteka-teki.

“Apa dia, Suryadi?”

“Tempat yang dikatakan dalam teks, contohnya di Gunung Tahan bentuknya seperti piramid! Ada bukit di Chini, di gunung Kederong, Perak- semuakan memiliki ciri rupa bentuk yang hampir sama? Di Jawa Barat, Gunung Lalakon pun begitu. Mesir, Peru, Jepun, Iran, Iraq, Mexico- bukankah semuanya ada piramid masing-masing? Sepertinya selari dengan maksud teks kuno tersebut,” terang Dr. Suryadi panjang lebar.

“Piramid?”

“Ya, mbak.”

“Yang dimaksud, pintu ‘stesennya’ di kaki Gunung Tahan, bukan puncaknya?”

“Menurut teks, begitulah.”

Khaleeda hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Nampaknya, ada beberapa lagi kajian perlu dijalankan sebelum perkara ini dapat diputuskan sebagai kesimpulan yang wajar dilaksanakan. Sekurang-kurangnya, dalam usaha ini- mereka sedang bergerak ke hadapan.

“Kalau mengikut hikayat, Walinong Sari ke Gunung Tahan dan ghaib di sana, apakah mungkin dia melalui Pintu Dunia dan pergi ke tempat lain?” Tanya Khaleeda meminta kepastian.

“Ini sukar sedikit untuk dimengertikan kerana ada kemungkinannya begitu tetapi, mengikut teks yang lain dikatakan di Gunung Tahan ada penjaganya. Jadi, kalau benar Walinong Sari ke dunia lain, pasti ini juga akan dilaluinya. Lihat ini, mbak,” Dr. Suryadi menghulurkan salinan yang lain pula.

Adapun Inderapura itu terletaknya pusaka yang mengawan tinggi,
Tertahan dari diziarah, mawas besar penjaga sakti,
Di antara buyung ibu emas dan buyung ibu perak,
Seyogia tempat keramat berpetir dijaga rapi.

Terkumat kamit Khaleeda membaca kalimat-kalimat yang tertulis. Seperti ada maksud yang hendak disampaikan tetapi, mungkin ini bukan kepakaran Khaleeda untuk decode teks-teks tersebut.

“Sudahkah kau memberi salinan teks ini kepada Banit?”

“Sudah, mbak. Minggu kelmarin lagi aku dah emel padanya.”

“Apa balasan Banit?”

“Secara literal saja yang Banit boleh rumuskan. Persoalan berkenaan apa yang dimaksudkan, dia pun ngak ngerti, mbak. Apa pun, Banit sedang berusaha mencari catatan penjelajah Russia, Baron Von Mikluho-Maclay yang dikatakan menjelajah Gunung Tahan pada 1875. Mungkin ada klu yang bisa digunapakai kelak.”

“Hmmm... kalau begitu, kamu teruskan penelitian kamu. Aku akan pulang ke Malaysia kerana ada urusan yang lain. Maklumkan segera apa yang kamu temui nanti.”

“Baik, mbak.” Dr. Suryadi mengangguk, tanda mengerti arahan Khaleeda.

*******************

Banit Svetlana masih lagi meneliti teks-teks kuno yang dikirim oleh Dr. Suryadi. Sebagai seorang yang mempunyai kepakaran dalam karya klasik, untuk memahami bahasa klasik itu tidaklah menjadi kepayahan kepada Banit tetapi, menterjemahkan maksud karya tersebut bukan ahaja memerlukan kefahaman yang tinggi pada teks semata-mata tetapi juga, melibatkan pelbagai faktor seperti budaya, pengamatan pada alam, sejarah, peristiwa dan lain-lain lagi. Tentunya ini bukan perkara mudah kalau dia tidak mengalaminya sendiri.

Melihat pada catatan Baron Von Mikluho-Maclay pula, tidak banyak peristiwa yang dinukilkan oleh penjelajah dan ahli biologi ini. Banyak yang tercatat adalah penemuan berkaitan flora dan fauna sahaja. Masih banyak lagi catatan Maclay yang belum dia teliti. Mungkin dia memerlukan sedikit masa lagi untuk melihat sekiranya ada ‘tanda-tanda’ yang boleh digunakan kelak. Apakah, penemuan Maclay selari dengan teks klasik yang telah ditulis lebih lama daripada penjelajahan Maclay ke Gunung Tahan? Entah.

Sebagai ahli akademik, segala penelitian tidak boleh bersandar dengan bias dan andaian. Setiap butir data perlu diperhalusi dan dinilai secara berhati-hati sebelum hipotesis akhir dapat disimpulkan. Apa yang Banit boleh buat sekarang adalah dengan terus meneliti dan bersabar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience