“Hmm... kita berhenti di sini?” Fateh memandangkan ke arah Faridah yang sedang mengesat peluh yang mulai bercucuran mengalir di dahi. Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda setuju.
Perjalanan mereka yang mendaki, menyelusuri persisir anak sungai kecil yang terbentuk di lembah antara dua bukit (bukit ke 3 dan ke 4 dalam jajaran Bukit Tulang Ikan) sememangnya mengerah banyak tenaga. Fateh dapat melihat, matahari sudah mula tergelincir dan bayang-bayang mereka kelihatan sama panjang dengan diri mereka sendiri- tandanya sudah masuk waktu Zohor- walau pun Fateh membawa jam sebagai penunjuk waktu tetapi, Fateh masih gemar melihat tanda-tanda waktu ini di langit. Lagi pun kawasan berlembah sungai seperti ini masih ‘terbuka’ langit untuk dilihat berbanding dengan kawasan hutan tebal yang tertutup dengan ‘kanopi’ pohon-pohon besar yang tinggi dan rimbun daunnya.
Secara umumnya, penentuan waktu solat ini ditentukan melalui kedudukan matahari di langit serta refleksi bayang-bayang yang terhasil disebabkan perubahan kedudukan matahari tersebut. Waktu Asar juga ditentukan apabila matahari telah tergelincir jatuh dan refleksi bayang-bayang pula (contohnya pancang kayu yang dijadikan pengukur) menjadi lebih panjang daripada objek yang digunakan sebagai pengukur. Waktu Maghrib pula tiba apabila matahari sudah terbenam sehingga hilangnya sinar merah cahaya matahari. Isyak bermulanya apabila hilangnya sinar merah sehingga terbitnya fajar sadiq- sebagaimana terbitnya fajar sadiq itu bermula pula waktu Subuh.
Petanda di langit dan refleksi bayang-bayang untuk menentukan masuk waktu solat ini telah lama dipraktikkan oleh Fateh ketika berkelana di kawasan terpencil yang jauh dari manusia atau kawasan yang asing dan tiada umat Islam menetap di situ. Terdapat juga kaedah-kaedah lain menentukan masuk waktu solat yang diluar kebiasaan seperti berada di kawasan hampir tiada matahari atau matahari yang tidak kunjung tenggelam seperti mana yang pernah berlaku di negara-negara yang berada di bahagian utara Artik seperti Norway, Sweden dan Finland. Empat dekad yang lalu, negara-negara ini pernah mengalami fenomena Endless Summer. Kejadian ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun 1986 di Norway (dan negara-negara berhampiran) di mana, matahari masih tetap kelihatan walau pun telah lewat malam (midnight sun). Perkara yang kontras kepada fenomena Endless Summer juga pernah dialami negara-negara tersebut pada musim sejuk iaitu, tiada matahari yang muncul walau pun hari sudah tinggi. Sudah tentu kaedah biasa penentuan waktu solat (juga waktu berpuasa) tidak boleh digunakan sama sekali untuk situasi yang sangat ‘istimewa’ sebegini.
“Kita berehat dan berkhemah di sini, bang?” Faridah bertanya sambil melihat kawasan yang agak lapang berhampiran dengan anak sungai itu.
“Ya, tentu kau penat dan lapar, kan?” Fateh hanya tersenyum memandang Faridah. Ceria sekali wajah Faridah mendengarkan kata-kata Fateh itu.
“Abang nak bersihkan kawasan ini dahulu dan siapkan khemah kita. Kau pergilah bersihkan badan di sungai itu, nanti abang menyusul. Lepas tu, kau masak, ya?” Muka Faridah cuak. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa?” Fateh kehairanan dengan reaksi Faridah.
“Er... kita buat sama-samalah. Kan lebih seronok.” Faridah berhelah.
“Takkan hanya sebab ‘seronok’?” Fateh musykil dengan kehendak Faridah. Pada pendapat Fateh, sekiranya setiap daripada mereka melaksanakan peranan masing-masing, tak akan berlaku ‘redundant workforce’ dan ini tentunya lebih menjimatkan masa.
“Kalau abang tak mahu, biar saya yang bersihkan tempat ini dan dirikan khemah, abang masak- OK tak?” Fateh tercengang mendengarkan balasan Faridah. Sudah terbalik pula peranan mereka tidak seperti yang dicadangkan oleh Fateh sebentar tadi.
“Hmm.. kau tak tahu masak, ya?” Fateh ketawa terbahak-bahak setelah berfikir sebentar. Merah muka Faridah apabila rahsianya ditebak dengan tepat oleh Fateh.
“Er.. abang ni. Bukan saya tak tahu masak tapi, manalah saya tahu selera abang tu.. kita pun baru berkahwin.” Faridah masih beralasan, dia tak mahu terus ‘diperlekehkan’ secara berterusan. Ah, masak saja- apa susahnya. Dia pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang sains- setakat memasak itu- sukarkah untuk dia belajar di kemudian hari?
“OK.. OK.. kalau begitu, abang nak mandi dulu. Jangan senget pula khemah tu nanti!”
“Abanggg!!” Getus Faridah melihatkan Fateh meninggalkan dirinya yang masih termanggu. Dia tak tahu pun cara nak pasang khemah. Apa yang menjadi ‘penyesalan’ tak terhingga kepada Faridah, mengapa dia mencadangkan ‘pertukaran’ peranan ini tadi? Kan lebih elok kalau semuanya mereka buat bersama-sama sahaja? Fateh pun banyak pula soal jawab. Tak boleh jadi ni.
Setelah beberapa saat berperang dengan fikiran dan perasaan sendiri, Faridah bergegas menuju ke anak sungai untuk menyertai Fateh. Pedulikan pasal khemah itu!
*******************
Malam itu mereka berdua hanya bersantai di hadapan khemah, menikmati kehangatan unggun api yang menyala terang, menyuluh kawasan yang berhampiran. Suasana malam begitu mendamaikan dan mereka berdua tidak kesunyian tetapi, ditemani dengan suara serangga dan bunyi katak yang sesekali memecah kebisuan.
Langit pula kelihatan terang dilitupi awan, menyerlahkan butiran-butiran bintang yang berkelipan dan bulan juga bersinar terang. Jelas cuaca malam ini cukup baik dan tentunya bisa memberikan inspirasi kepada sang seniman yang mencari ilham. Untuk orang-orang yang larut dalam asyik percintaan, suasana sebegini bisa menambahkan lagi keasyikan yang lebih mendalam.
Faridah perlahan-lahan merebahkan kepalanya ke bahu Fateh dan ‘mencari-cari’ tangan Fateh untuk ‘dililitkan’ ke batang tubuhnya. Dia ingin merasakan kehangatan itu. Bukan kehangatan fizikal sebagaimana unggun api yang membakar, atau seintim mana tubuhnya dan tubuh Fateh ‘berdakapan’ tetapi, dia ingin merasa kehangatan itu pada hati dan perasaannya.
Fateh faham akan keinginan Faridah lantas, dia segera merangkul Faridah yang berada di sisinya dengan erat. Dikucupnya kening Faridah- kerana Fateh tahu, Faridah juga menginginkannya. Jelas, Faridah berasa betapa bahagianya diperlakukan sedemikian. Senyuman manisnya tidak mampu disorokkan lagi.
“Kau tidurlah dahulu. Abang akan berjaga terlebih dahulu.” Bisik Fateh lembut. Faridah mengangguk perlahan. Dirapatkan bibirnya dipipi Fateh dan sebuah kucupan diberikan tanda akur dengan permintaan suaminya itu. Fateh hanya tersenyum kecil.
Setelah beberapa seketika, Faridah sudah lena dibuai mimpi. Fateh segera menyelimuti isterinya dan kemudian perlahan-lahan kembali berada di pintu khemah. Ditutupi pintu khemah itu dengan berhati-hati supaya bunyi zip pada pintu khemah tersebut dapat diperlahankan seminima mungkin.
Fateh kemudian berdiri dan tercegat di situ untuk beberapa ketika bagai menanti sesuatu. Tak berapa lama, kelibat demi kelibat muncul dari kegelapan malam. Fateh hanya tersenyum melihat kemunculan ‘entiti-entiti’ tersebut yang mula menampakkan rupa parasnya yang sebenar.
“Kamu semua tunggu dan berkawal di sini. Aku ada hal yang perlu aku selidiki.” Fateh berkata perlahan.
“Kau sedar apa yang berlaku?” Tanya salah satu daripada entiti tersebut kepada Fateh.
“Ya. Aku nak lihat sendiri apa sebenarnya benda itu.” Entiti-entiti tersebut hanya berpandangan sesama sendiri melihat Fateh yang sudah nekad dengan keputusannya.
Tanpa membuang masa, Fateh segera beredar dari situ. Perlahan-lahan, batang tubuh Fateh hilang ditelan kegelapan malam.
Share this novel