Rate

Bab 56: Kota Bercahaya dan Tanah Haram

Mystery & Detective Completed 26472

Sepanjang mengerjakan ibadah umrah, Catherine berasa amat tenang dan tenteram. Sesungguhnya sebagai saudara baru, pengalaman berada di dua buah kota suci umat Islam ini merupakan sesuatu yang luar biasa dalam pengalaman rohani dan hidupnya.

Catherine dan Fateh mengikuti rombongan umrah yang dikelolakan oleh sebuah syarikat pengurusan umrah, haji dan ziarah yang terkenal di Malaysia. Rombongan yang diketuai oleh seorang mutawwif bernama Ustaz Soleh begitu arif bukan sahaja tentang selok-belok ibadah umrah tetapi juga tempat-tempat yang bersejarah di kedua-dua buah kota suci itu.

Walau pun Ustaz Soleh amat berpengetahuan, dia juga amat kagum dengan Fateh yang dapat memperincikan lokasi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam hadis Nabi SAW di antara kedua lokasi tersebut. Antara tempat-tempat yang kini hanya menjadi spekulasi adalah lokasi maqam-maqam kaum keluarga Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda di perkuburan Baqi’ kerana pada saat ini, perkuburan di situ tidak punya tanda pengenalan pada nisan kerana telah dibongkar dan dihapuskan oleh kerajaan Saudi pada tahun 1806 dan kemudian pada 1926. Ini amat mendukacitakan kerana banyak pengajaran yang dapat diteladani, selain mengenang jasa-jasa mereka kepada agama Islam tetapi dimusnahkan tanda pengenalan mereka atas fahaman Wahabiyyah yang menganggap maqam-maqam ini akan menyebabkan berlakunya penyembahan kubur.

Bukan sahaja tempat-tempat yang pernah berlaku peristiwa besar di Madinah, peristiwa seperti lokasi tempat persembunyian Nuaiman Al-Ansari RA (seorang ‘penghibur’ kota Madinah yang sering membuatkan Rasulullah SAW ketawa dengan gelagatnya dan juga seorang pahlawan ketika Perang Badar) di dalam sebuah lubang di kebun tamar Duba’ah Binti Zubaer kerana telah menyembelih seekor unta milik tetamu Rasulullah SAW pun Fateh tahu di mana tempatnya- sedangkan peristiwa yang berlaku itu telah berusia ribuan tahun dan sarjana-sarjana hadis pun hanya boleh berspekulasi dan menganggarkan di mana lokasinya sahaja, sedangkan Fateh memberitakan lokasi yang spesifik pula. Ini termasuk juga lokasi spesifik *rumah Abu Ayyub Al-Ansari RA, di mana rumahnya merupakan rumah pertama yang dikujungi oleh Rasulullah SAW sewaktu baginda pertama kali tiba di Madinah.

Nota *: Rumah Abu Ayyub Al-Ansari RA terletak di perkarangan luar Masjid Nabawi dan terdapat suatu tiang yang dikatakan bahagian tapak asal rumah beliau. Tetapi ada suatu pendapat yang mengatakan rumah beliau terletak di dalam Masjid Nabawi- ada suatu ruangang ‘berkotak’ yang dijaga oleh pengawal keselamatan masjid sebagai tempat larangan tetapi, tidak ‘dilabelkan’ tempat itu sebagai lokasi rumah Abu Ayyub Al-Ansari RA, Wallahu’alam.

Ustaz Soleh sentiasa memperhatikan Fateh dengan penuh minat sepanjang lelaki itu bersama rombongannya. Semasa berada di pasar lambak yang terletak di luar pagar perkarangan Masjid Nabawi, Ustaz Soleh kagum dengan bahasa Arab fushah (bahasa Arab tinggi) Fateh ketika tawar menawar. Bahasa Arab yang sedemikian, orang-orang Arab sendiri pun belum tentu dapat menguasainya dengan baik.

“Sayang, saya nak jubah ini.” Pinta Catherine. Fateh hanya menggeleng-geleng kepala.

“Kenapa?” Catherine sedikit merajuk.

“Oh, jubah Madinah ni kurang cantik dan kualitinya. Nak lebih baik di pasar Aziziyah kat Mekah. Hmmm... di Harash, Jeddah pun ada.” Jelas Fateh.

“Begitu?” Bulat mata Catherine mendengarkan kata-kata suaminya.

“Ya. Oh, kalau awak nak beli yang lain di sini, boleh saja. Coklat ni pun murah. Kalau coklat tamar ni beli kat ladang tamar, harganya lebih mahal hampir seganda!” Tambah Fateh.

“Ya, syeikh Fateh. Kalau begini, ana ingat ana tak boleh cari makan jadi mutawwif lagi.” Ustaz Soleh tiba-tiba menyapa dan berseloroh dengan Fateh dan Catherine.

“Takkan sampai begitu sekali Ustaz?” Fateh hanya tersenyum dengan usikan Ustaz Soleh.

“Sungguh, ana ingat ana kena belajar dengan anta. Bahasa Arab anta pun lebih bagus daripada ana. Oh, ya... lepas umrah nanti mahu ke mana anta?”

“Ke Al-Aqsa.” Fateh hanya tersenyum.

“Oh, bagus tu. Patutlah dalam senarai rombongan pulang, nama anta tak ada dalam senarai.” Ustaz Soleh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.


“Betul tu, Ustaz. Kami berdua akan berlepas dari Jeddah ke Jordan dahulu.” Jelas Fateh.


“Susah nak masuk ke sana, anta ke sana nak buat apa?”


“Bulan madu, Ustaz.” Jawab Fateh sambil tersengih. Ustaz Soleh pun ketawa kecil. Berbulan madu ke Tebing Barat yang terkenal bahayanya itu, tentulah sesuatu yang aneh. Tetapi, pada pandangan Ustaz Soleh, keanehan itu mungkin tidak aneh pada Fateh. Fateh itu sendiri sudah agak ‘luar’ dari biasa. Belum pernah ada orang dalam rombongan jemaahnya seperti Fateh walau pun sudah belasan tahun dia mengendalikan rombongan umrah dan haji.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience