Rate

Bab 66: Menjelajah Kota Lama Jerusalem

Mystery & Detective Completed 26471

Kompleks Baitulmaqdis ini dikeliling tembok-tembok batu dan dibina di atas tanah seluas 35 ekar merangkumi pelbagai bangunan dan setiap inci bumi di situ (dan seluruh Baitulmaqdis atau Jerusalem) penuh dengan cerita dan sejarah.

Selepas melalui checkpoint keselamatan tentera Israel di Moroccan Gate (West Gate), Fateh dan Catherine melalui koridor berupa ramp yang diperbuat daripada kayu untuk masuk ke dalam kompleks Baitulmaqdis. Sampai saja di penghujung koridor tersebut, di sebelah kanan mereka kelihatan seperti sebuah masjid kecil yang berkongsi dinding dengan Mourning Wall (di sebelah luarnya) manakala pada sebelah kiri pula tersergam sebuah masjid yang lebih besar berkubah emas.

“Awak nampak masjid kecil itu, Cat?” Catherine hanya mengangguk kepala.

“Itulah Masjid Buraq, di sanalah Nabi SAW mengikat Buraq tunggangan Baginda semasa peristiwa Isra’ Mikraj. Di kanan kita masjid berkubah emas- itulah Masjid Al-Aqsa yang baru. Masjid Al-Aqsa yang lama terletak di luar sebelah sana.” Fateh menunjukkan ke arah Mourning Wall (menggerak-gerakkan tangannya, menunjukkan isyarat lebih jauh ke belakang berbanding Mourning Wall itu).

“Dahulu, masih kelihatan cangkuk pengikat yang dipercayai diguna oleh Rasulullah SAW untuk mengikat Buraq Baginda tetapi, sekarang ni dah tak kelihatan.” Fateh seperti tertinjau-tinjau mencari sesuatu.

“So, sayang- kita nak solat di Masjid Al-Aqsa dahulu?” Cathrine teruja melihat masjid yang berkubah emas itu. Tentunya seronok untuk bersolat sunat Tahiyatul Masjid di situ.

“Ya, itu bagus. Sebelum tu kita solat di Masjid Buraq, kemudian Al-Aqsa dan kita solat lagi di Masjid Al-Mawarni di sebelahnya.”

“Baik.”

Setelah selesai bersolat sunat di Masjid Buraq dan Masjid Al-Aqsa mereka berdua berjalan menuju ke arah Masjid Al-Mawarni. Fateh membawa Catherine menuruni tangga-tangga yang terdapat di dalam masjid itu sehingga berada di suatu kawasan solat di bawah tanah yang luas dan dilitupi dengan berkarpet merah. Catherine tercengang-cengang melihat betapa luasnya kawasan di bawah tanah itu dan hanya menuruti langkah Fateh.

“Sayang, ke mana awak nak bawa saya? Rasanya macam tak berpenghujung ruangan ini.” Catherine seperti merengek kecil. Fateh hanya tersenyum sahaja dengan kerenah Catherine.

“Ha, dah sampai. Lihat batu yang melengkung tu?” Catherine hanya mengangguk. Dia tidak merasakan sesuatu yang aneh melihat sebuah batu hampar yang melengkung sebegitu.

“Ruangan ini dipercayai tempatnya Mariam Al-Uzara membesarkan Nabi Isa AS. Mungkin di atas batu tersebut, Nabi Isa AS dimandikan di situ. ” Fateh memandang Catherine dengan tersenyum. Dia tahu, sebagai mantan penganut Kristian pastinya Catherine mempunyai pertalian emosi yang kuat dengan Nabi Isa AS yang pernah dianggap Tuhan itu. Melihatkan ruangan itu, air mata Catherine menitis jatuh dan segera pula disapu oleh Fateh dengan lembut.

“Terima kasih sayang kerana bawa saya ke sini.” Perlahan sekali suara Catherine berkata, seperti berbisik. Fateh hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya.

Seusai solat sunat di Masjid Al-Mawarni, mereka meneruskan kembara mereka menjelajah segenap pelusuk kompleks Baitulmaqdis.

*******************

“Sayang, kalau saya sesuatu, awak tak marahkan?”

“Hmm..”

“Kenapa di hadapan Morrocan Gate tadi awak kelihatan emosional? Tak pernah saya lihat awak sebegitu, sebelum ni?”

Fateh seperti termenung sejenak mendengar pertanyaan isterinya itu. Sungguh, ada sesuatu yang bermain di dalam perasaannya ketika itu. Kalau dia ingin masuk secara mudah tanpa perlu banyak persediaan seperti sekarang, dia tidak perlu masuk melalui Moroccan Gate tersebut. Mereka boleh saja masuk ke Baitulmaqdis melalui pintu Golden Gate tanpa perlu menyamar sebagai pelancong dari China. Itu memang pintu yang dikhaskan oleh kerajaan Israel untuk orang-orang Islam sepertinya.

“Tentu awak tertanya-tanya, mengapa perlu melalui pintu tersebut yang dikhaskan untuk orang-orang bukan Islam, kan?” Catherine hanya mengangguk.

“Kerana pintu itu adalah pintu sunnah. Tidak sepatutnya dikhaskan kepada orang-orang bukan Islam. Saya mahu kita berdua masuk melalui pintu itu, mengikut sunnah Nabi SAW.” Makin berkerut kening Catherine memikirkan jawapan Fateh.

“Pintu masuk itu besar ertinya kepada umat Islam. Melalui pintu itu juga Nabi SAW masuk ke Baitulmaqdis. Khalifah Islam ke-2, Saidina Umar Al-Khattab juga menurut jejak dan sunnah Nabi SAW, turut melalui pintu itu semasa membebaskan kota Baitulmaqdis- begitu juga dengan seorang pahlawan Islam yang gagah dan masyhur, Salahudin Al-Ayubi juga masuk ikut pintu itu. Alangkah malangnya umat Islam pada hari ini dinafikan hak untuk masuk melalui pintu tersebut sedangkan, kompleks Baitulmaqdis ini tanah wakaf orang-orang Islam.” Sambung Fateh kerana dia tahu pasti banyak persoalan bermain di minda isterinya itu. Bergetaran suara Fateh menahan sebak dan emosi membara di dalam dadanya.

“Berapa ramai umat Islam yang masih mengetahui sejarah ini? Tanya saja penziarah dari kalangan orang-orang Islam di sini. Jumlahnya pasti sangat sedikit. Kebanyakannya datang hanya sekadar melihat sebagaimana melawat tempat-tempat bersejarah biasa yang kemudiannya, hanya menjadi kenangan-kenangan sahaja. Tidak pada semangat untuk menghayati perjuangan Nabi-Nabi terdahulu, para anbia, soleh-solehin yang telah berjuang di atas tanah ini.” Fateh kemudian terdiam sejenak melayan perasaannya. Catherine turut membisu dan larut dalam pergolakan perasaan suaminya.

“Sayang, bukankah tanah ini milik Israel?” Fateh menggeleng-gelengkan kepalanya kepada Catherine. Tentu saja Catherine yang baru sahaja menjadi mualaf itu tidak arif dengan konflik di wilayah ini.

“Tidak, kekuasaan dan pentadbiran wilayah Jerusalem terutamanya di kota lama ini adalah tertakluk kepada PBB di bawah UNESCO. Kawasan Majid Al-Aqsa pula adalah tanah wakaf kerajaan Jordan dan beberapa negara Islam lain. Begitulah sikap Yahudi Zionis, mereka menganggap diri mereka tuan pada tanah ini.” Catherine hanya mengangguk-angguk kepala, tanda faham.

“Jom ke sana,” Fateh segera memimpin tangan menuju ke suatu tempat dan Catherine melihat ianya seperti sebuah sekolah.

“Sekolah perempuan?” Tanya Catherine apabila tiba di tempat itu.

“Nampak tak papan tanda tu, Kursi Sulaiman?”

“Ya.”

“Inilah tapak asal tempat bersemayam Nabi Sulaiman AS memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh bangsa Jin. Begitu takut dan patuhnya mereka kepada Nabi Allah Sulaiman sehingga mereka tidak menyedari wafatnya Nabi Sulaiman melainkan ketika tongkat baginda menjadi rapuh dimakan anai-anai.”

“Kubah besar yang berwarna kuning tu sayang, masjid juga ke?”

“Oh, Dome of Rock- Kubah Al-Sakhrah itu bukan masjid tetapi kompleks binaan yang di dalamnya ada batu terapung, digunakan oleh Nabi SAW untuk berpijak sewaktu menaiki Buraq.”

“Di sebelahnya yang kubah kecil seakan-akan Dome of Rock tu?”

“Itu Kubah Silsilah, sebagai tanda saja yang menunjukkan kita berada di tengah-tengah Baitulmaqdis.”

Mereka berdua kemudian beredar dari Kompleks Baitulmaqdis, menaiki teksi untuk menjelajah hampir seluruh Kota Lama Jerusalem terutamanya tempat-tempat yang signifikan kepada sejarah Islam (yang turut berkongsi cerita yang sama dengan sejarah Kristian dan Judaism tetapi mempunyai versi yang berbeza). Akhirnya, mereka singgah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab yang berhadapan dengan *Church Of Holy Sepulchre untuk menunaikan solat dan menginap di Hashimi Hotel yang terletak berhampiran masjid dan gereja tersebut di Jalan Suq Khan Al-Zeit.
Sepanjang penjelajahan mereka berdua di Kota Lama Jerusalem, minat Catherine terhadap kota ini menjadi semakin bercambah. Segala soalan diajukan bertalu-talu dan kesemuanya dijawab oleh Fateh bagai pemandu pelancong dan pakar sejarah sekaligus. Catherine berasa kagum dengan pengetahuan suaminya kerana dia tidak menyangka suaminya itu dapat menerangkan sejarah di sesuatu tempat dilengkapi dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Nota *: Church of Holy Sepulchre di Kota Lama Jerusalem ini merupakan destinasi wajib kepada penziarah-penziarah Kristian kerana mereka percaya di tempat inilah terdapat dua peristiwa besar yang penting dalam agama Kristian, lokasi di mana Jesus disalib, ditanam dan dibangkitkan semula. Dalam sejarah Islam, sewaktu Saidina Umar Al-Khattab RA tiba di Baitulmaqdis, Khalifah Islam ini dipelawa oleh para bishop untuk bersolat di dalamnya tetapi ditolak oleh Saidina Umar malah, solat di suatu kawasan lapang berhadapan dengan gereja tersebut (kini lokasi tersebut adalah Masjid Saidina Umar Al-Khattab). Penolakan Umar bukanlah untuk meremehkan pelawaan bishop di gereja tersebut tetapi, untuk mengelakkan perbalahan atau perebutan antara umat Kristian dan Islam di masa hadapan kelak sekiranya Khalifah Umar Al-Khattab RA bersolat di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience