Rate

Bab 5: Titah Baginda Tuanku

Mystery & Detective Completed 26472

Selepas peristiwa tempohari, rutin harian Catherine menjadi semakin mudah dan lancar. Dia tidak perlu tertinjau-tinjau, mengesan kelibat Raymond yang amat memualkan itu lagi. Hidupnya kini lebih tenang dan ceria. Dia juga lebih bersemangat.

Namun, hampir setiap hari, (sudah seperti menjadi tabiat barunya) Catherine akan meninjau-ninjau ke dalam ruangan koc LRT kerana ingin menjejaki lelaki Melayu yang telah menjadi hero penyelamat dirinya tempohari. Kalau tidak sesak dengan penumpang-penumpang lain, dia akan berjalan dari hujung ke hujung koc untuk mengesan kelibat manusia yang sangat ingin dia temui.

Seperti biasa, pagi ini matanya liar mencari tetapi, hampa belaka dan sebelum pintu koc tertutup, pandangan Catherine tertacap pada suatu sosok yang menyerupai lelaki tersebut- masuk ke dalam koc. Oleh kerana koc pagi memang sesak dan padat, Catherine tidak dapat memastikan imej sosok tubuh itu dengan jelas. Ke kiri dan ke kanan Catherine cuba meneliti agar dapat dipastikan apakah benar yang dilihat atau sekadar ilusi yang mempengaruhi mindanya kebelakangan ini.

‘Ish, mana dia ni,’ keluh Catherine. Dia tahu di mana ‘spot’ bayang lelaki itu berada tetapi pandangannya terhalang oleh penumpang-penumpang yang lain.

Tak lama selepas itu, destinasi Catherine di stesen KLCC pun tiba. Tanpa berlengah, Catherine turut berpusu-pusu keluar dari tren dengan dengan tertoleh-toleh ke arah ‘spot’ kedudukan lelaki Melayu tersebut. Sesekali, pandangannya akan tertangkap imej lelaki berkenaan dan sesekali hilang dek ramainya orang yang berlalu lalang.

Sesungguhnya dalam keseriusan kawalan pandangan Catherine, bayang itu terus hilang dalam kesibukan orang ramai. Catherine kecewa sekali lagi .

********************

Tun Telani atau Khaleeda tiba di Istana Negara, lantas segera dibawa oleh Dato Pengelola Bijaya Setia ke ruangan yang lazimnya digunakan oleh Tuanku untuk menerima tetamu kehormat. Urusan penerimaan tetamu seperti Tun Telani ini dilakukan secara tertutup dan rahsia. Hanya orang-orang tertentu sahaja akan ditugaskan untuk mengendalikan urusan seperti ini dan semestinya Dato Pengelola sendiri akan melayani kehadiran mereka.

Kehadiran Khaleeda telah dinantikan oleh Tuanku di ruangan itu dan baginda segera mempelawa Khaleeda duduk terlebih dahulu, sebelum baginda sendiri menyusul duduk. Begitulah hormatnya baginda kepada insan yang memakai gelaran Tun Telani ini walau pun dari segi protokol biasa adalah sebaliknya. Ianya bukan gelaran yang biasa-biasa kerana ianya adalah gelaran yang telah diwarisi selama ratusan tahun dan hanya mereka yang memiliki kriteria tertentu dari keturunan Tun Perak saja yang layak menyandangnya. Ianya lebih rumit berbanding pewarisan sultan yang secara harfiahnya, melalui pertalian darah dan anak lelaki yang paling tua dikalangan anak-anak sultan. Ada juga negeri tertentu yang menggunakan sistem penggiliran sultan melalui lantikan antara kerabat.

Selain daripada itu, dalam sejarahnya, Tun Perak bukan hanya berkhidmat sebagai bendahara tetapi mempunyai kuasa melantik Sultan Melaka pada masa itu. Justeru, sedikit sebanyak menunjukkan betapa berkuasanya pengaruh Tun Perak dalam sebuah empayar Melayu dahulu kala. Sumbangan Tun Perak dan generasi selepasnya juga amat banyak kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia. Oleh sebab itu, telah menjadi seperti adat di kalangan para sultan yang dilantik menjadi Agong untuk menghormati pewaris gelaran-gelaran kuno ini ibaratnya bukan seperti sultan dan hamba tetapi lebih kepada pedamping atau pelengkap kepada gelaran Agong itu sendiri.

“Apakah hajat Tuanku, memanggil patik pacal yang hina ini datang mengadap?” Khaleeda merafak sembah.

“Tun Telani usah berlebih adat, beta ini hanya sultan pada rakyat bukan raja dikalangan sahabat,” titah baginda merendah diri.

“Patik pun rakyat Tuanku, layaknya sebegitulah adatnya. Adakah Tuanku tak mahu berakyatkan patik?”

“Masakan begitu, Tun Telani. Akan dipijak rakyat kepala raja andai raja kepalang ajar,” tersengih saja baginda membalas usikan Khaleeda.

“Jadi, apakah hajat Tuanku yang patik bisa tunaikan?”

“Beginilah, hasrat beta ini diharapkan Tun Telani tidak keberatan untuk menjunjungnya. Ada pun, telah muncul urusan negara yang mendesak agar Tun Telani dapat sampaikan ke pendengaran Tun Besar, barang dikata kecil tidaklah sebegitu kecil, barang dikata besar tidaklah sampai menggoncang tiang seri negara.” Titah baginda dengan penuh budi bahasa.

“Beta berkenan agar Tun Besar dapat memberi buah fikiran dan mencari penyelesaian dan muafakat bersama Tan Sri Hassan atas permasalahan yang tertimpa ke atas syarikat jagaannya. Sudilah kiranya Tun Besar menjunjung perintah beta.”

“Patik menjunjung amanah dan perintah Tuanku. Ada pun, perihal Tun Besar itu tidaklah menjadi kesusahan kepada patik untuk menyampaikan namun, Tuanku sendiri maklum sifatnya Tun Besar itu dan ragam kelakuannya mungkin tidak sebagaimana yang berkenan di mata Tuanku. Insya Allah, jika sudah dizinkan Tuhan, tidaklah bercanggah dengan hasrat Tuanku itu, hanya yang berbeda cuma jalan perlaksanaannya sahaja.” Sembah Khaleeda dengan hormat.

“Beta faham akan tingkah laku Tun Besar dan tidaklah jatuh kemurkaan beta padanya,” baginda hanya mengangguk-angguk kecil.

Baginda Tuanku memang tidak ambil pusing dengan sikap Tun Besar. Orangnya Tun Besar itu amat accentric dan tidak suka terlibat dalam hubungan protokol, lebih-lebih lagi dengan pihak istana. Baginda juga faham, walau pun Tun Besar tidak mempedulikan persepsi orang terhadap dirinya tapi, yang terselindung maksud ketidakhadiran Tun Besar pada hari ini adalah untuk menjaga maruah baginda juga. Tentu kurang adatnya sekiranya Tun Besar bertingkah laku seperti tidak menghormati baginda Tuanku mengikut lazimnya protokol istana, walau pun kesetiaan pada Raja dan Negara itu tidak pernah hilang dari jiwa Tun Besar. Tun Besar hidup sebagai dirinya dan prinsip hidupnya sendiri.

Oleh yang demikian, kehadiran figura penting seperti Tun Telani ini pun sudah cukup membuatkan baginda Tuanku berasa sangat dihormati. Tun Telani ini sendiri pun jarang sekali menampilkan dirinya dalam sebarang urusan, justeru kehadiran Tun Telani sebagai wakil kepada Tun Besar sudah cukup membuktikan betapa eksklusifnya layanan dan seriusnya Tun Besar terhadap undangan baginda.

“Dato, hubungi Tan Sri dan maklumkan persetujuan Tun Besar.” Titah baginda setelah Tun Telani beransur pergi. Dato Pengelola segera merafak sembah dan segera berlalu untuk melaksanakan perintah baginda Tuanku.

********************

“Eh, ni baru RM4000? Mana lagi RM700?” Fateh memandang keras kepada Roslan.

“Er... er, Fateh.. er, aku eh, saya tak cukup duit,” terketar-ketar Roslan menjawab. Berpeluh-peluh dahi Roslan dalam bilik pejabatnya yang berhawa dingin tahap maksimum.

“Tak cukup, ya... sini,” arah Fateh kepada Roslan agar menghampirinya. Roslan hanya akur.

Tup! Titik akupuntur Roslan dikunci oleh Fateh, lantas akibatnya Roslan tidak berupaya mengeluarkan suara, mulutnya hanya ternganga dan melopong. Tup! Satu tusukan keras dilakukan oleh Fateh ke arah mulut Roslan dan di balik celah jari, antara ibu jari dan jari telunjuknya sebentuk gigi geraham dikepit erat oleh Fateh.

Roslan segera berundur dan menutupi mulutnya yang mula berlumuran darah. Kesakitan yang dialaminya bukan kepalang lagi. Gigi geraham dicabut tanpa bius membuatkan tubuh badan Roslan bergetar dan mengigil. Dia meraung dan melolong sepuas hati tetapi, tiada sebarang suara kedengaran. Air hangat mulai membasahi kelangkangnya. Celaka lagi nasibnya pada hari ini.

Setelah keadaan semakin tenang, Fateh menghampiri Roslan dan segera membuka kunci suaranya.

“Ingat ya, esok kena langsaikan semua. Hutang wajib dibayar,” Fateh segera berlalu dari bilik pejabat Roslan sambil bersiul-siul kecil.

Roslan mati akal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience