Rate

Bab 74: Menjerat Kasih Sayang

Mystery & Detective Completed 26471

Catherine menyandarkan kepalanya ke bahu Fateh, bersantai di atas sofa empuk di ruang tamu. Tangannya mengenggam tangan Fateh dengan erat dan sesekali di renggangkan jari jemarinya yang diselitkan di celah-celah jari jemari Fateh.

Masa-masa seperti ini biasanya akan berlalu dengan penuh romantis antara mereka berdua walau pun tanpa ada kata-kata. Cukup hanya ada TV di depan mata, mereka boleh duduk berlama-lama berdua. Mereka akan bergurau senda dan bercumbu mesra. Namun, dengan adanya Stephen dan Carol di rumah, tentu ‘aktiviti mesra’ itu perlu dihadkan sekadar yang sesuai untuk ‘tatapan umum’.

Apa pun, Stephen dan Carol amat memahami ‘keperluan’ anaknya, Catherine. Mereka tahu Catherine amat manja tetapi pemalu. Justeru, Stephen dan Carol sengaja merancang agenda lain sepanjang keberadaan mereka di Kuala Lumpur dengan pelbagai aktiviti-aktiviti lain. Hari ini, Stephen dan Carol beralasan untuk melawat Zoo Negara yang hanya terletak tidak jauh dari kediaman Fateh dan Catherine. Tentu saja, Fateh dan Catherine hanya akur dengan kehendak mereka berdua.

“Sayang...” Catherine mula merayu mesra.

“Hmmm..” Fateh menyahut lembut namun, matanya masih tertancap pada skrin TV.

“Pandanglah saya ni, awak kan nak berangkat lusa- dah tak suka tengok saya?” Catherine mula melontarkan rajuknya.

Fateh hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Catherine itu. Dia menoleh memandang wajah isterinya yang sedang mencebik itu. Fateh hanya tersenyum, menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun itu.

“Kenapa?” Fateh mengepit hidung Catherine dengan cubitannya sehingga muncul warna-warna kemerahan pada hidung isterinya itu. Catherine hanya mengaduh kecil.

Catherine segera memegang tangan Fateh yang mencubit hidungnya dan lantas, segera mengigit manja jari Fateh namun, bekas-bekas gigitan itu jelas berbekas. Fateh, segera menarik tangannya dari pegangan Catherine, meniup jari yang digigit oleh Cathrine seperti sakit tak terperi. Catherine hanya tertawa melihat reaksi Fateh, mengejek suaminya yang tak tahan sakit seperti budak-budak manja.

“Oh, main kasar, ya?” Fateh menunjukkan rasa geramnya. Melihatkan perubahan wajah Fateh, Catherine mula berasa ‘kegerunan’ tetapi, dia masih tetap memprovokasi Fateh dengan cebikannya.

Pantas, Fateh segera merebahkan Catherine terlentang di atas sofa sambil memegang kedua-dua belah tangan agar isterinya itu tidak dapat meronta-ronta dan ‘melawan’ kembali. Catherine hanya pasrah dan hanya akur dengan ‘kekuasaan’ Fateh ke atas dirinya. Catherine mengekek kegelian apabila Fateh ‘menyembamkan’ kucupannya ke leher Catherine dengan ‘rakus’. Aksi Fateh itu menyebabkan Catherine ‘tidak senang duduk’, mengelak dari kucupan Fateh dan ketawa kegelian yang amat sangat sehinga berair matanya. Namun, Fateh kemudian berhenti selepas beberapa ketika kerana dia tahu, ‘seksaan’ itu sudah cukup ‘sadis’ untuk memberi ‘pengajaran’ kerana gigitan Catherine tadi.

“Mengaku kalah?” Fateh merenung wajah Catherine dengan riaknya yang serius. Catherine menggeleng-geleng kepala, masih berdegil.

“OK, kalau macam tu.....” Fateh mula mengugut. Catherine kembali cuak.

“OK, OK... I surrender!”

Fateh memandang Catherine dengan senyuman. Mereka saling berpandangan dan saling tersenyum kepada satu sama lain. Spontan, Fateh mengucup bibir Catherine dengan penuh kelembutan. Catherine hanya menyambutnya dengan penuh kasih sayang dan penyerahan. Lama bibir mereka bertaut bagai dipateri. Dunia Catherine bagai melayang-layang seperti terlontar ke langit yang tujuh.

*******************

Seusai majlis penikahan Fateh dan Faridah yang diatur oleh Khaleeda dalam suatu majlis kecil-kecilan di sebuah hotel ternama di pusat bandar Kuala Lumpur, Fateh dan Faridah ditempatkan di sebuah bilik yang dikhaskan sebagai bilik pengantin mereka.

Berada dalam bilik yang dihias sebagai honeymoon suite ini, Fateh hanya mengeluh kecil mengenangkan perancangan Khaleeda terhadap dirinya. Fateh sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya kemahuan Khaleeda- apakah dia mahu Fateh turut ‘bersama’ dengan Faridah? Kalau Khaleeda hanya sekadar mahu, ikatan itu hanya atas dasar merasmikan hubungan sahaja, apa perlunya bilik untuk Fateh dan Faridah ber’honeymoon’? Fateh jadi buntu memikirkannya.

“Abang Fateh...” Faridah yang baru keluar dari bilik air, dengan baju tidurnya- menegur Fateh yang sedang termanggu di atas sofa yang terdapat di ruang suite itu. Faridah duduk di samping Fateh dan pandangannya tidak terlepas dari memandang Fateh.

“Abang bermalam di sini atau hendak pulang?” Soalan Faridah itu membuatkan Fateh tersedar keberadaan dirinya, keadaannya yang kini berada berdua-duaan sahaja dengan Faridah. Haruman dari tubuh Faridah jelas menusuk ke hidung Fateh bagai ‘umpan’ feromon yang memancing nafsu lelakinya.

Soalan ini walau pun amat mudah dijawab tetapi, Fateh masih diam membisu. Fateh sedar, atas apa jua alasan perkahwinan mereka, dari syaraknya, Faridah juga berhak terhadap dirinya. Fateh perlu menimbangkan sebaik-baiknya, mencari jawapan yang tepat untuk persoalan ‘mudah’ yang dilontarkan oleh Faridah.

“Tentu kau faham, aku tak dapat bermalam di sini.” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda faham tetapi, ada riak kecewa pada wajahnya itu.

“Saya faham, harap abang juga faham, saya juga isteri abang seperti Catherine.” Jawab balas Faridah membuatkan Fateh terpana. Sudah tentu Fateh sedar akan hal ini, sama ada dia bersedia atau tidak- tanggungjawab itu telah terbeban di pundak bahunya. Hukumnya sebegitu.

Fateh hanya mengangguk kecil. Dia hanya memandang Faridah dengan pandangan yang kosong, menantikan apa pula ‘syarahan’ lain yang hendak disampaikan oleh isterinya. Ya, Faridah itu juga adalah isterinya juga- sama ada dia mahu mengaku atau tidak, begitulah hakikatnya.

“Er, maafkan saya bang. Saya tak berniat menyinggung perasaan abang.” Faridah segera meredakan keadaan apabila melihat perubahan wajah Fateh menjadi begitu serius kepadanya. Dia juga sedar hakikatnya, dia juga isteri kepada lelaki ini. Tentu saja, dia tak betah untuk berlaku seperti superior kepada lelaki yang memegang ‘jawatan’ lebih tinggi daripadanya dan memiliki hak yang besar ke atas dirinya sendiri.

Fateh masih membatukan dirinya tanpa balasan. Kata-kata Faridah itu seperti batu yang dilastik tepat ke lubuk hatinya. Bukan saja perkiraan itu berkait dengan Faridah tetapi, juga kepada Khaleeda sendiri. Apakah sikapnya selama ini kepada Khaleeda adalah benar-benar sebagai seorang suami atau dia tidak memperlakukan Khaleeda itu seperti sepatutnya?

Fateh memandang wajah Faridah yang berada di hadapannya dalam-dalam. Memikirkan bahawa nasib Faridah ini bakal menjadi seperti Khaleeda, Fateh semakin bungkam. Dia tidak terfikirkan hal ini secara serius selama ini atas sebab kesibukan dalam menangani tugasan-tugasan yang begitu menuntut fokusnya. Mungkin atas sebab itu, dia ‘lupa’. Dia sedar ‘kelupaannya’ itu pastinya memberi bekas yang mendalam ke dalam hati Khaleeda. Semenjak berkahwin dengan Catherine, Fateh menjadi semakin memahami isi hati dan kemahuan seorang perempuan.

“Abang?” Faridah menegur Fateh dengan lembut, cuba menyedarkan Fateh yang kelihatan semakin ‘karam’ dalam dunia fikirannya itu.

“Oh, abang tak ada apa-apa.” Faridah hanya tersenyum mendengar Fateh membahasakan dirinya sebagai abang. Nampaknya, keseriusan Fateh dalam hubungan mereka sudah agak ‘kendur’, menandakan ‘kemenangan’ yang besar kepada Faridah yang memang ingin menawan hati lelaki itu. Ingin disayangi seperti layaknya dia sebagai seorang isteri.

“Beginilah, berikan abang masa. Abang harap Faridah faham.” Fateh tak mahu berlama-lama di situ. Dia ingin segera beredar. Permainan perasaan ini bukan kemahirannya dan dia telah ‘dilanyak’ teruk pada malam ini. Semakin lama dia berada bersama Faridah, semakin tak keruan dia dihimpit persoalan hatinya sendiri.

“Bang, sekejap.” Faridah cuba menahan Fateh yang telah sedia bangkit untuk beredar. Fateh terhenti dan menoleh kembali kepada Faridah. Apakah lagi yang hendak dikatakan oleh Faridah?

Faridah menghampiri Fateh perlahan-lahan. Sesampainya Faridah di hadapan Fateh, Faridah segera memegang tangan Fateh, bersalam dan mengucup tangan lelaki itu. Lama Faridah mengucup tangan Fateh, seperti tidak mahu dia melepaskannya. Kucupan itu bagai menunjukkan keikhlasannya untuk menjadi isteri yang mithali kepada suaminya. Ini adalah simbol penyerahan jiwa dan raganya.

“Abang hendak tinggalkan saya pada malam pengantin kita, bolehkah abang tebus kesalahan ini pada malam yang lain?” Fateh rasa terkedu dengan pertanyaan Faridah.

“Faridah mahu abang buat apa?” Fateh sedikit bingung dengan sikap Faridah. Perempuan ini sukar untuk dia mengertikan tindak tanduk dan penuh dengan ‘permainannya’.

“Saya akan berpuas hati kalau abang mengucup saya.” Faridah mengisyaratkan ke arah dahinya.

Fateh masih teragak-agak untuk melakukan apa yang dipinta oleh Faridah. Kalau hendak diperkirakan, permintaan ini begitu mudah dilakukan oleh Fateh- andai yang meminta itu adalah Catherine. Tanpa diminta pun, secara spontan pun Fateh bisa melakukannya tanpa ragu-ragu kerana dia pasti Catherine itu isterinya. Tetapi, dengan Faridah- dia seperti tidak pasti, apakah dia boleh melakukan perkara yang serupa. Sepertinya, Faridah itu bukan isterinya. Mengucup Faridah seperti mengingkari dan mencurangi Catherine.

Faridah masih sabar menanti. Sesekali dia menjeling kepada Fateh, melihat reaksi Fateh yang serba salah. Dia hanya tersenyum melihat kecanggungan Fateh kepada dirinya.

Mahu tak mahu, Fateh terpaksa juga menurut permintaan Faridah. Tatkala mengucup dahi Faridah, entah mengapa- wajah Khaleeda terbayang di ruangan fikiran Fateh.

*******************

Di suatu sudut hotel tersebut, Khaleeda hanya tersenyum melihat Fateh beredar meninggalkan perkarangan hotel tersebut dengan wajah yang keliru. Khaleeda tahu, tentu saja ada sesuatu yang berat sedang bermain di dalam fikiran Fateh ketika itu.

‘Semoga abang faham apa yang hendak saya sampaikan.’ Bisik hati Khaleeda, seperti berbicara terus kepada Fateh.

Khaleeda tahu pastinya kini sedar tentang aturannya tentang apa yang berlaku. Bermula dari Catherine dan seterusnya Faridah, pastinya Fateh dapat mempelajari sesuatu tentang hati dan perasaan seorang perempuan dan isteri sepertinya. Selama ini, Fateh seperti enggan mendalami dan memahami perihal ini seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Hati Fateh seperti batu- seperti mana kerasnya Fateh terhadap musuh-musuhnya.

Catherine dan Faridah adalah ‘senjata’ Khaleeda untuk ‘memecahkan’ hati Fateh yang begitu keras itu. Kedua-dua perempuan ini memiliki karekter yang berbeza dan semestinya kalau ‘diadun’ dengan perencanaan yang betul, Khaleeda yakin, manfaat itu akan berbalik jua kepada dirinya sendiri.

Catherine yang manja dan pemalu serta Faridah yang rasional dan logikal akan memainkan peranannya bagi pihak Khaleeda untuk melentur, melembutkan dan menanamkan rasa kasih dan sayang ke dalam diri Fateh. Khaleeda sudah puas menanamkan sifat itu kepada Fateh tetapi, dia sedar dia kekurangan terhadap satu perkara yang belum dapat menembusi tembok hati lelaki itu. Dia tak dapat ‘bersama’ dalam perhubungan fizikal dan itu adalah batas yang menghalang kasih sayang itu untuk terus mekar berkembang menjadi cinta, sebagaimana Catherine dapat melakukan itu dengan mudah. Dia juga tidak pandai untuk mendesak dan menggasak Fateh dengan fakta dan situasi sebagaimana Faridah lakukan. Khaleeda itu adalah Tun Telani. Tun Telani tidak ‘layak’ untuk bersikap seperti ‘budak-budak’ perempuan. Dia perlu kelihatan dan menjadi satu figura yang misterius dan kekal seperti mana cerita-ceritanya yang menjadi lagenda.

Tetapi, Khaleeda juga sedar, dia juga punya perasaan seperti ‘budak-budak’ perempuan yang biasa. Sebagai seorang isteri yang amat mencintai suaminya, dia tetap saja ingin disayangi dan dicintai. Dia tidak mahu sekadar memegang peranan Tun Telani yang setia membantu di samping Tun Besar. Dia mahu menjadi isteri disamping lelaki itu. Sememangnya, dia adalah isteri lelaki itu!

Apakah cinta lelaki itu akan hadir kepada dirinya? Khaleeda tidak mahu memikirkan soal itu. Sekiranya Fateh melayaninya selayaknya seorang isteri, Khaleeda dah berpuas hati. Biarlah masa yang menentukannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience