Rate

Bab 47: Pertarungan Perasaan

Mystery & Detective Completed 26472

Catherine tertinjau-tinjau melihat ke arah bilik Fateh. Kini, Fateh seringkali ‘hilang’ tanpa pengetahuannya. Seperti ghaib begitu saja. Adakah kerana dia terlalu asyik dengan kerja atau mungkin Fateh sendiri yang cuba mengelak untuk bertembung dengan dirinya- dia tak pasti. Tak mungkin Fateh sebegitu tetapi, hati gadisnya ini terkadang terdetik jua persoalan ini. Namun, segera dibuangnya jauh-jauh perasaan yang jelek itu. Fateh masih melayannya dengan baik sekali. Tak ada apa-apa yang berubah.

Hari ini, ada tetamu di bilik Fateh- seorang gadis yang kelihatan begitu anggun dan terpelajar. Catherine rasa, gadis itu mungkin sedikit tua daripadanya. Gaya percakapan gadis itu amat bersopan dan intonasinya amat mempersonakan. Suara pun lunak seperti juga gadis yang bernama Khaleeda tempohari yang mempunyai aura yang mempersonakan. Mengenangkan ini, hati Catherine merasa tidak keruan. Siapa tak bimbang jika kekasih hati dikelilingi gadis-gadis cantik. Tetapi, apa yang gadis-gadis cantik ini cari pada seorang mat rock macam Fateh? Dia, lainlah. Dia benar-benar sayang dan cintakan Fateh. Fateh heronya.

Eh, apakah mungkin ‘keheroaan’ Fateh juga turut dikongsi bersama gadis-gadis lain? Ah, ini sangat membimbangkan. Dia tak sanggup. Melihat gadis yang menjadi tetamu Fateh, bersembang mesra pun dah mencuit rasa cemburunya, apatah lagi hendak berkongsi kasih? Sungguh dia tak boleh!

“Cat, saya nak makan tengah hari dengan Faridah, jom sekali.” Fateh mengajak Catherine dengan mesra- seperti kebiasaannya. Faridah hanya tersenyum memandang Catherine.

Senyuman Faridah yang menawan itu membuat Catherine bertambah galau perasaannya. Sedangkan Catherine seorang perempuan pun merasakan kecantikan Faridah- apakah Fateh seorang lelaki masih tak perasan? Mustahil!

“Er-”

“Eh, Faridah ada sini juga? Molek sekali! Jom kita lunch sekali!” Belum sempat Catherine membalas, satu suara segera memintasnya- suara Khaleeda.

“Cat, jom?” Sambung Khaleeda- pun dengan senyuman manis menawan. Aduh, Catherine menjadi bingung dengan kecantikan dan pesona gadis-gadis Melayu ini. ‘Terancamnya’ harga diri Catherine hari ini. Dia terasa ‘comot’ berada di samping mereka.

“Cik Faridah dan Cik Khaleeda mungkin ada perkara yang mustahak untuk dibincangkan bersama Fateh? Saya bimbang kalau menganggu urusan kalian,”

“Eh, tak adalah. Kebetulan saya lalu di sini. Jadi, singgah sebentar untuk bertemu abang Fateh.” Khaleeda masih tersenyum memandang Catherine.

Kebetulan? Catherine tak boleh ‘membenarkan’ kata-kata Khaleeda itu. Mana mungkin kebetulan- obviously, seperti dirancang-rancang saja.

“Sayang?” Catherine memandang Fateh- seperti meminta kebenaran. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah, saya harap tak menganggu urusan kerajaan.” Kata Catherine pendek, menyetujui pelawaan mereka.

“Urusan kerajaan?” Tanya Khaleeda sedikit pelik.

“Ops, sorry- you guys from government, right?” Kata Catherine, berbisik kerana bimbang kata-katanya didengari oleh staf yang lain.

“Oh, yaaa... hari ini tak ada urusan kerajaan.” Khaleeda hanya ketawa kecil apabila melihat Fateh memberikan isyarat mata kepadanya- supaya mengiakan saja kata-kata Catherine. Faridah yang perasan ‘permainan isyarat’ Fateh dan Khaleeda turut tersengih.

*******************

Restoran Arab, Samad Al-Iraqi Restaurant yang terletak di tingkat bawah Menara Prestige ini bukanlah restoran yang asing pada Fateh. Restoran ini tempat dia ‘makan besar’ dengan Pak Amran dan rakan-rakan sekerjanya dari Taman KLCC. Atas sebab itu juga, dia berjumpa Catherine yang hampir diculik di Jalan P. Ramlee. Tetapi, hari ini ada sedikit kelainan. Hari ini Fateh jadi tumpuan mata yang memandang. Manakan tidak, dia dikelilingi tiga gadis jelita menemaninya hanya untuk makan tengah hari. Dilayan bak raja-raja zaman dahulu kala dan mereka ibarat dayang-dayang rupawan yang menabur bakti setia- kalau bolehlah digambarkan sebegitu rupa.

Perkara dilayan bak raja ini menjadi kehairanan pada Fateh. Mulanya, Khaleeda yang membantu dan menyusun hidangan (ini sudah menjadi adat keturunan Tun Telani melayani saudara tua mereka makan atau minum sejak turun temurun), Catherine yang tidak biasa dengan ‘protokol’ Tun Telani di meja makan menganggap Khaleeda seperti hendak mencuri perhatian Fateh (atau cuba mengorat Fateh)- segera pula dia menuangkan minuman dan meletakkan lauk ke dalam pinggan Fateh. Catherine tidak mahu kalah dalam soal ini.

Apa yang tidak dijangkakan, Faridah turun ‘menyisipkan’ lauk pauk yang belum sempat diambil Catherine ke dalam pinggan Fateh juga- mungkin pada masa itu, niat Faridah hanya untuk ‘membantu’ Catherine tetapi, lain pula penerimaan Catherine yang merasakan ‘pertarungan’ dua lawan satu sedang rancak bermula. Ada satu ‘pertempuran’ yang dia mesti kena menang!

Jadi, pelanggan-pelanggan lain yang melihat, tentunya tertanya-tanya, siapakah lelaki yang bertuah itu. Cemburu pun tak terkira terutamanya mata-mata lelaki yang melihat. Kalau seorang gadis cantik saja dah bisa menerbitkan rasa iri- ini tiga! Gila! Kalau ada ilmunya, pasti mereka akan enroll beramai-ramai biar pun harga yuran mahal.

“Ops, sudah-sudahlah... kamu berdua ingat saya boleh habiskan semuanya?” Tegur Fateh. Catherine dan Faridah saling berpandangan- segera pula mereka akur setelah tersedar akan sesuatu.

“Hmm.. kalau begitu jangan ditangguhkan lagi. Nanti sejuk pula makanan.” Khaleeda hanya tersenyum melihat Catherine dan Faridah. Mereka semua hanya akur dan mula menjamah hidangan.

Suasana menjadi tenang dan hening seketika. Sesekali, Catherine akan berkata sesuatu kepada Fateh, ketawa manja dan menyuapkan makanan kepada Fateh. Fateh hanya menurut saja kelakuan dan keletah Catherine. Manakala, Faridah hanya memandang saja mereka berdua. Ada sedikit reaksi pada muka Faridah- Khaleeda yang jadi pemerhati setia di meja makan, perasan semua yang berlaku. Dia hanya tersenyum, menyakini apa yang disaksikannya. Ada ‘sesuatu’ sedang berlaku.

“Cat, saya ada kerja sedikit yang mungkin terpaksa pergi lama.” Fateh mula berbicara.

“Berapa lama?” Tanya Catherine seperti acuh tak acuh.

“Tak pasti, mungkin berminggu dan mungkin juga berbulan-bulan.”

“Begitu lama?” Catherine benar-benar terkejut. Masakan tidak, tak jumpa sehari pun dia boleh terindu-rindu, apatah lagi kalau sampai berbulan-bulan. Hilang seleranya tiba-tiba. Tawar segalanya.

“Tapi tak jauh. Di Pahang saja.” Fateh cuba memujuk.

“Kalau macam tu, you can call me everyday or I join you?” Pinta Catherine seperti merayu.

“Saya ada eksplorasi di dalam hutan, tak tahu ada signal atau tidak. Satu lagi, awak tak sesuai ke sana sebab hutan tu hutan tebal. Lipas pun awak takut, kalau jumpa harimau macam mana?” Fateh hanya ketawa kecil mendengar permintaan Catherine.

Catherine kelihatan sugul. Matanya mula berkaca-kaca. Nafasnya menjadi tidak keruan. Fateh segera mendakap bahu Catherine dan mengusap-ngusapnya perlahan-lahan, untuk menenangkan perasaan gadis itu. Dia faham benar betapa halusnya perasaan Catherine itu. Semangat gadis ini tidak sekuat Khaleeda. Mungkin juga tidak sekental Faridah yang punya aura yang istimewa. Catherine hanya gadis biasa yang lembut perilaku, manja dan sensitif perasaannya.

“Oh, janganlah awak risau, Cat. Saya akan lengkapkan abang Fateh dengan GPS tracker- jadi, awak tidak usah risau kalau dia sesat dalam hutan,” Khaleeda mula memainkan peranannya, memujuk Catherine. Dia turut menghulurkan tisu kepada Catherine supaya dikesat air matanya yang mula mengalir.

“Beginilah kerja saya. Apa nak buat.” Sambung Fateh. Catherine hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Perasaan sedihnya masih tidak hilang.

“Ya, kami kena akur. Urusan kerajaan.” Tambah Khaleeda sambil menjeling Fateh. Kata-kata berkenaan urusan kerajaan itu sengaja dikeraskan sedikit seperti memerli Fateh. Fateh hanya tersenyum kelat dengan ‘gurauan’ Khaleeda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience