Rate

Bab 93: Syurga Dan Neraka

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh masih berteleku memikirkan pelbagai pilihan yang ada. Dia perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil tindakan untuk terus mengembara menjejaki Pintu Dunia. Apakah benar dengan menjumpai Pintu Dunia itu maka, manfaat yang besar akan menanti di sana untuk dirinya, keluarga, bangsa dan agama? Apa rahsia di sebalik Pintu Dunia itu yang dapat diraih kelak? Ini semua menimbulkan tanda tanya.

Menurut Faridah, terowong pertama adalah checkpoint pertama, terowong kedua dan ketiga masing-masing adalah checkpoint array Gunung Tahan yang seterusnya. Terowong yang ketiga akan membawa mereka sehingga ke pertemuan antara dua sungai yang ‘mengelilingi’ lembah Gunung Tahan iaitu Sungai Tahan dan Sungai Teku. Di antara kedua sungai tersebut terdapat sungai yang telah ‘hilang’ yang bakal menjadi checkpoint ke-4. Ini amat memeningkan kepala Fateh kerana untuk melepasi checkpoint pertama sahaja memperuntukkan banyak usaha termasuk belanja yang besar untuk menjejakinya selama ini. Itu belum dikira sejumlah perjalanan masa dan zaman yang harus mereka tempuhi.

“Selama ini dinda sudah meneliti prasasti yang terdapat di sekitar gua ini, dan faham sedikit sebanyak arahan yang terkandung padanya.” Faridah menyuluh ke arah dinding-dinding gua yang terdapat di sekitar mereka. Memang benar, terdapat pelbagai kepingan-kepingan prasasti dengan tulisan pepaku yang masih utuh terdapat hampir di setiap penjuru ruang gua tersebut.

“Alangkah semberononya kita dahulu, hanya menerjah masuk tanpa tahu apa yang bakal kita tempuhi kelak.” Fateh menggeleng-gelengkan kepalanya. Benar, di dalam terowong pertama itu sahaja terdapat lagi 3 pintu kecil untuk dipilih. Pertama kali dia memasuki terowong pertama- dia terus saja masuk ke pintu pertama tanpa berfikir panjang. Pada fikirannya, dia cuma masuk periksa apa yang ada di sebalik ketiga-tiga pintu tersebut dan lantas pulang mendapatkan Faridah segera. Mana tahu, sebaik sahaja dia melangkah ke pintu pertama, dunianya bagai disambar cahaya dan apabila dia membuka mata, dia mendapati dunianya ketika itu terlalu asing sekali. Semua berubah dan berlainan.

“Kanda yang semberono, adinda tidak.” Faridah berseloroh memandang Fateh. Fateh hanya ketawa kecil.

“Jadi, apa pandangan kanda?” Faridah bertanya kepada Fateh sambil tersenyum manis. Fateh tidak dapat tertahan, turut membalasnya dengan senyuman. Benar, senyuman Faridah masih sama seperti dulu tetapi kini, bertambah manis lagi. Dia tidak perlu mengusik lagi Wanang Sari untuk mendapatkan senyuman seperti itu. Wanang Sari sendiri telah ‘sudi’ menghadiahkan senyumannya itu dengan sepenuh hati.

“Adakah dinda pasti kita tak boleh melangkaui terus ke checkpoint ke 3 tanpa melalui yang sebelumnya?” Faridah mengeleng-gelengkan kepalanya mendengarkan pertanyaan Fateh.

“Setiap checkpoint itu akan diberi ‘tanda’ pada yang telah melaluinya. Contohnya, kanda telah melalui terowong pertama dan ketiga-tiga pintu di dalamnya maknanya, kanda akan mendapati terdapat 3 garis pada tapak tangan kanda akan membentuk huruf Arab 18 di tangan kanan dengan jelas sekali. Garis-garis lain juga akan hilang. Begitu juga, akan munculnya aura Maharaja dalam tubuh kanda.” Jelas Faridah panjang lebar.

Fateh membelek tapak tangan kanannya- memang benar seperti kata Faridah. Dia sendiri pun tidak benar-benar sedar akan perubahan yang berlaku termasuklah aura Maharaja yang terdapat dalam dirinya sendiri. Mungkin sebab itulah, sekiranya terlihat oleh pakar-pakar feng shui akan diri Fateh, mereka semua akan bingung dengan fenomena tanda-tanda Maharaja yang terdapat dalam diri Fateh kerana ianya boleh dikatakan mustahil untuk dimiliki oleh seseorang individu.

“Apakah yang bakal berlaku sekiranya 3 checkpoint kita tempuhi lagi?” Fateh ingin tahu kerana ianya amat membantu untuk dia membuat keputusan yang seterusnya.

“Wallahu’alam. Dinda tak tahu kanda, semuanya sangat misteri dan tidak dijelaskan dalam prasasti yang ada. Apa yang pasti, 3 tanda itu akan kanda perolehi- nombor Arab dalam bentuk 81 pula pada tangan kiri. Kanda tahu apa maksudnya?” Giliran Faridah pula bertanya kepada Fateh. Fateh hanya mengeleng-gelengkan kepalanya. Dia malas hendak berfikir tentang jawapan yang telah ada. Biarkan Faridah saja yang memberitahunya.

Faridah hanya ketawa kecil dengan sikap Fateh itu. Dia tahu Fateh berkira-kira untuk meneruskan kembara mereka seterusnya dan enggan memikirkan perkara yang ‘remeh temeh’ yang telah diketahui jawapannya. Ya, Faridah tahu jawapannya- dan Fateh tak mahu ‘mencari’ dan meneka-neka.

“81+18, jawapnya 99. Subhanallah, ajaibkan kanda, tanda-tanda yang Tuhan letakkan ke dalam diri setiap ciptaannya?” Bulat mata Fateh mendengarkan balasan Faridah. Fateh termenung dan berspekulasi sendiri.

“Apakah-”

“Benar kanda, setiap dalam diri insan itu adalah pinjaman dari sifat-sifatNya. Melihat, mendengar, berkata-kata, bijaksana dan sebagainya. Kanda bayangkan semua sifat-sifatNya itu dapat kanda ‘pinjam’ sebahagian atau sejumlah sifat yang dinyatakan sebanyak 99 itu?” Faridah mula menduga Fateh.

Fateh terkesima dengan pertanyaan Faridah. Dia tahu hal yang sedemikian bukan sesuatu yang mudah untuk dibayangkan maksudnya melalui sekadar kata-kata. Sekiranya dengan mengalaminya sendiri, baru boleh dia menilai apakah termampu untuknya memikul amanah dengan ‘pinjaman’ yang dikurniakan kelak. Apakah dia boleh menjadi insan yang baik atau sebaliknya. Fateh faham maksud Faridah. Dia tahu ‘godaan’ terhadap kurnia tu amat besar- ibarat membawa ‘syurga’ dan ‘neraka’ bersama. Apakah mampu untuk sentiasa berada di jalan yang lurus sebagaimana setiap waktu dia meminta dan bermohon? Fateh tidak tahu. Sampai bila pun dia tidak akan tahu. Jadi, dia tekad- sekurang kurangnya, dia akan melaksanakan terlebih dahulu apa yang dia tahu.

Faridah hanya tersenyum memandang Fateh. Dia pasti, Fateh telah memutuskan sesuatu di dalam akal fikirannya ketika itu. Faridah sebagai seorang isteri, hanya akan menuruti sahaja apa yang terbaik pada fikiran suaminya itu. Begitulah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience